BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Pengunjung

Selasa, 19 Oktober 2010

HIASILAH DIRI DENGAN SIFAT MALU


Sesungguhnya agama Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa melakukan kebaikan dan meninggalkan segala kejahatan dan kemungkaran. Islam juga menyeru kita untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia dan terpuji kerana perbuatan tersebut akan memberikan kebahagiaan dalam kehidupan kita sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti. Antara akhlak yang di tuntut supaya kita memilikinya ialah sifat malu.

Semua agama menyuruh umat mereka berakhlak dan beretika. Namun akhlak Islam itu sifatnya tersendiri kerana akhlak Islam memiliki satu sifat yang membezakan malah meletakkannya lebih tinggi dan mulia dari akhlak agama-agama yang lain, seperti mana sabda Nabi saw yang bermaksud:
"Sesungguhnya semua agama mempunyai akhlak, dan akhlak Islam itu adalah sifat malu". (Riwayat Imam Malik)

Dari hadis tadi dapatlah dikatakan bahawa ketinggian akhlak dan kemuliaan itu terangkum dalam sifat malu yang wajib menjadi pakaian diri kita yang mengaku sebagai muslim. Ini kerana sifat malu amat berkait rapat dengan keimanan seseorang. Ertinya, iman seseorang itu tidak akan lengkap sekiranya dia tidak memiliki sifat malu.Pekara ini adalah dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
" Iman itu mempunyai lebih dari tujuh puluh cabang, yang paling utama atau tinggi ialah ucapan La ilaha illallah dan yang paling rendah ialah membuang benda yang meghalang laluan dan sifat malu itu adalah salah satu dari cabang keimanan". ( Hadis dikeluarkan oleh Imam Bukhari dan Imam Malik)

Sifat malu boleh membantu kita agar sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah swt dan dapat menhindarkan diri daripada melakukan maksiat kepada Allah swt. Dari Ibnu Mas'ud Al-badari ra Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
" Bahawasanya setengah yang di dapati manusia dari perkataan nabi yang terdahulu ialah: "Apabila engkau tidak malu maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki".
Hadis ini sebagai dalil yang menunjukkan bahawa sifat malu adalah sebagai perisai bagi seseorang dari melakukan tindakkan yang boleh mendatangkan mudarat kepada agamanya atau merosakkan akhlak dan maruahnya. Sifat malu, merupakan sifat yang istimewa bagi manusia maka orang yang tidak memiliki sifat malu maka tidak ada lagi sifat kemanusiaan di dalam dirinya.

Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri dan cuba untuk menghiasi diri dengan sifat malu secara berterusan tanpa mengira waktu dan keadaan. Kadang- kadang orang merasa malu untuk menghadirkan dirinya pada majlis-majlis agama kerana takut di anggap sebagai seorang yang alim dan ada orang yang takut untuk menutup auratnya takut di anggap ketinggal zaman. Sifat malu seperti ini adalah sifat malu yang tidak bertempat dan ia telah tersasar daripada sifat malu yang di tuntut di dalam Islam. Sebenarnya, malu kepada Allah adalah yang paling utama bukannya kepada sesama manusia. Nabi saw bersabda yang maksudnya:
"Sesungguhnya Allah saja yang berhak kita malu daripadanya". (Riwayat At-Tarmizi)

Dengan memerhati dan menghargai segala nikmat Allah swt atas diri kita, akan lahirlah di lubuk hati rasa malu yang amat kepada Allah swt, malu kerana tahu banyak nikmat yang telah Allah swt anugerahkan kepada kita seperti nikmat rezeki yag melimpah ruah, udara yang segar untuk kita meneruskan kehidupan ini dan bumi yang menghijau untuk kita mendiaminya.Namun segala pemberian Allah itu melebihi ketaatan yang kita persembahkan kepadaNya. Bahkan kita sanggup membelakangkan Allah atas segala pemberian dan anugerah dariNya itu.

Ibnu Mas'ud meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Malulah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar malu".
Para sahabat berkata:
"Sesungguhnya kami semua telah pun malu kepada Allah swt, alhamdulillah".
Selanjutnya baginda bersabda lagi yang bermaksud:
"Bukan begitu, tetapi malu kepada Allah sebenar-benar malu ialah engkau memelihara kepala dan apa yang ada diatasnya dan engkau memelihara perut dan apa yang ada di dalamnya(apa yang dimakan), meningati mati dan kebusukannya. Barangsiapa menhendaki akhirat hendaklah ia meninggalkan perhiasan dunia dan barangsiapa yang melakukan pekara tersebut, maka ia telah malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya". (Riwayat at-Tarmizi)
Maka jelas disini kita di tuntut untuk menghiaskan diri dengan sifat malu tetapi bukanlah terhadap sesama manusia, sebaliknya kita harus malu kepada Allah swt semata-mata.

Lazimnya, sifat malu sering di kaitkan dengan orang perempuan atau wanita. Memang Islam sendiri meletakkan wanita sebagai orang yang sepatutnya bersifat malu akan tetapi tidaklah bermaksud golongan lelaki tidak perlu bersifat malu. Bahkan kita semua dituntut untuk memiliki sifat malu seperti mana yang di contohkan oleh Nabi saw. Seperti yang di riwayatkan oleh Abu Said al- Khudri ra berkata:
" Sesungguhnya Rasulullah saw itu lebih malu dari seorang gadis pingittan dan jika Baginda melihat sesuatu yang di bencinya maka kami mengetahui dari air mukanya".


Walaupun kita ummat ISLAM disuruh untuk memiliki sifat malu, namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang haq kita seharusnya tidak terlalu dikongkong malu. Malah, wanita-wanita ketika zaman Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak menghalangi diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan. Mereka tidak malu dalam menuntut ilmu. Sifat ini wajar kita contohi.

Malah dalam pepatah Melayu juga ada mengatakan bahawa “Malu bertanya sesat jalan”. Ini menunjukkan bahawa dalam mengeluarkan diri dari kejahilan dan kekaburan, jangan kita malu untuk bertanya dan menimba ilmu. Selain itu, rasa malu untuk melakukan kebaikan juga tidak patut ada di dalam diri manusia. Kerana ALLAH swt menyuruh hamba-hambaNYA agar berlumba-lumba membuat kebaikan.

Letaklah rasa malu di tempat yang sepatutnya. Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam bab ilmu, menyatakan kebenaran dan mengejar ganjaran untuk berbuat kebaikan jangan pula malu menghalangi diri kita. Namun, sifat malu tidak boleh juga dibuang apabila membuat ketiga-tiga perkara kebaikan tersebut. Ini kerana malu akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas, walaupun dalam hal membuat kebaikan.

Mudah-mudahan ALLAH swt memberikan hidayah dan taufiqNYA kepada kita semua, Insyaallah.

1 ulasan:

Abd Razak berkata...

Salam...

Malu melakukan maksiat itulah lebih utama kerana kita tahu Allah sentiasa mengawasi kita.