BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Pengunjung

Rabu, 31 Mac 2010

PAHALA YANG BERTERUSAN


Hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud: "Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah saw bersabda: "Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya".

Seperti mana yang dapat difahami daripada hadis Rasulullah saw, apabila seseorang telah meninggal dunia maka terputuslah baginya semua peluang untuk menambah amalan kebajikan dan pahalanya. Sebanyak mana amalan yang telah dilakukan semasa seseorang itu hidup dahulu maka sebanyak itulah sahaja pahala yang akan di terimanya. Dia tidak akan dapat menambah lagi pahalanya setelah dia meninggal dunia melainkan tiga sumber yang terdapat di dalam hadis di atas.

Justeru itu jika kita lihat pekara yang pertama yang disebutkan dalam hadis tersebut ialah sedekah jariah iaitu segala apa yang telah di wakaf dan diinfakkan semasa hidup dahulu, antaranya seperti mewakafkan tanah untuk tujuan kebajikkan anak yatim, membina masjid, surau, sekolah dan sebagainya.Memberi sedekah kepada saudara mara yang memerlukan bahkan walaupun hanya memberi sebelah kurma sebagai sedekah pun tetap di ambil kira oleh Allah swt. Selama mana dan selagi mana harta benda itu diguna pakai oleh orang lain selama itulah seseorang yang mewakafkannya secara ikhlas kerana Allah swt akan mendapat pahala yang berterusan.

Selain itu, pekara yang kedua ialah mengenai ilmu pengetahuannya yang bermanfaat kepada orang lain. Dengan kata lain, segala ilmu yang dapat memberi manfaat kepada orang lain dan dapat menambahkan ketakwaan mereka kepada Allah swt maka selama ilmu itu masih dipelajari, selama itulah orang yang mengajarkannya pada peringkat permulaan itu akan mendapat pahala yang berterusan yang akan di masukkan ke dalam catatan amalan kebajikkannya.Antaranya ialah kebolehan menulis blog,usahakan kebolehan yang di beri itu untuk jadikan ia salah satu saluran bagi saling ingat memperingati sesama kita bahawa apa yang kita tuliskan bukan untuk suka-suka atau mencari nama tetapi untuk memberi makna.

Begitu juga pekara yang ketiga iaitu mengenai anak soleh yang mendoakan kepada ibu bapanya. Sebenarnya, menjadi impian yang besar bagi semua ibu dan bapa untuk melahirkan anak yang soleh yang dapat mendoakan kesejahteraan untuk mereka di dunia dan di akhirat kelak. Namun, persoalannya bagaimanakah untuk melahirkan anak yang soleh sekiranya ibu bapa sendiri yang tidak memberikan didikan agama yang sempurna sebagaimana yang telah di ajarkan oleh Rasulullah saw.

Untuk melahirkan insan yang soleh(anak) ia perlu melalui proses yang betul sebagaimana yang telah di ajar oleh Rasulullah saw iaitu bermula dengan lelaki yang akan bergelar seorang suami dan seterusnya seorang ayah perlulah mempersiapkan diri dengan bekalan ilmu dunia dan akhirat untuk menjadi pemimpin dalam sebuah keluarga. Selepas itu pilihlah seorang wanita yang solehah untuk di jadikan isteri dan seterusnya sebagai ibu kepada anak-anak yang bakal dilahir. Insan yang soleh adalah buah hasil dari didikan yang berterusan dan pembinaan yang tersusun rapi. Ingatlah janji Allah dalam surah An-Nuur ayat ke-26 yang maksudnya:
" Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan sebaliknya perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki -lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.....".

Bagi kita yang kasih dan sayang kepada Nabi Muhammad saw marilah sama-sama kita berusaha untuk cuba mengaplikasikan dan mempraktikkan apa yang telah di sarankan oleh Baginda. Sesungguhnya, Rasulullah saw diutus oleh Allah swt sebagai utusan-Nya untuk memberikan rahmat kesejahteraan dan petunjuk kepada seluruh umat Islam. Inilah keistimewaan dan keagungan Islam kerana mempunyai Rasul sebagai penyelamat ummah. Islam itu indah, indahkanlah hidup ini dengannya. Islam agama rahmat kepada semua makhluk di dunia ini.

