BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Pengunjung

Jumaat, 27 November 2009

CINTA YANG HAKIKI


Apabila jiwa kosong
maka kehidupan umpama lorong duka lara,
simpang siurnya adalah kekeliruan dan kekecewaan
sedangkan deru anginnya adalah nyanyian kedukaan.

Tidak ada lagi keindahan pada mahligai tersergam
juga kebahagiaan pada segala kemewahan dan solekan dunia.

Jiwa adalah sarang kebahagiaan,
taman ketenangan dengan seribu janji senyuman.

Kemanakah perginya kelazatan
pada sajian hebat yang terhidang dimeja kehidupan.
Dari manakah datangnya kepanasan
di ruangan berhawa dingin yang membekukan hati.

Manusia tetap manusia,
memerlukan hidayah untuk diisikan pada jiwanya
agar dirinya mengenal erti takut dan tunduk.
Kerana takut itulah yang akan mengajarnya erti keberanian
dan tunduk itulah yang akan mengajarnya erti ketinggian.

Keberanian untuk menempuh pahit dan getirnya kehidupan
serta ketinggian untuk memetik buah kebahagian dalam rimbunan pepohon keimanan

Selasa, 24 November 2009

An Nida' (Seruan)

Tuntutan Rasulullah Saw Tentang Puasa Sunat.

Di samping puasa bulan Ramadhan yang di wajibkan oleh Allah swt melalui surah Al-Baqarah ayat 183. Nabi Muhammad saw banyak megerjakan puasa sunat untuk diikuti oleh umatnya bagi mendekatkan diri kepada Allah. Di antaranya ialah Puasa Hari 'Arafah.

Dari Abu Qatadah ra katanya:
"Rasulullah saw di tanya tentang puasa hari 'Arafah iaitu tanggal 9 Zulhijjah. Beliau saw bersabda: Puasa pada hari itu dapat menutupi dosa pada tahun yang lalu dan tahun yang akan datang" Riwayat Muslim.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, Nasa'i dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah ra katanya yang bermaksud:
" Rasulullah saw melarang berpuasa pada hari 'Arafah di 'Arafah".

Imam Tirmidzi berkata:
" Para ulama memandang sunat berpuasa pada hari 'Arafah kecuali bila berada di 'Arafah".

Puasa 'Arafah ini di sunatkan kepada umat Islam kecuali yang sedang menunaikan fardhu haji.

Wahai para muslimin dan muslimat yang di kasihi sekelian marilah kita berpuasa pada esok hari iaitu pada hari khamis 26/11/09 bersamaan 9 Zulhijjah 1430, bagi menyempurnakan sunnah nabi kita Muhammmad saw yang kian di tinggalkan.

"Demi Allah yang jiwaku berada di tanganNya, tidak beriman seseorang itu sehingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri". Sabda Nabi Muhammad saw hadis riwayat Al Bukhari dan Muslim.

Semoga apa yang di tulis ini dapat memberi manfaat untuk kita bersama merenungi, menghayati dan seterusnya mempraktikkannya dalam kehidupan seharian kita.

Ahad, 22 November 2009

PERUTUSAN BUAT PENGANTIN

Sempena cuti sekolah yang baru bermula ini ramai orang yang mengambil kesempatan untuk melangsungkan perkahwinan . Setiap pasangan yang baru mendirikan rumahtangga tentu mengimpikan sebuah rumahtangga yang bahagia hingga ke akhir hayat. Untuk mendapat rumahtangga yang bahagia ini memerlukan suami dan isteri melaksanakan peranan masing-masing.Kalaulah suami diibaratkan sebagai Raja dalam sebuah kerajaan maka isteri adalah Perdana Menterinya. Isteri adalah pelaksana dasar-dasar dalam rumahtangga jika baik perlaksanaannya maka baiklah seluruh rumahtangga.

Untuk semua yang telah bergelar atau akan bergelar suami isteri, marilah kita renungkan dan memahami apa yang di perlukan untuk melayari bahtera kehidupan sebagai suami isteri di lautan yang penuh dengan cobaan dan dugaan.


