BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Pengunjung

Sabtu, 13 Februari 2010



Senyuman bukan saja dapat membahagiakan diri tetapi juga gambarkan keikhlasan hati

SETIAP manusia melihat dunia ini sesuai dengan perbuatan, fikiran dan dorongan hidupnya. Ini bermakna bahawa apabila amal perbuatannya baik, fikirannya bersih dan motivasi hidupnya suci, maka dia akan melihat dunia ini bersih dan indah seperti dunia itu diciptakan. Begitu pula sebaliknya, apabila amal perbuatannya buruk, fikirannya kotor dan motivasinya ternoda, maka dunia ini akan terlihat gelap gelita dan dia melihat segala sesuatu berasa hitam pekat.

Di sinilah letak rahsia keistimewaan ihsan dalam proses pengajaran malaikat Jibril as yang datang kepada baginda Rasulullah SAW dalam hadis sahih riwayat Muslim yang bermaksud:

“Daripada Umar ra, katanya: “Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah SAW tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan atasnya tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalnya sehingga ia duduk berdekatan kepada Nabi SAW lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada dua lutut Nabi dan meletakkan kedua telapak tangannya ke atas dua paha Nabi.

Kemudian ia berkata: “Wahai Muhammad, khabarkanlah kepadaku daripada hal Islam,” maka Rasulullah menjawab: “Islam itu ialah bahawa engkau mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya”. Dia berkata: “Benarlah engkau”. Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.

Katanya lagi: “Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal Iman?”, Rasulullah menjawab: “Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan malaikat-Nya dan segala kitab-Nya dan Rasul-Nya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada takdir baiknya dan jahatnya”. Dia berkata: “Benarlah engkau”.

Kemudian dia bertanya lagi: “Maka sekarang khabarkanlah kepadaku daripada hal ihsan?” Rasulullah menjawab: “Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”.

Akhirnya dia berkata meneruskan pertanyaannya lagi: “Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal hari kiamat”. Rasulullah menjawab: “Tidaklah yang ditanya daripadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya”. “Kalau begitu katanya, maka khabarkanlah kepadaku daripada tanda-tandanya saja.” Rasulullah menjawab: “Tanda-tandanya itu ialah apabila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing (berbangga-bangga) menegak dan meninggikan binaannya.”

Kemudian dia pun pergi, lalu aku terdiam beberapa lama. Setelah itu, Rasulullah berkata: “Wahai Umar, adakah engkau tahu siapakah orang yang bertanya itu?”. Berkata aku: “Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu.” Rasulullah berkata: “Sesungguhnya itulah dia Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.”

Dalam Kamus Dewan “Ihsan” dijelaskan dengan mengambil kira makna hadis di atas ketika menjelaskan maknanya dengan “beribadat kepada Allah dengan menyedari bahawa seseorang itu berhadapan dengan Allah Subhanahu Wataala yang sentiasa melihatnya.”

“Ihsan” juga bererti kebaikan, kebajikan, kemurahan hati (lawan bakhil) seperti dalam Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan atau “Ihsan” juga bererti perbuatan (derma dan sebagainya) yang baik, kebaikan, kemurahan hati, kebajikan, kedermawanan seperti dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara.

Dalam al-Quran perkataan al-ihsan asalnya daripada perkataan: ahsana, yuhsinu, ahsin, ihsanan dan setidaknya ada 12 ayatnya yang mengandungi lafaz ihsan/ihsanan yang menunjukkan kepada perbuatan baik dan kebaikan yang lebih daripada yang sepatutnya atau yang sama maksudnya. Ada kira-kira sebanyak 38 ayat lagi menunjuk kepada pujian dan penghargaan tinggi kepada pelakunya dengan lafaz muhsin, muhsinun, muhsinin, muhsinat. Selanjutnya ada pula lafaz lain yang juga berkaitan dengan al-ihsan itu. Semuanya membawa pengertian menurut konteks ayat yang difirmankan oleh Allah Subhanahu Wataala. (al-Mu’jam al-Mufahras li Alfa al-Quran).

Konteks ihsan kepada sesama makhluk sangat luas dalam al-Quran dan ia sangat jelas dalam ayatnya bermaksud:

“Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim, serta orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu; dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya”. (Surah al-Baqarah: 83)

Bahkan perbuatan ihsan diperintahkan Allah dengan tegas dalam firman-Nya bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.” (Surah al-Nahl: 90)

Satu daripada bukti wujudnya ihsan dalam diri manusia adalah senyum yang selalu melekat pada bibir seseorang kerana senyuman adalah bunga daripada perbuatan, fikiran dan motivasi yang baik. “Senyummu kala bertemu saudaramu bernilai sedekah“, seperti dalam hadis menunjukkan bahawa senyum berakar daripada ihsan kerana sedekah tidak akan diberikan kecuali oleh orang yang bersih hati dan perbuatan.

Senyum yang tulus bukti kebahagian diri yang dihasilkan oleh kandungan ihsan pada diri manusia. Ahmad Amin dalam Faid al-Kathir menulis:

“Orang yang murah dengan senyuman dalam menjalani hidup ini bukan saja orang yang paling mampu membahagiakan diri sendiri, tetapi juga orang yang berkemampuan lebih dalam mengerjakan pelbagai urusan, lebih bertanggungjawab ketika memikul tugas, orang yang paling kuat menghadapi kesulitan dan memecahkan persoalan dan lebih profesional dalam memikul urusan penting yang bermanfaat bagi diri mereka dan masyarakat. Seandainya saya disuruh memilih di antara harta yang banyak atau kedudukan yang tinggi dengan jiwa yang tenteram damai dan selalu tersenyum, pastilah saya memilih yang kedua. Sebabnya ialah, apa ertinya harta yang banyak bila wajah selalu muram? Apa ertinya pangkat dan kedudukan sekiranya jiwa sering cemas?”

Allah menyukai orang yang berbuat ihsan, dan ia disebutkan dalam beberapa ayat al-Quran. Jika kesukaan Allah sudah berada pada diri manusia maka senyum adalah tandanya. Di samping itu, rahmat Allah sangat dekat dengan orang yang sentiasa berbuat ihsan. Allah berfirman maksudnya:

“Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang muhsinin (orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A’raf: 5)

Jika begini adanya dalam al-Quran, tidakkah kita ingin sentiasa dekat dengan rahmat Allah?





1 ulasan:

Abd Razak berkata...

Salam..:)

Senyum tanda mesra,
Senyum tanda sayang,
Senyumlah sedekah yang paling mudah,
Senyum di waktu susah,
Tanda ketabahan,
Senyuman itu tanda keimanan.
Senyumlah seperti Rasulullah,
Senyumnya bersinar dengan cahaya,
Senyumlah kita hanya kerana Allah,
Itulah senyuman bersedekah.