Oleh yang demikian, saya mengajak dan menyeru kepada diri saya dan para sahabat yang di kasihi kerana Allah, marilah kita sama-sama mempersiapkan diri kita dengan persiapan yang sempurna sebelum kita dijemput untuk bertemu dengan Allah swt. Renungkanlah sejenak adakah kita sudah melaksanakan apa yang di sarankan oleh hadis di atas atau belum? kalau belum, berusahalah dengan sebaik-baiknya untuk melakukannya mudah-mudahan Allah swt sentiasa mempermudahkan segala urusan kita di dunia dan akhirat.

Khamis, 25 Mac 2010

BILA IMAN LEMAH


Akal manusia dan fikirannya boleh menjelajah dunia sehinga tidak ada pelosok dunia yang otaknya tidak menjejaki dan menjelajahinya. Kaki otaknya begitu panjang sekali, tidak ada ruangan-ruangan dunia ini yang tidak dipijak manusia. Kerana itu berbagai-bagai ilmu,bermacam-macam maklumat, berbagai-bagai pengalaman yang manusia perolehi.

Manusia boleh tahu di atas gunung, di dalamnya, di bawah bumi, apatah lagi di dasarnya, di lautan dan di dasarnya. Habis semuanya dijelajahi. Padang pasir, gurun, di perut bumi, sungai kecil dan besar, otaknya selongkari hingga terdedah dan terbongkar semuanya.

Otak manusia menerokai empat penjuru dunia, Kutub Utara, Kutub Selatan, Timur dan Barat. Otaknya boleh teroka dan jelajahi hutan belantara. Berbagai-bagai kehidupan dapat diketahui di samping khazanah bumi yang lain. Habis seluruh khazanah dunia ini otak mereka kumpulkan.

Seolah-olah dunia ini kecil sebesar dulang, manusia berada di hadapannya melihat seluruh isinya. Tidak ada apa yang tidak dapat dilihat dan pastikan. Semuanya dapat manusia perhatikan dan mengetahui rahsia-rahsianya.

Sungguh hebat otak manusia, boleh mengembara ke seluruh dunia, menjelajahi seluruh pelosoknya, menjejaki bukit dan lurahnya. Apatah lagi kalau kaki manusia boleh membawa mengembara sama otaknya ke seluruh dunia. Maka otak bertambah rata lagi. Mengembara di pelosok dunia, melihat dari dekat, dapat mengesan lebih dalam lagi rahsia dunia ini, lebih banyak lagi rahsia bumi dan alam Tuhan ini menjadi maklumatnya.

Begitulah kebolehan otak manusia, ia boleh mengetahui rahsia dunia dan seluruh isinya sebagai maklumat seolah-olah otak manusia macam burung, boleh terbang di seluruh dunia. Atau dunia ini macam sebesar dulang, seluruh apa yang ada di dalam dulang dapat dilihatnya.

Kalau begitulah keadaan otak manusia, otak seolah-olah bebas, merdeka, terlalu jauh perjalanannya, terlalu luas dunia kehidupannya. Begitulah kebolehan otak yang dicipta oleh Allah Taala yang Maha Berkuasa, kebolehannya luar biasa.

Namun begitu, walaupun kemampuan otak manusia bebas, merdeka, gelanggang kehidupannya begitu luas, tapi apabila jiwa manusia itu sempit kerana tidak ada iman atau lemah iman kerana tidak bersama dengan Tuhan, manusia tetap hidup terseksa, sengsara, seolah-olah hidup di dalam jel yang sempit, gelap-gelita pula. Di waktu itu otak tidak boleh buat apa-apa, tidak berfungsi, dia tidak boleh menolong manusia. Dia juga ikut sama hidup di dalam kurungan yang sempit itu. Kakinya ikut terbelenggu, seolah-olah dirinya tidak boleh pergi ke mana-mana. Di waktu itu fikiran buntu oleh penjara itu, ilmu dan maklumat-maklumat tidak berguna lagi di waktu itu.

Apa buktinya? Banyak sangat buktinya kerana ia sering berlaku di dalam kehidupan ini. Contohnya, apabila datang ujian atau bala bencana, seperti jatuh miskin, bankrapsi, dibuang kerja, sakit yang berat, patah kaki, orang yang di sayangi meninggal dunia dan lain-lain lagi, masya-Allah, jiwanya yang sempit kerana tidak beriman atau lemah iman itu seolah-olah menjerit-jerit cuma tidak didengarinya. Terasa sakit. Bumi yang luas dirasakan sempit, badan macam kena himpit seolah-olah masuk ke bumi. Fikiran yang selama ini begitu bebas, merdeka, mempunyai maklumat yang luas, telah terbang dan hilang kecerdikannya, tidak boleh membantu. Keadaan berfikir pun tidak menentu. Perasaan jadi tidak normal dan melulu, sesetengah pegangan hilang, keyakinan berubah 90 darjah.

Baru kita faham, kalau akal sahaja kuat dan merdeka sedangkan jiwa lemah dan tidak merdeka, akhirnya akal juga turut lemah hingga tidak berfungsi mengakibatkan segala-galanya berubah. Berubah sikap, berubah watak, berubah tabiat, berubah akhlak, berubah pakaian. Yang tidak berubah hanyalah nama dan warna kulit. Tapi yang bersifat maknawi dan rohaniah berubah semuanya. Amat terkejut dan mengejutkan, hairan menghairankan, tercengang-cengang orang dibuatnya.

Begitulah apabila jiwa lemah kerana kelemahan iman atau sudah tidak ada iman, jiwa rasa sempit apabila kena ujian atau ditimpa bala. Macam burung duduk di dalam sangkar yang sempit, menggelupur tidak keruan, menyondol sana, menyondol sini hingga tercabut bulu, terkopek kulit kepala.

Sebab itulah Islam menyuruh penganutnya jangan hanya menguatkan akal semata-mata tapi yang penting daripada itu hendaklah sentiasa kuatkan jiwa. Jiwa hendaklah dikuatkan dengan iman dan sifat-sifat taqwa agar apabila diuji, jiwa tidak sempit. Jiwa tidak menderita. Segala keyakinan dan pegangan beragama tidak hilang atau tidak berubah. Fikiran tetap dengan kemerdekaannya kerana jiwa stabil dan normal, tidak terjejas oleh ujian.

Oleh itu jangan kita biarkan jiwa kita terkurung oleh dunia dan masalah. Jangan penjarakan dia di dalam keseksaan nafsu yang memang tidak suka jiwa kita bebas dan merdeka. Jangan biarkan dia diseksa oleh ujian-ujian yang mendatang. Sepatutnya kita biarkan dia terbang hingga bukan sahaja menjelajahi dunia ini tetapi biarkan dia menjelajahi alam malaikat, alam rohaniah yang lebih tinggi lagi atau alam ukhrawiah agar dia bebas sebebas-bebasnya, agar dia merdeka, supaya jangan terasa dia hidup sempit dan terhimpit.

Di samping itu yang lebih penting lagi hendaklah manusia jadikan jiwanya selalu bersama Tuhan. Pergilah dan bawa ke mana-mana bersama Tuhan, jangan biarkan dia keseorangan. Kita jadikanlah Tuhan sebagai kawan jiwa kita. Janganlah lepaskan dia daripada berkawan dengan Tuhan.

Firman Allah SWT:
Maksudnya: "Mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam waktu berdiri, berbaring dan di waktu duduk, mereka sentiasa memikirkan tentang kejadian langit dan bumi seraya berkata, "Wahai Tuhan kami, tidak Engkau jadikan semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, jauhilah kami dari azab api Neraka." (Ali Imran: 191)

Di waktu itu masalah kehidupan dunia tidak akan menggugat. Ujian dan bala bencana tidak akan dapat mengurungnya. Nafsu tidak akan dapat memenjarakannya. Di waktu itu jiwa kita tidak akan tergugat, dia tetap bebas dan gagah, merdeka dan kuat serta pegangan kita tidak akan berubah.

Selasa, 16 Mac 2010

CINTA ANUGERAH ISTIMEWA DARI ALLAH


Maha suci Allah yang mengurniakan pelbagai kenikmatan kepada sekalian hamba-Nya. Allah Maha Mengetahui yang mengurniakan cinta kepada kalangan manusia. Hidup manusia tidak terasa lengkap tanpa kehadiran cinta. Itu satu hakikat dengan fitrah insan yang sentiasa ingin disayangi dan menyayangi.