Buat para Suami & calon Suami.
.


Renungkanlah...Pernikahan atau perkahwinan membuka tabir rahasia...
Isteri yang kamu nikahi tidaklah semulia Khadijah,
tidaklah setaqwa Aisyah..
pun tidak setabah Fatimah..

Justru..
isterimu hanyalah wanita akhir zaman
yang punya cita-cita menjadi solehah
Pernikahan atau perkahwinan mengajar kita kewajiban bersama.......
Isteri menjadi tanah kamu langit penaungnya,
Isteri ladang tanaman kamu pemagarnya,
Isteri kiasan ternakan kamu gembalanya,
Isteri adalah murid kamu mursyidnya,
Isteri bagaikan anak kecil kamu tempat bermanjanya,
Saat isteri menjadi madu kamu teguklah sepuasnya,
seketika isteri menjadi racun kamulah penawar bisanya,
seandainya isteri tulang yang bengkok berhati-hatilah
meluruskannya.

Pernikahan atau perkawinan menginsafkan kita perlunya iman dan taqwa
Untuk belajar meniti sabar dan redha kepada Allah swt.

Kamu bukanlah Rasulullah saw?
Pun bukanlah Sayyidina Ali Karamallahhuwajhah
Cuma suami akhir zaman yang berusaha menjadi soleh...

AMIN.

Buat para Isteri & calon Isteri..
Renungkanlah...

Pernikahan atau perkahwinan membuka tabir rahsia
Suami yang menikahi kamu tidaklah semulia Muhammad saw
Tidaklah setaqwa Ibrahim
Pun tidak setabah Ayyub atau pun
Segagah Musa.. apalagi setampan Yusuf
Justru suamimu hanyalah lelaki akhir zaman yang punya
cita-cita
membina keturunan yang soleh...

Pernikahan atau perkawinan mengajar kita kewajiban
bersama..
Suami menjadi pelindung kamu penghuninya,
Suami adalah nahkoda kapal kamu pengemudinya,
Suami bagaikan pelakon yang nakal kamu adalah penonton
kenakalannya,
Saat suami menjadi raja kamu nikmati anggur singgasananya,
Seketika suami menjadi racun kamulah penawarnya,
Seandainya suami bengis lagi garang sabarlah
memperingatkannya,

Pernikahan ataupun perkahwinan mengajarkan kita perlunya
iman dan taqwa,
untuk belajar meniti sabar dan redha Allah swt.

Kamu bukanlah Khadijah yang begitu sempurna di dalam menjaga
pun bukanlah Hajar yang begitu setia dalam sengsara....
Cuma wanita akhir zaman yang berusaha menjadi solehah,

AMIN.

Khamis, 19 November 2009

IBADAH KORBAN

Selamat manyambut hari raya Aidil Adha atau lebih dikenali sebagai hari raya korban kepada para muslimin dan muslimat semua.


Marilah kita berkorban harta dan wang ringgit yang kita ada untuk melakukan ibadah korban yang di wajibkan kepada semua orang-orang yang beriman( yang akil dan baligh) dan mampu melaksanakannya di setiap kali menjelangnya 'iedul Adha (hari raya korban).Ibadah korban telah disyariaatkan oleh Allah swt sejak zaman Nabi Ibrahim as. Bagindalah orang pertama yang melakukan ibadah korban sebagaimana yang di ceritakan di dalam Al- Quran dan hadis.


Setelah Nabi Muhammad saw berhijrah ke Mdinah, maka syariat berkorban diperintahkan semula oleh Allah kepada Nabi-Nya dan kepada setiap umat Islam yang berkemampuan terutama ketua keluarga.Mereka telah di perintahkan oleh Allah agar mengikut agama atau syariat Nabi Ibrahim as,antaranya ialah dengan menyembelih binatang korban disetiap menjelangnya Hari Raya Korban sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt yang bermaksud:
"Kemudian Kami wahyukan kepadamu(Muhammad): Ikutlah agama Ibrahim seorang yang hanif(yang berdiri teguh atas jalan yang benar) dan bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan" (An-Nahl ayat 123).


Perintah Allah swt pada ayat ini menurut sebahagian ulama, ia menunjukkan akan wajibnya berkorban, sebagaimana Nabi Ibrahim sanggup menyembelih anak kesayangannya kerana mentaati dan menunaikan perintah Allah swt.


Jika Nabi Ibrahim as sanggup mengorbankan anaknya yang tersayang kerana mentaati perintah Allah, dan anaknya Nabi Ismail as pula sanggup mengorbankan nyawanya yang tidak ternilai kerana taat, cinta,tunduk dan ketakwaannya kepada Allah dengan menunaikan perintah dan seruan-Nya dengan penuh keyakinan dan kesabaran walaupun mengorban jiwa dan raganya.


Maka fikirlah wahai orang-orang yang beriman! Di manakah bukti cinta kita sebagai seorang hamba Allah yang mengaku beriman terhadap Rabbnya jika tidak sanggup melakukan pengorbanan walaupun hanya sekali setahun. Mengapa seorang hamba yang mengaku beriman kepada Allah swt tidak sudi dan rela mengorbankan sedikit sahaja dari hartanya dengan menyembelih seekor binatang korban disetiap menjelangnya 'Iedul Adha?. Dari Zaid bin Arqam beliau berkata yang maksudnya:
"Dari Zaid bin Arqam, aku atau mereka bertanya: Wahai Rasulullah, dari manakah(syariat) berkorban itu? Baginda menjawab: Ia adalah merupakan sunnah ayahmu Ibrahim. Mereka bertanya lagi, apakah yang kami perolehi dari berkorban itu? Baginda menjawab: Pada setiap bulu ada satu kebaikan. Mereka seterusnya bertanya, bulu dari bulu-bulu binatang korban itu ada kebaikannya? Baginda menjawab: Pada setiap bulu dari bulu-bulu itu ada kebaikannya" (Hadis riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).


Wahai saudaraku muslimin dan muslimat yang di kasih dan disayangi kerana Allah marilah kita berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan yang Allah swt akan membalas amal kebaikkan seseorang yang beriman itu dengan syurga yang seluas langit dan bumi, yang telah disediakan untuk orang-orang yang beriman, bertakwa dan beramal soleh.


Semoga apa yang di tuliskan ini dapat memberi manfaat untuk diri sendiri, para muslimin muslimat dan para pencinta ilmu yang di muliakan kerana memandangkan ramainya umat Islam yang meninggalkan ibadah korban walaupun mereka ada kemampuan dan rezeki untuk melakukannya. Sebagai seorang hamba yang beriman yang mengaku taat dan setia maka perlulah berusaha untuk berkorban setelah diberi kemampuan dan rezeki untuk melaksanakannya.


Ingatlah! Tidak akan di capai kebaikkan yang diinginkan oleh seseorang, kecuali ia mengorbankan untuk Allah apa yang paling di cintai kerana Allah swt telah berfirman yang maksudnya:
"Sekali-kali kamu tidak akan mencapai apapun kebaikan, sehingga kamu membelanjakan apa yang paling kamu cintai" (Ali Imran:92).

Jumaat, 13 November 2009


Pohon kelapa sejenis tanaman yang khas di daerah pesisir pantai. Keindahan daerah pesisir pantai tidak lengkap tanpa kewujudannya. Selain memberi keindahan, kelapa memiliki keunggulan tersendiri.

Ciri utama batang kelapa ialah tidak bercabang. Batangnya amat kukuh. Fakta ini yang membolehkan batang kelapa di pilih sebagai tiang rumah dan untuk di jadikan titi atau jambatan tradisional yang masih boleh ditemui di kawasan pendalaman.

Daun kelapa pula dapat di anyam sebagai ketupat untuk dijadikan hidangan pada hari raya. Lidi kelapa dijadikan tusuk sate,penyapu dan kraftangan.Buah kelapa muda yang mengandungi air dan isi yang masih lembut sedap di jadikan minuman di hari yang panas.selain itu ia juga dapat di jadikan penawar kepada sesiapa yang keracunan dan mengalami demam panas.

