BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Pengunjung

Sabtu, 13 Februari 2010



Senyuman bukan saja dapat membahagiakan diri tetapi juga gambarkan keikhlasan hati

SETIAP manusia melihat dunia ini sesuai dengan perbuatan, fikiran dan dorongan hidupnya. Ini bermakna bahawa apabila amal perbuatannya baik, fikirannya bersih dan motivasi hidupnya suci, maka dia akan melihat dunia ini bersih dan indah seperti dunia itu diciptakan. Begitu pula sebaliknya, apabila amal perbuatannya buruk, fikirannya kotor dan motivasinya ternoda, maka dunia ini akan terlihat gelap gelita dan dia melihat segala sesuatu berasa hitam pekat.

Di sinilah letak rahsia keistimewaan ihsan dalam proses pengajaran malaikat Jibril as yang datang kepada baginda Rasulullah SAW dalam hadis sahih riwayat Muslim yang bermaksud:

“Daripada Umar ra, katanya: “Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah SAW tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan atasnya tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalnya sehingga ia duduk berdekatan kepada Nabi SAW lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada dua lutut Nabi dan meletakkan kedua telapak tangannya ke atas dua paha Nabi.

Kemudian ia berkata: “Wahai Muhammad, khabarkanlah kepadaku daripada hal Islam,” maka Rasulullah menjawab: “Islam itu ialah bahawa engkau mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya”. Dia berkata: “Benarlah engkau”. Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.

Katanya lagi: “Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal Iman?”, Rasulullah menjawab: “Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan malaikat-Nya dan segala kitab-Nya dan Rasul-Nya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada takdir baiknya dan jahatnya”. Dia berkata: “Benarlah engkau”.

Kemudian dia bertanya lagi: “Maka sekarang khabarkanlah kepadaku daripada hal ihsan?” Rasulullah menjawab: “Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”.

Akhirnya dia berkata meneruskan pertanyaannya lagi: “Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal hari kiamat”. Rasulullah menjawab: “Tidaklah yang ditanya daripadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya”. “Kalau begitu katanya, maka khabarkanlah kepadaku daripada tanda-tandanya saja.” Rasulullah menjawab: “Tanda-tandanya itu ialah apabila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing (berbangga-bangga) menegak dan meninggikan binaannya.”

Kemudian dia pun pergi, lalu aku terdiam beberapa lama. Setelah itu, Rasulullah berkata: “Wahai Umar, adakah engkau tahu siapakah orang yang bertanya itu?”. Berkata aku: “Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu.” Rasulullah berkata: “Sesungguhnya itulah dia Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.”

Dalam Kamus Dewan “Ihsan” dijelaskan dengan mengambil kira makna hadis di atas ketika menjelaskan maknanya dengan “beribadat kepada Allah dengan menyedari bahawa seseorang itu berhadapan dengan Allah Subhanahu Wataala yang sentiasa melihatnya.”

“Ihsan” juga bererti kebaikan, kebajikan, kemurahan hati (lawan bakhil) seperti dalam Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan atau “Ihsan” juga bererti perbuatan (derma dan sebagainya) yang baik, kebaikan, kemurahan hati, kebajikan, kedermawanan seperti dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara.

Dalam al-Quran perkataan al-ihsan asalnya daripada perkataan: ahsana, yuhsinu, ahsin, ihsanan dan setidaknya ada 12 ayatnya yang mengandungi lafaz ihsan/ihsanan yang menunjukkan kepada perbuatan baik dan kebaikan yang lebih daripada yang sepatutnya atau yang sama maksudnya. Ada kira-kira sebanyak 38 ayat lagi menunjuk kepada pujian dan penghargaan tinggi kepada pelakunya dengan lafaz muhsin, muhsinun, muhsinin, muhsinat. Selanjutnya ada pula lafaz lain yang juga berkaitan dengan al-ihsan itu. Semuanya membawa pengertian menurut konteks ayat yang difirmankan oleh Allah Subhanahu Wataala. (al-Mu’jam al-Mufahras li Alfa al-Quran).

Konteks ihsan kepada sesama makhluk sangat luas dalam al-Quran dan ia sangat jelas dalam ayatnya bermaksud:

“Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim, serta orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu; dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya”. (Surah al-Baqarah: 83)

Bahkan perbuatan ihsan diperintahkan Allah dengan tegas dalam firman-Nya bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.” (Surah al-Nahl: 90)

Satu daripada bukti wujudnya ihsan dalam diri manusia adalah senyum yang selalu melekat pada bibir seseorang kerana senyuman adalah bunga daripada perbuatan, fikiran dan motivasi yang baik. “Senyummu kala bertemu saudaramu bernilai sedekah“, seperti dalam hadis menunjukkan bahawa senyum berakar daripada ihsan kerana sedekah tidak akan diberikan kecuali oleh orang yang bersih hati dan perbuatan.