Allah tidak melarang hamba-Nya bercinta. Malah, Dia yang mengurniakan perasaan itu dalam hati setiap manusia. Beruntunglah bagi sesiapa yang menyucikan cinta.

Cinta nikmat bagi hati setiap insan. Tanpa cinta, manusia akan terus hidup dalam kesakitan dan kesukaran. Tanpa cinta, manusia akan saling benci membenci. Manusia akan hilang perikemanusiaan. Manusia akan sanggup menyakiti insan lain demi mencapai kepentingan diri.

Justeru, sucikanlah cinta dan suburkanlah perasaan itu dengan takwa kepada Yang Maha Esa.

Cinta yang ditafsir sebagai kasih dan sayang, dianugerahkan sejak awal penciptaan manusia. Ketika Nabi Adam di dalam syurga yang penuh kenikmatan, masih terasa ‘kekosongan’ di hatinya. Lantas, Allah Yang Maha Mengetahui, segera menciptakan seorang perempuan, Hawa bagi mengisi kekosongan tersebut. Maka, terisilah keresahan dan kekosongan yang sebelum ini membelenggu jiwa Adam.

Jelaslah, cinta sudah bermula sejak di syurga. Tanpa cinta, pasti akan ada kekosongan dalam jiwa manusia.

Syurga adalah matlamat setiap manusia yang beriman. Allah menjanjikan syurga kepada mereka yang mengamalkan segala perintah-Nya dan meninggalkan apa dilarang. Orang yang layak menghuni syurga adalah mereka dalam kalangan yang baik-baik iaitu para rasul, nabi, siddiqin, syuhada dan solihin. Pahala adalah mahar untuk memasuki syurga. Justeru, cinta juga boleh dijadikan alat untuk mencapai hasrat itu. Jadilah kita insan yang baik-baik agar tergolong dalam kalangan penghuni syurga.

Cinta dilahirkan di tempat baik (syurga), dianugerahkan Yang Maha Baik (Allah), dinikmati kali pertama oleh orang yang baik (Nabi Adam AS) dan diwariskan kepada orang-orang yang baik (para solihin). Cinta lahirnya di syurga dan akan berakhir di syurga.

Bercinta kerana Allah

Cinta sesama manusia hanya alat untuk mencapai cinta Allah. Untuk menjaga kesucian cinta, jadikan cinta Allah sebagai dasar untuk mencintai manusia.

Cinta adalah ‘hadiah’ daripada Tuhan. Maka, kita perlu menghargai cinta dengan mendahulukan ‘pemberi’. Cinta bukanlah pendahulu bagi segala-galanya. Jangan taasub dengan cinta hingga merana jiwa dan lupa daratan.

Peliharalah cinta kerana Allah. Sucikan cinta dengan perkara-perkara disukai Allah. Berkasih sayang sesama manusia kerana Allah. Bagaimanapun, jangan biarkan cinta pada manusia mendahului cinta pada Allah.

Sayangnya, dunia hari ini terlalu disemai dengan cinta abadi sesama manusia. Manusia yang sanggup lupakan keluarga dan sanggup mati kerana cinta. Manusia yang lumpuh seluruh jiwa kerana cinta. Sedangkan, Allah sepatutnya menjadi yang pertama dalam meraih cinta. Cinta sekadar alat pelengkap kekosongan jiwa, namun ia bukanlah segala-galanya.

Jangan biarkan jiwa terus hanyut kerana kekecewaan dalam cinta. Bacalah al-Quran kerana anugerah ketenangan jiwa dengan mengamalkannya adalah cinta daripada Allah. Seperti mana firman Allah:

Kami turunkan daripada al-Quran penawar-penawar dan rahmat bagi orang mukmin (al-Isra’: 82)

Begitu juga dengan amal ibadat lain. Jangan diabaikan kerana kita perlu cintai Allah melebihi segala-galanya. Ini termasuk mendirikan solat kerana menerusinya, kita mampu menghindarkan diri kita daripada ingkar terhadap ketentuan Allah dan dikurniakan ketenangan dalam hati.