Isi buah kelapa yang sudah tua pula diparut untuk mendapatkan santan untuk dimasak gulai atau diproses menjadi minyak kelapa.Tempurung kelapa dapat di jadikan bahan bakar dan aneka kraftangan.Arang dari tempurung kelapa diproses dan di jadikan salah satu bahan yang di gunakan untuk membuat mata pensil.

Selain itu, sabut kelapa yang sesuai untuk di pintal boleh di jadikan seutas tali yang kuat.Untuk menyalakan api , sabut kelapa adalah bahan yang amat mudah didapati dan sesuai di gunakan.

Subhanallah! betapa mengagumkan si pokok kelapa ini. Setiap inci bahagian tubuhnya menawarkan pelbagai manafaat.Allah mencipta kelapa sebagai makhluk yang memberi banyak manafaat kepada makhluk lain.

Jika direnung dan difikir serta dihayati alam dapat berperanan sebagai guru untuk mengajar manusia cara menjalani kehidupan sebagai hamba Allah . Ia adalah hikmah yang tersembunyi yang tidak dapat di temui dalam bentuk tulisan mahu pun buku, tetapi diperlihatkan melalui fenomena alam.

Allah swt menciptakan manusia dalam bentuk yang sempurna dan terbaik. Bagaimanakah kita menggunakan semua pinjaman Allah itu selama ini ?.

Mungkin kita tidak pernah mengsia-siakan semua pemberian Allah ini. Bahkan, kita bekerja keras untuk menggunakan semua potensi pada diri secara maksimum, Namun, seringkali kita memanfaatkannya untuk memenuhi kepentingan diri sendiri dan kurang merasa untuk menghasilkan sesuatu yang bermanfaat bagi kegunaan orang ramai. Apatah lagi unuk alam semesta dalam skala yang lebih besar.

Bukankah Allah swt berfirman yang bermaksud:
" Dan tidaklah kamu diutus melainkan sebagai rahmat bagi semesta alam" (Al-Anbiyaa:107). Menjadi rahmat kepada alam adalah peranan yang di amanahkan Allah kepada semua manusia. Allah tidak memberi amanah tersebut jika kita tidak mampu melaksanakannya. Pendek kata setiap manusia sudah dibekalkan oleh Allah dengan modal dan potensi untuk menjadi manusia yang bermanfaat kepada makhluk lain iaitu dalam bentuk harta, tenaga,ilmu dan daya fikiran.

Contoh terbaik yang dapat kita lihat dan ikuti adalah dari Rasulullah saw sendiri.Di mana Baginda berjaya menyelesaikan masalah untuk meletakkan Hajar Aswad kembali pada tempatnya selepas Kaabah di baik pulih. Bahkan, kebijaksanaan Rasulullah itu mampu mengelakkan pertumpahan darah di antara kabilah Quraisy. Selain itu baginda juga di beri gelaran Al- Amin oleh seluruh penduduk Mekah walupun mereka menentang ajaran islam yang di bawa oleh Baginda.Banyak lagi kisah dan tauladan yang dapat kita ikuti dalam riwayat kahidupan Baginda.

Hidup sebagai manusia adalah sebuah takdir, tapi menjalani hidup yang dapat memberi manfaat kepada orang lain adalah sebuah pilihan.Pilihan itu perlulah di buat untuk pekara yang amat di sukai oleh Allah dengan berlandaskan Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Kita yang membuat pilihan untuk menjadi rahmat kepada alam atau sebaliknya. Malah, kita juga yang menentukan cara paling baik untuk menggunakan tenaga, harta benda,ilmu dan fikiran untuk diri dan orang lain. Tidakkah kita mahu di masukkan dalam golongan umat yang terbaik Nabi Muhammad saw ?.

Sabda Nabi saw yang bermaksud:
" Sebaik- baik manusia di antaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Jika kelapa boleh memberi manfaat yang banyak kepada makhluk lain di sekitarnya, apatah lagi kita sebagai makhluk yang paling sempurna dan terbaik dicipta oleh Allah swt.