Senyum yang tulus bukti kebahagian diri yang dihasilkan oleh kandungan ihsan pada diri manusia. Ahmad Amin dalam Faid al-Kathir menulis:

“Orang yang murah dengan senyuman dalam menjalani hidup ini bukan saja orang yang paling mampu membahagiakan diri sendiri, tetapi juga orang yang berkemampuan lebih dalam mengerjakan pelbagai urusan, lebih bertanggungjawab ketika memikul tugas, orang yang paling kuat menghadapi kesulitan dan memecahkan persoalan dan lebih profesional dalam memikul urusan penting yang bermanfaat bagi diri mereka dan masyarakat. Seandainya saya disuruh memilih di antara harta yang banyak atau kedudukan yang tinggi dengan jiwa yang tenteram damai dan selalu tersenyum, pastilah saya memilih yang kedua. Sebabnya ialah, apa ertinya harta yang banyak bila wajah selalu muram? Apa ertinya pangkat dan kedudukan sekiranya jiwa sering cemas?”

Allah menyukai orang yang berbuat ihsan, dan ia disebutkan dalam beberapa ayat al-Quran. Jika kesukaan Allah sudah berada pada diri manusia maka senyum adalah tandanya. Di samping itu, rahmat Allah sangat dekat dengan orang yang sentiasa berbuat ihsan. Allah berfirman maksudnya:

“Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang muhsinin (orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A’raf: 5)

Jika begini adanya dalam al-Quran, tidakkah kita ingin sentiasa dekat dengan rahmat Allah?





Khamis, 11 Februari 2010



DI JENDELA USIA

Tuhan,
Pada-Mu aku pasrah
Akur, alah dan menyerah
Seluruhnya sudah pudar
Cintaku kian tercalar

Tuhan
Senjaku semakin dekat
Di sumur dosa aku melarat
Di hujung umur ku pasti kembali
Sedang hatiku tak suci lagi

Tuhan
Langkahku entahkan mati
Mendaki kasihMu nan tinggi
Namun cintaku bukan palsu
Walaupun sering terganggu

Tuhan
Kekadang terasa sayang-Mu
Bersama kurnia hidayah
Kekadang terasa murka-Mu
Seiring patahnya mujahadah

Tuhan,
Terlerai ribuan taubatku
Terungai semua janjiku
Kataku sering mungkir
CintaMu sering terpinggir

Tuhan,
Aku masih setia
Mengemis di jendela usia
Terus mencari wajah diri
Menadah keampunan Ilahi!


Isnin, 8 Februari 2010


DIET CARA RASULULLAH SAW

Rupa-rupanya tanpa kita sedari, dalam makanan yg kita makan sehari-hari, kita tak boleh main makan sahaja? Sebab itulah terjadinya penyakit kencing manis, lumpuh, sakit jantung, keracunan makanan dan lain-lain penyakit apabila kita telah tua nanti.

Ini pun adalah diet Rasullulah SAW kita juga. Ustaz Abdullah Mahmood kata, Rasullulah tak pernah sakit perut sepanjang hayatnya kerana pandai jaga pemakanannya sehari-hari. apa kata kita ikut diet ini. Tak payah susah-susah makan pil untuk kurus? Insha Allah kalau ikut diet Rasullullah, kita tak akan sakit perut ataupun keracunan makanan.

Jangan makan SUSU + DAGING

Jangan makan DAGING + IKAN

Jangan makan IKAN + SUSU

Jangan makan AYAM + SUSU

Jangan makan IKAN + TELUR

Jangan makan IKAN + DAUN SALAD

Jangan makan SUSU + CUKA

Jangan makan BUAH + SUSU CTH :- KOKTEL

# JANGAN MAKAN BUAH SELEPAS MAKAN NASI , SEBALIKNYA MAKAN BUAH TERLEBIH DAHULU, BARU MAKAN NASI.

# TIDUR 1 JAM SELEPAS MAKAN TENGAHARI.

# JANGAN SESEKALI TINGGAL MAKAN MALAM . SESIAPA YG TINGGAL MAKAN MALAM DIA AKAN DIMAKAN USIA DAN KOLESTEROL DALAM BADAN AKAN BERGANDA.

Nampak memanglah pelik.. tapi tiada keraguan. Ianya berkesan bila kita sudah tua nanti.