Sentiasa menjaga peraturan cinta

Sebagaimana kurniaan lain, cinta dicetuskan dengan beberapa peraturan. Peraturan inilah yang mendorong manusia agar berada di landasan yang benar. Tanpa landasan ini, manusia akan tersasar kerana mengejar cinta.

Ia adalah syariat. Hukum halal (wajib), haram, sunat, makruh dan harus.

Jangan diabaikan yang wajib kerana cinta. Jauhilah yang haram kerana yang kemanisan dengan menempuh yang haram, maka akan berakhir dengan kepahitan. Bagi yang makruh dan harus, gunakanlah pertimbangan yang waras untuk melakukan atau meninggalkannya.

Pelihara cinta dalam rumah tangga

Cinta adalah ‘warisan’ Nabi Adam AS pada orang baik pada kemudian hari. Justeru, jadikanlah cinta sebagai alat untuk melakukan perkara yang baik-baik dalam rumah tangga.

Sabar, reda dan mujahadah semasa menjalankan tanggungjawab dan peranan dalam melayari bahtera rumah tangga.

Tiada rumah tangga yang tidak dilanda badai. Maka, tempuhilah ujian itu dengan penuh sabar dan ketenangan. Ingatlah, ujian datang tanda kasih sayang Tuhan kepada hamba-Nya. Semakin sayang Tuhan kepada kita, maka semakin hebat ujian diberi. Semuanya menuntut kesabaran dan ketakwaan.

Malah kecewa dalam bercinta di alam rumah tangga ujian kepada umat Islam selepas mengakui beriman kepada Allah.

Hal ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta (al-Angkabut: 2-3).

Contohilah Ummu Sulaim yang mengingatkan suaminya bahawa anaknya adalah ‘pinjaman’ daripada Allah dan apabila anak itu kembali ke rahmatullah, ertinya ia dikembalikan kepada pemiliknya (Allah).

Mungkin contoh itu terlalu sukar untuk diteladani, namun contohilah ketabahan mereka dengan memaniskan wajah, menahan kata-kata yang buruk dan bertindak sebaiknya ketika ujian melanda rumah tangga.

Justeru, hadapilah setiap ujian dalam percintaan itu dengan tenang kerana yang terbaik sudah tentulah datangnya daripada Allah.







Khamis, 11 Mac 2010

Sepanjang Jalan Kenangan

Gua Kelam, salah satu dari gua yang paling menarik di Malaysia yang berukuran 370 meter panjang. Ia terletak berhampiran pekan kecil di Kaki Bukit, Perlis.

Gua Kelam terletak kira-kira 33 km ke utara Kangar iaitu ibu negeri Perlis dan sangat popular kerana laluan guanya yang sangat menarik di mana pelawat boleh memasuki gua ini melalui pintu utama dan keluar di tempat yang lain.

Satu-satunya jalan untuk memasuki ke dalam gua ini ialah melalui sebatang jambatan kayu yang tergantung. Jambatan ini menghubungkan pekan Kaki Bukit dengan Lembah Wang Tangga dan Kampung Wang Kelian yang terletak di hujung Gua Kelam.

Pada masa dahulu sekitar tahun 70an ke bawah,jalan inilah merupakan laluan utama untuk penduduk Kampung Wang Kelian keluar untuk mencari keperluan hidup dan menjual hasil pertanian seperti getah, padi dan buah-buahan.

Bagi diriku yang dilahirkan dan di besarkan di Kampung Wang Kelian, laluan ini amat besar ertinya dan banyak kenangan pahit dan manis yang tercipta di sini. Andainya diri ini mampu menulis akan ku tuliskan segala kenangan itu menjadi sebuah novel yang indah untuk menjadi tatapan anak-anak.

Terlalu banyak kenangan yang tercipta di sepanjang laluan ini, hanya mereka yang pernah mengalaminya sahaja yang mengerti dan memahaminya. Segala kesukaran dan kesusahan di dalam liku-liku kehidupan ini, kini menjadi satu kenangan yang begitu indah untuk di kenang dalam kehidupan ini.

