BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Pengunjung

Selasa, 4 Ogos 2009

PENJARA SEMENTARA , SYURGA ABADI

Sepanjang hidup kita, tidak ada satu nikmat pun yang terus-menerus dapat di kecapi secara berpanjangan. Baik nikmat makan, nikmat tidur, bercinta, berhibur, nikmat sebagai suami isteri, nikmat naik pangkat, nikmat popular, atau nikmat-nikmat rohani seperti baca Quran, sembahyang, bersedekah, memberi kasih sayang.. dan apa saja. Begitulah sunnatullah atau aturan yang Allah telah tetapkan dalam kehidupan ini.

Syurga adalah satu-satunya tempat yang telah Allah sunnahkan diwarnai dengan susana bahagia, ceria dan riang ria sepanjang masa buat selama-lamanya. Apa yang dirasakan sebagai saat yang paling bahagia dalam kehidupan seseorang di dunia ini hanyalah satu bahagian yang kecil dari kebahagiaan yang Allah sediakan di syurga sana.

Lantaran itu Rasulullah saw mengingatkan kita bahawa dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang yang tidak beriman. Apa pun bentuk nikmat di dunia, jika di bandingkan dengan nikmat di syurga, ia masih tidak tergolong sebagai nikmat hakiki atau nikmat dalam ertikata yang sebenarnya.

Malah kehidupan di dunia memang seakan-akan penjara bagi orang Mukmin kerana segala bentuk nikmat ada batasnya. Nikmat makan kalau berlebih-lebihan akan mendatangkan berbagai penyakit. Paling tidak menyebabkan sakit perut. Nikmat tidur jika berlebihan boleh menyebabkan lemah atau sakit-sakit badan. Nikmat berhibur hanya dikecapi kemuncaknya waktu sedang berhibur sahaja, habis berhibur hati kembali rungsing atau tercari-cari hiburan yang lain. Jika berhibur tanpa henti, terhalang pula peluang mencari rezeki atau beraktiviti. Begitulah dengan nikmat-nikmat yang lain. Setiap nikmat di dunia ini tidak kekal dan berpanjangan.

Sama ada seseorang itu beriman atau tidak beriman, bala dan ujian akan datang silih berganti bersama-sama datangnya nikmat. Cuma, bagi orang mukmin, segala ujian dalam hidup walau apa pun bentuknya, akan menjadi baja yang menambah subur imannya. Mereka yakin ada kebaikan yang tersembunyi di celah kesusahan yang dialami, seperti sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
"Barang siapa yang dikehendaki oleh Allah menjadi baik, maka diberiNya penderitaan(ujian kesusahan dalam hidup)." (Riwayat Bukhari)

Oleh itu bila nikmat dunia itu dicatu, orang mukmin menerima nikmat yang di perolehinya dalam keadaan seadanya. Macam orang yang duduk di penjara, dia terima apa saja yang di hulurkan kepadanya. Jika banyak, diambilnya dengan syukur. Jika sedikit, diterimanya dengan rendah hati. Kerana dia tahu begitulah hakikat duduk dalam penjara, segala-galanya di catu. Jika dia berkelakuan baik pasti dapat mengecap pelbagai nikmat yang baik lagi.

Demikianlah halnya dengan orang mukmin, mereka nampak nikmat yang hakiki di akhirat hingga nikmat apa pun di penjara dunia dirasakan kecil nilainya. Lantaran itu Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Dari kesempurnaan nikmat ialah masuk syurga dan bebas dari neraka," (Riwayat Termizi)

Namun bagi orang yang tidak beriman, yang tidak mempercayai hari akhirat dan kehidupan di sana, nikmat di dunia adalah segala-galanya. Oleh itu apa yang bernama nikmat dan di ingini oleh nafsu akan diusahakan untuk mendapatkannya. Tapi andainya apa yang dihajati tidak di perolehi, dia akan merasa sangat kekurangan dan rendah diri. Jika nikmat yang di perolehi hilang, dia akan merasa kehilangan segala-galanya kerana baginya dunia inilah syurga baginya.

Tidak hairanlah, lebih ramai yang menghadapi pelbagai penyakit kerana makan berlebihan daripada yang kurang makan. Malah jauh lebih ramai yang mati akibat penyakit yang berpunca dari terlebih makan daripada yang mati akibat kebuluran.

Nikmat syurga terlalu tinggi untuk di bandingkan dengan himpunan segala nikmat di dunia. Ia merupakan nikmat yang eksklusif untuk orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan hamba-hamba Allah di dunia ini. Tidak ramai di kalangan orang-orang yang bersusah payah mengejar berbagai nikmat dunia yang bersungguh-sungguh pula untuk mendapatkan nikmat syurga abadi. Malah ada yang sanggup mengadaikan nikmat syurga akhirat untuk mendapat nikmat syurga dunia yang sementara ini.Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 86 yang bermaksud:
"Itulah orang-orang yang membeli kehidupan dunia dengan(kehidupan) akhirat, maka tidak akan diringankan siksa mereka dan mereka tidak akan ditolong."

Begitulah... hanya orang yang benar-benar beriman saja yang yakin ada nikmat yang lebih tinggi ,lebih baik dan lebih segala-galanya dari nikmat yang ada di dunia ini. Dan hanya orang yang benar-benar beriman saja yang tidak tenggelam dalam nikmat dunia dan tidak merasa dukacita serta rendah diri bila kehilangan nikmat yang sementara itu. Biarlah terpenjara sementara untuk mendapat nikmat yang kekal abadi'syurga', daripada mendapat nikmat sementara yang hanya menjanjikan penjara abadi'neraka'." Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka." (Al-Baqarah ayat 201)

0 ulasan: