Jarang manusia memikirkan apakah rahsia di sebalik alam yang terbentang luas ini.Terciptanya gunung-ganang,lautan yang luas saujana mata memandang,pergantian siang dan malam dan pelbagai fenomena yang menakjubkan;menandakan adanya kekuasaan Allah dan pentadbiran-Nya.Sedangkan berfikir mengenai hal ini akan mendidik hati kita untuk merasakan kebesaran Allah dan kelemahan diri kita.
Dalam Al-Qur'an sering terdapat kalimah-kalimah yang mengajak kita berfikir.
Berfikir boleh diibaratkan seperti melihat pada cermin yang bersih.Melalui cermin, kita dapat melihat,menilai sesuatu yang mana cantik yang mana buruk.Begitu juga dengan berfikir,diri kita terarah untuk menentukan mana yang baik dan mana yang buruk.
Oleh sebab itulah, diamnya orang yang berfikir lebih baik daripada orang yang banyak berkata tetapi tidak berfikir.Diamnya orang yang berfikir apabila bersuara mengucapkan kata-kata yang baik.Sesungguhnya kata-kata yang baik adalah zikir.
Satu perkara yang tidak ternilai harganya ialah ma'rifah tentang Allah S.W.T. Ini juga boleh dicapai dengan cara berfikir.Apabila otak berfikir dan disuluh dengan keimanan,hati akan mengenal Allah.Maka hati tidak akan tergamak melakukan maksiat.Dosa-dosa zahir dan batin pun akan berkurang.Oleh sebab itu,orang-orang yang beriman akan sentiasa mengingati dan mensyukuri nikmat-nikmat yang telah Allah kurnaikan kepadanya.
Apakah yang hendak difikirkan?Berfikirlah perkara-perkara yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah.
Contohnya,fikirkan jasa orang lain kepada kita.Apabila memikirkan jasa dan pertolongan mereka,hati akan sangat berterima kasih dan berkeinginan untuk membalas jasa mereka.Berterima kasih kepada manusia juga hakikatnya bersyukur kepada Allah S.W.T.
Jika melihat orang tua,fikirkanlah tentang umur dan ajal.Jangan pula berfikir negatif.Sebaliknya fikirkan supaya setiap detik umur harus dihabiskan dengan perkara yang bermanfaat.Hati akan terdorong untuk menghisab diri dan menghalang diri daripada berterusan melakukan maksiat dan dosa.
Cendiakawan pernah berkata,"Jangan memikirkan tentang tiga perkara iaitu:
1.Kemiskinan
2.Aniaya orang lain kepada kita
3.Tinggal tetap di dunia."
Memikirkan kemiskinan dikhuatiri akan menghilangkan rasa redha terhadap pemberian-Nya.Memikirkan aniaya orang terhadap kita akan menyebabkan hati akan bertambah keras serta menyuburkan perasaan dendam. Dilarang memikirkan untuk tinggal tetap di dunia kerana ia akan membuatkan kita semakin gemar menghimpun harta serta menangguhkan amalan dan lalai daripada mengingati kematian yang pasti datang.
Walau bagaimanapun,masa berfikir biarlah bertempat.Malanglah manusia yang berfikir ketika mendirikan solat atau jika berfikir pun hanya pada perkara duniawi.
Antara waktu berfikir yang sesuai ialah ketika berseorangan dan ketika hendak tidur.Anggaplah tidur kita pada kali itu adalah tidur yang selama-lamanya.Ketika itu muhasabah dan bertaubatlah dengan dosa besar atau kecil yang mungkin dilakukan tanpa sengaja.
Sentiasalah berfikir agar dapat membangunkan jiwa serta peribadi mulia.Tajamkan fikiran dengan ilmu pengetahuan dan agama agar fikiran kita terarah kepada kebaikan.
Rabu, 6 Mei 2009
Pemikiran membentuk peribadi
Dicatat oleh sekuntum mawar berduri di 7:37 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 ulasan:
Catat Ulasan