Pada masa dulu, orang kampung akan keluar ke Pekan kaki bukit dengan berjalan kaki dan bagi yang mampu ,dengan gerek(basikal) saja . sewaktu nak lalu jambatan ini depa(mereka) akan guna daun nyuq(kelapa) yang di ikat atau botol yang di isi minyak gas(tanah) dan di sumbat dengan kain buruk lalu di nyalakan sebagai lampu untuk melintasi gua kelam. Kini para pelawat tak payah bersusah payah lagi macam kami masa dulu kerana sekarang ini dah di terangi dengan cahaya lampu letrik.

Kepada cikgu-cikgu yang pernah mengajar di Kampung Wang Kelian pada masa dahulu, terimakasih tak terhingga banyaknya kerana sanggup meredah bukit -bukau dan hutan rimba untuk mengajar kami anak-anak Kampung Wang Kelian yang dahagakan ilmu pengetahuan kerana bukan senang untuk sampai di sekolah yang terletak di kampung yang begitu jauh di pendalaman tanpa azam dan semangat yang jitu.Dengan ilmu yang cikgu-cikgu curahkan itulah sekarang dengan izin Allah swt daku dapat menjadi seorang penulis blog walaupun tak sehebat mana tetapi dapatlah juga menitipkan sedikit ilmu yang ada di dada ini,semuga ada yang dapat memberi sedikit manfaat untuk daku dan para pembaca semua hendaknya.

Kepada emak dan ayah terimakasih atas segala kasih sayang dan pengorbanan yang di beri, walau pun kehidupan kita pada masa dahulu serba kekurangan dalam soal harta benda tetapi kita tetap bahagia dalam kasih sayang yang melimpah ruah.Terlalu banyak kenangan yang kita kongsikan bersama di dalam kehidupan ini sehingga ia amat sukat untuk di ungkap dengan kata-kata.Ayah yang membanting tulang untuk memberi kita sekeluarga rezeki dan emak yang begitu sabar dalam mendidik daku untuk menjadi seorang gadis dan sekarang seorang isteri dan ummi yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia.InsyaAllah.

Kepada Allah swt, hamba Mu amat bersyukur atas segala kurnia yang Engkau berikan, tidak terlintas di hati ini untuk menyalahkan takdir yang Engkau tentukan di dalam kehidupan ini walaupun ia amat sukar dan pahit kerana dengan semua itu dapat menjadikan hamba Mu ini seorang yang tahu bersyukur, tabah dan menghargai kehidupan yang di beri sementara ini.

Perjalanan ini,

Terimakasih Allah,
Terimakasih emak dan ayah,
Terimakasih guruku,
Terimakasih Kampung Wang Kelian,
Kerana kalianlah
Kehidupan ini menjadi begitu indah
Dengan segala kenangannya
Tak terucap oleh kata-kata
Tak terlukis oleh tangan-tangan dan
Tak tercatat oleh mata pena.

Isnin, 8 Mac 2010

Jagalah Lidah



Dua perkara penting yang diingatkan junjungan Nabi SAW ialah menjaga serta memelihara lidah dan tingkah laku. Lidah termasuk nikmat Allah yang sangat besar kerana kebaikan diucapkannya akan melahirkan manfaat, yang buruk mendatangkan kesan berpanjangan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetangga dan barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tamunya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Pesanan itu adalah manifestasi pentingnya menjaga tutur kata, tidak mengucapkan hal yang buruk dan menyakiti hati saudara seagama kerana bertutur sembarangan tanpa berfikir kesannya akan membawa kepada permusuhan, kekacauan bahkan boleh menjurus kepada pertumpahan darah.

Rasulullah SAW berpesan supaya menjaga lidah dan tingkah laku supaya tidak mengganggu serta melampaui batas atau menyentuh hak orang lain. Sabda Baginda yang bermaksud: “Janganlah kamu berlebih-lebihan dalam beragama.” (Hadis riwayat Ahmad)

Pada saat pengaruh kehidupan bersalut kebendaan, didapati manusia semakin boros mengeluarkan kata-kata sehingga ada yang terlupa mempertahankan sifat santun dan adab dalam menuturkannya hingga menyakitkan hati pendengarnya.