Dalam kitab juga ada melarang kita makan makanan darat bercampur dengan
makanan laut. Nabi pernah menegah kita makan ikan bersama susu di khuatiri akan cepat mendapat penyakit. Ini terbukti oleh saintis yang menjumpai dimana dalam badan ayam mengandungi ion+ manakala dalam ikan mengandungi ion-, jika dalam suapan ayam bercampur dengan ikan maka terjadi tidakkan balas biokimia yang terhasil yang boleh merosakkan usus kita.

Mandi Pagi sebelum subuh @ sekurang kurangnya sejam sebelum matahari naik.
Air sejuk yang meresap kedalam badan boleh mengurangkan lemak mengumpul. Kita boleh saksikan orang mengamal mandi pagi kebanyakan badan tak gemuk.

Rasulullah mengamalkan minum segelas air sejuk (bukan air ais) setiap pagi. Mujarabnya Insayallah jauh dari penyakit (susah nak kena sakit).


Nabi juga mengajar kita makan dengan tangan dan bila habis hendaklah menjilat jari. Begitu juga ahli saintis telah menjumpa bahawa enzyme banyak terkandung di celah jari jari, iaitu 10 kali ganda terdapat dalam air liur. (enzyme sejenis alat percerna makanan, tanpanya makanan tidak hadam)

Wassalam…
InsyaAllah sama-samalah kita mengamalkannya…….

Jumaat, 5 Februari 2010

TABIAT MAKAN YANG SALAH


Terdapat sekurang-kurangnya lima jenis kebiasaan makanan yang menyebabkan kita kekurangan gizi. Tabiat seperti ini membuatkan kita tidak dapat menikmati tenaga, kehidupan dan kesihatan yang sempurna.

Makan terlalu banyak. Memakan makanan yang sukatannya melebihi keperluan tubuh bererti menambah kalori tambahan yang di simpan dalam tubuh sebagai lemak, akibatnya berat badan akan menjadi berlebihan.

Makanan ringan. Ia boleh mengurangkan selera untuk makan makanan yang sebenarnya, menggangu alat-alat pencernaan sehingga kurang berfungsi dengan baik, memasukkan kalori tambahan lalu meningkatkan berat badan dan mendorong kita memakan makanan yang kurang vitamin dan zat mineral.

Terlalu banyak makan gula. Walaupun gula berisi tenaga yang dapat digunakan secara mendadak, tetapi ' kalori kosong' ini tidak mempunyai vitamin dan zat mineral yang diperlukan. Selain itu, tabiat ini akan menghilangkan selera untuk menikmati makanan yang mengandungi gizi seimbang. Ia juga boleh merosakkan gigi kerana bertindak balas langsung dengan enamel gigi.

Mengabaikan sarapan pagi. Kebiasaan ini menimbulkan rasa sangat lapar sebelum tengah hari sehingga memanjakan diri mengambil makanan ringan. Tabiat ini menghilangkan selera makan pada waktu makan tengahari dan kalori yang diperolehi dari makanan ringan itu bukan dari memakan makanan seimbang yang disajikan secara teratur.

Seorang yang makan makanan berkhasiat, melakukan gerak badan teratur dan mengamalkan kehidupan sihat mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
  1. Wajah yang segar dan bersinar serta mempamerkan kepuasan.
  2. Tulang-belulangnya kukuh. Ia menghasilkan tangan dan kaki yang kuat, bentuk kepala dan dada yang sempurna.
  3. Otot-ototnya kuat dan sempurna. Hasilnya, tegap sewaktu duduk, berdiri dan berjalan.
  4. Susunan tubuhnya menyenangkan. Mempunyai cukup persediaan lemak di bawah kulit untuk membungkus tulang dan otot tetapi berat tidak berlebihan.
  5. Tubuhnya berfungsi dengan baik. Kesannya, dapat menikmati makanan, alat pencernaan dan pembuangan berfungsi secara normal, tidur nyenyak dan bangun dengan segar serta tidak mudah tersinggung.
Dipetik dari buku 'Anda dan kesihatan Anda' karya Harold Schryock, profesor Emeritus Anatomi dan bekas Dekan Sekolah Perubatan Loma Linda, Universiti California.


Rabu, 3 Februari 2010


Rasanya tidak salah kalau di katakan bahawa Surah Yassin merupakan satu surah yang paling kerap di baca oleh masyarakat melayu.Persoalannya ialah sejauh mana kita memahami dan merasai peringatan dalam Surah Yassin tersebut.Mari renungi dan hayati bersama apa yang ada di dalam Surah Yassin yang sering di baca tersebut.