Isnin, 9 November 2009

IMAN DAN AMAL SALING MEMERLUKAN....

Iman mempunyai hubungan yang amat rapat dengan amal. Iman menjadikan seseorang sentiasa beramal. Amalan seseorang akan lebih ikhlas apabila jiwanya diisi dengan keimanan terhadap Allah swt. Begitulah, keimanan akan lebih kental sekiranya dipertingkatkan amalannya. Iman yang mantap akan memandu anggota lahiriah seseorang. Hal ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
" Ketahuilah sesungguhnya di dalam badan seseorang ada segumpal darah, apabila ia baik, maka baiklah seluruhnya, jika ia buruk, maka buruklah seluruh badan, itulah dia sekeping hati." (Rwayat Bukhari)

Daripada sayidatina Aisyah ra, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
" Orang mu'min yang paling sempurna imannya ialah orang yang lebih baik pekertinya dan sangat bertimbang rasa terhadap keluarganya."

Iman menggerakkan seseorang untuk mengerjakan amalan yang disuruh dan meninggalkan perbuatan yang dilarang. Dengan itu akan membangkitkan kemahuan untuk mencari ketinggian dan kemuliaan diri serta dapat berusaha untuk menghindarkan diri daripada kehinaan dan kerendahan akhlak.

Firman Allah swt yang bermaksud:
"Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu' dalam sembahyangnya, dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia, dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya(megeluarkan zakat), dan mereka yang menjaga kehormatannya," (Al- Mu'minun:1-5)

Sesungguhnya kehidupan ini saling memerlukan. Jika kita sedar siapa diri kita dan kita sedar apa peranan kita, secara tidak langsung kita akan menjadi manusia yang bertanggungjawab.Hubungan iman dan amal adalah saling memerlukan untuk membentuk insan yang bertakwa.

Jumaat, 6 November 2009

RAHMAT DARI ALLAH



Kelmarin hari jumaat hujan turun tanpa henti-henti bermula dari malam sampai ke petang.Jabatan meterologi
meramalkan Perlis, Kedah, Perak Utara dan Pahang akan mengalami hujan sejak semalam hingga ahad ini tetapi pagi ini matahari menampakkan sinarnya walaupun tak begitu terik tapi cukuplah untuk mengeringkan baju di ampaian.


Hujan yang turun bagaikan mutiara
Berkilau, bersinar, berkelipan
Subur menghijau bumi terbentang
Dan bayu berpupuk lembut...

Bila hari hujan begini teringatlah pula pada lagu hujan yang di dendangkan oleh Allahyarham Sudirman.Lagu-lagu yang di dendangkan olehnya mengandungi maksud yang begitu mendalam yang boleh di hayati oleh segenap lapisan.Cinta bukan hanya sesama insan sahaja tetapi ia untuk semua makhluk yang hidup di alam ini seperti pokok-pokok yang menghijau dan sebagainya.


Hujan juga adalah rahmat bagi semua makhluk di dunia ini.Bagi para petani, hujan amat di perlukan kerana padi sudah mula membesar untuk penoreh pula,pokok getah perlu berehat sebentar untuk menyembuhkan luka pada kulitnya.Kalau kita rajin rezeki tetap ada walaupun tak dapat menoreh getah dapat menanam sayur-sayuran dan mencari ikan di sungai-sungai.

Banjir yang Allah bagi juga satu rahmat, kalau kita dapat melihat kebaikkan di sebalik keburukkannya.Walau apapun setiap kejadian yang Allah takdirkan itu terkandung seribu rahmat di sebaliknya, cuma akal yang waras dan iman yang kukuh sahaja yang bisa mentafsirkannya.



Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya kemana, hilangnya matahari, rupa-rupanya Allah hendak memberi kita pelangi yang indah.

Mari kita renungkan bersama apa yang tersurat dan tersirat di sebalik setiap kejadian yang Allah berikan pada kita hamba-Nya.