Harus diakui manusia memang berbeza pandangan, pendirian dan bebas membuat penafsiran terhadap sesuatu yang dirasakan benar baginya tetapi ketika yang sama, manusia diberi akal dan iman untuk mempertimbangkan ilmu secara beradab.

Firman Allah yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu wahai Muhammad dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah al-Nahl, ayat 125)

Debat Nabi SAW jelas beretika dan halus budi bahasanya. Setiap patah kata dalam ungkapannya dapat menjadi contoh mereka yang mencintai kebenaran. Tetapi sayang, sebahagian daripada pendebat sekarang menyimpang jauh daripada panduan kerana debat mereka untuk mencari pengaruh dan kemenangan.

Sedangkan debat yang dicadangkan adalah untuk mencari jalan yang lurus. Oleh itu, berhujah untuk memburukkan lawan, pelbagai kata kasar dan nista terkeluar. Keburukan demi keburukan orang didedah dan diaibkan melalui kata-kata.

Cucunda Rasulullah SAW, Saidina Hussain berkata, seseorang yang menceritakan keburukan orang lain di hadapanmu, boleh jadi dia akan menceritakan keburukanmu (juga) pada orang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa mampu menjaga apa yang ada antara dua janggut dan apa yang ada di antara dua kaki, maka aku jamin dia masuk syurga. (Hadis riwayat Sahl bin Sa'ad)

Apabila seseorang memahami dan mengerti bahawa setiap perkataan diucapkan melalui lidahnya akan dihisab dan dibalas maka, dia akan tahu untuk menjaga lidahnya, menjaga tutur katanya dan mempertimbangkan dengan teliti sebelum berkata-kata.

Justeru, jangan biarkan lidah itu lebih cepat daripada akal dalam menuturkan kata-kata. Apalagi apabila akal gagal mengawal tutur katanya menyebabkan apa yang terkeluar itu menjadi zarah amarah dan dendam bersalut nafsu semata-mata. Bahaya lidah sebenarnya amat bisa dan tajam.

Rasulullah SAW pernah mengumpamakan lidah itu sebagai kunci segala perkara, yakni perkara baik dan buruk. Sabda Baginda kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud: “Mahukah engkau aku beritahukan mengenai kunci semua perkara ini? Aku (Muaz) menjawab: Mahu wahai Rasulullah SAW. Lalu Baginda SAW memegang lidahnya dengan berkata: Awas, jagalah ini (lidah) baik-baik. Aku (Muaz) pun berkata pula: Wahai Rasulullah SAW, apakah kami akan dituntut atas tutur kata kami? Lalu Baginda SAW menjawab: Moga-moga Allah memelihara engkau. Tiada lain yang akan menjerumuskan manusia menerusi muka atau batang hidungnya ke dalam neraka, melainkan tutur katanya sendiri.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Akhir-akhir ini perkataan melaknat dan mengutuk sering menjadi mainan sesetengah individu atau kumpulan dalam masyarakat. Ucapan seperti itu hanya mengundang kemarahan dan perkara itu amat disenangi iblis.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullullah SAW ada menceritakan suatu kisah: “Pada zaman Bani Israil dulu, hidup dua orang lelaki yang mempunyai sikap berbeza. Lelaki pertama suka berbuat dosa, sementara yang kedua rajin beribadah. Setiap kali ahli ibadah melihat temannya berbuat dosa, ia menyarankan rakannya itu untuk berhenti daripada perbuatan dosanya.

Suatu ketika, ahli ibadah itu berkata lagi: “Berhentilah daripada perbuatan dosa. Ahli maksiat pun menjawab: Jangan pedulikan aku, terserah kepada Allah yang akan menilai perbuatanku. Adakah engkau diutus Allah untuk mengawasi setiap apa yang aku lakukan? Ahli ibadah membalas: Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni oleh-Nya atau kamu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga Allah.

Selepas kedua-dua ahli ibadah dan ahli maksiat itu meninggal dunia, Allah menghakimi kedua-dua mereka di hadapan-Nya. Allah menyoal ahli ibadah: Adakah kamu lebih mengetahui daripada-Ku? Atau adakah kamu dapat mengetahui apa yang berada dalam kekuasaan-Ku?