Ayat kedua dalam Surah Yassin yang bermaksud "Dan Al-Quran yang penuh hikmah". Ayat ini menyatakan tentang hakikat Al-Quran yang penuh dengan hikmah. Hikmah bermakna puncak ilmu. Al-Quran penuh dengan pelbagai jenis ilmu yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Al-Quran penuh dengan ilmu yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Semuanya merupakan kebenaran yang mutlak dan tidak dapat diragui sedikit pun.

Sehubungan dengan pegertian di atas, sudah sewajarnya Al-Quran di ambil sebagai panduan dalam kehidupan kita. Tidak ada panduan lain yang dapat menandingi ketinggian ilmu Al-Quran. Oleh itu, tidak sepatutnya umat Islam mengabaikan Al-Quran yang begitu berharga untuk kehidupan manusia. Sepatutnya umat Islam berpegang teguh dengan Al-Quran yang penuh hikmah untuk mencapai puncak kegemilangan. Pekara ini telah pun dibuktikan dalam sejarah keagungan Islam.

Walaupun Al-Quran penuh dengan hikmah, pada realitinya masyarakat Islam masih ragu-ragu dengan ajaran Al-Quran. Keraguan tersebut bukan dilafazkan dengan kata-kata. Sebaliknya sikap masyarakat Islam terhadap Al-Quran itu sendiri yang membuktikan keraguan tersebut.

Antara sikap yang menunjukkan bahawa masyarakat Islam ragu-ragu terhadap Al-Quran ialah:
  • Al-Quran hanya disimpan dalam almari kaca atau rak buku yang cantik, baik dirumah atau di masjid dan surau.
  • Al-Quran hanya di jadikan bahan hiasan sebagai hantaran perkahwinan dan untuk mengindahkan rumah atau tempat kerja.
  • Al-Quran hanya di baca tetapi tidak ada usaha yang serius untuk memahami apa yang dibaca.
  • Al-Quran tidak di jadikan panduan dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang di hadapi.
  • Al-Quran tidak dijadikan dasar dalam kehidupan seharian sama ada untuk individu, keluarga mahupun masyarakat.
Allah swt berulang kali mengingatkan manusia bahawa tidak ada keraguan dalam Al-Quran. Dalam surah Al-Baqarah ayat kedua yang bermaksud, " Itulah kitab(Quran) yang tidak ada keraguan di dalamnya".
Dalam surah Ali-Imran ayat ketiga yang bermaksud, " Dialah yang menurunkan al- kitab dengan hak(kebenaran)".
Dalam surah Al-Waqi'ah ayat 81 yang bermaksud, " Apakah kamu masih menganggap remeh terhadap Al-Quran".

Ayat-ayat di atas merupakan peringatan daripada Allah swt supaya manusia tidak ragu terhadap Al-Quran. Allah swt juga menekankan bahawa Al-Quran merupakan kitab yang hak. Oleh yang demikian tidak sepatutnya kita memandang remeh terhadap Al-Quran.

Al-Quran bukan sebarang kitab. Al-Quran adalah daripada Allah swt yang merupakan pencipta dan pemelihara seluruh alam.


Anakku......

Bila kau sudah maju ke hadapan

Sesekali tolehlah ke belakang

Agar tidak kau lupa

Bagaimana susahnya menjadi

Seorang manusia berguna

Anakku......

Bila kau berjaya ke kemuncak langit

Sesekali pandanglah rumput di bumi

Agar tidak kau lupa

Tanah tempat asalmu

Anakku.....

Bila kau sudah mencapai segalanya

Janganlah kau mendabik dada

Kerana Tuhan itu Maha Berkuasa

Dalam sekelip mata kau akan menjadi

Seorang yang meminta-minta

Anakku.....

Apabila kau telah mendapat apa yang kau impikan

Bersyukurlah kerana Dia adalah segala-galanya

Jangan sekali-kali kau lupa

Bahawa semua itu hanya sementara

Anakku ......

Jika kau gagal mencapai apa yang kau impikan

Janganlah kau kecewa menyalahkan takdir

Kerana itu adalah sikap yang dibenci olehNya

Dan jadilah seorang manusia yang bertaqwa

Anakku.....

Hanya itu nasihat dari ku

Buat bekalan di hari depanmu

Doaku sentiasa mengiringimu

Insyallah keberkatan dunia dan akhirat bersamamu

Semoga nasihat ini terpahat di sanubarimu


Selamat ulangtahun yang ke 11 semuga Allah sentiasa memberi kejayaan dan kebahagian di dunia dan akhirat untuk anak ummi tersayang-Nur Annida.
Hendaklah sentiasa ingat masa yang telah pergi tak akan kembali.
Umur semalam tak akan di lalui lagi maka jadikanlah hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.