Kemudian, Allah berfirman kepada ahli maksiat: Masuklah kamu ke dalam syurga Berkat rahmat-Ku. Sementara kepada ahli ibadah dikatakan: Masukkan orang ini ke dalam neraka.”

Sesungguhnya Allah menghukum ahli ibadah kerana dia sudah berbuat syirik kepada Allah dengan menentukan seseorang masuk ke neraka. Ini kerana kuasa menghukum mutlak milik Allah, bukan sekali-kali hak milik manusia yang tidak berkuasa atas makhluk lain.



Rabu, 3 Mac 2010

Tanda Hati Di Sayangi Allah



Kehidupan yang kita tempuhi pada saat ini adalah kurniaan Allah swt yang amat berharga dan tinggi nilainya. Sejajar itu sebagai seorang hamba hendaklah kita sentiasa kembali mentaati perintah Allah swt dengan mematuhi suruhan-Nya, menjauhi larangan-Nya, menyerahkan sepenuh ketaatan hanya kepada-Nya dan menjadikan Agama-Nya sebagai satu-satunya cara hidup yang syamil dan kamil. Bagi memenuhi tuntutan ini, maka hati mestilah di ambil berat, di jaga, di kawal, di bentuk, di proses dan di didik dengan sebaik-baiknya.

Hati merupakan bekas yang bersedia menerima apa saja sama ada petunjuk atau kesesatan, kufur atau takwa, maka ia mestilah di jaga dengan sebaiknya agar ia menjadi sihat dan mulia dengan Islam. Hati yang Rabbani akan sentiasa berhubung setiap masa dan ketika dengan Allah dan mematuhi segala perintah-Nya. Di antara tanda yang memperlihatkan dan menunjukkan hidupnya hati yang kita miliki ialah ia sentiasa mengingati Allah swt baik dalam keadaan senang mahu pun susah.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
" Di dalam jasad itu ada seketul daging, apabila rosak ia, maka rosaklah badan seluruhnya dan apabila sihat maka sihatlah badan seluruhnya,dia ialah hati."

Untuk melihat dan mengetahui sejauh mana keras atau lembut,kontang atau subur, mati atau hidupnya hati kita terdapat beberapa tanda yang menjadi bukti. Antaranya ialah:
  • Sentiasa mengingati Allah swt dan zikrullah-di dalam erti kata yang luas seperti membaca Al-Quran dan menunaikan ibadat-ibadat yang di perintahkan.
  • Kuat berpegang kepada deen, sentiasa menyampaikan kebenaran di dalam apa saja suasana dan ketika. Untuk mendapat pegangan yang kuat terhadap deen Allah swt bukanlah satu pekara yang mudah malah mesti melalui proses yang betul iaitu berpandukan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw. Pegangan yang kuat sebenarnya merupakan natijah yang lahir dari iman yang mantab dan kukuh."Hati laksana bekas yang paling disukai Allah swt. Ia perlu di proses sehingga menjadi lembut, bersih, kuat pegangan terhadap Deen Allah dan lembut terhadap saudara-saudaranya."
  • Pemilik hati yang takut kepada Allah swt akan menjauhi larangan-Nya serta menjauhkan diri dari pekara yang sia-sia.
  • Bersih dari hasad, marah dan menipu."Di tanyakan Rasulullah saw: Wahai Rasulullah! sipakah sebaik-baik manusia? Jawab Baginda:Setiap orang yang beriman. Di tanya lagi apakah itu? Jawab Baginda: Yang bertakwa, tidak menipu, melampau dan hasad".
  • Tenang dan lapang hati berada di atas sistem Allah swt serta merasa redha, puas dan izzah(mulia) dengannya sepanjang hayat.
Akhir kata, cahaya iman apabila dicampakkan oleh Allah ke dalam hati maka ia akan merasa luas, lapang dan tenang. Sedikanlah bekalan yang boleh menjadikan'Qalban Rabbaniyan" ,merasa puas ,mulia dan yakin terhadap Deen Allah swt.
"Orang-orang yang beriman itu hati mereka menjadi tenteram kerana mengingati Allah. Ingatlah bahawa dengan mengingati Allah itu hati menjadi tenteram".