BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Pengunjung

Rabu, 31 Mac 2010

PAHALA YANG BERTERUSAN


Hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud: "Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah saw bersabda: "Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya".

Seperti mana yang dapat difahami daripada hadis Rasulullah saw, apabila seseorang telah meninggal dunia maka terputuslah baginya semua peluang untuk menambah amalan kebajikan dan pahalanya. Sebanyak mana amalan yang telah dilakukan semasa seseorang itu hidup dahulu maka sebanyak itulah sahaja pahala yang akan di terimanya. Dia tidak akan dapat menambah lagi pahalanya setelah dia meninggal dunia melainkan tiga sumber yang terdapat di dalam hadis di atas.

Justeru itu jika kita lihat pekara yang pertama yang disebutkan dalam hadis tersebut ialah sedekah jariah iaitu segala apa yang telah di wakaf dan diinfakkan semasa hidup dahulu, antaranya seperti mewakafkan tanah untuk tujuan kebajikkan anak yatim, membina masjid, surau, sekolah dan sebagainya.Memberi sedekah kepada saudara mara yang memerlukan bahkan walaupun hanya memberi sebelah kurma sebagai sedekah pun tetap di ambil kira oleh Allah swt. Selama mana dan selagi mana harta benda itu diguna pakai oleh orang lain selama itulah seseorang yang mewakafkannya secara ikhlas kerana Allah swt akan mendapat pahala yang berterusan.

Selain itu, pekara yang kedua ialah mengenai ilmu pengetahuannya yang bermanfaat kepada orang lain. Dengan kata lain, segala ilmu yang dapat memberi manfaat kepada orang lain dan dapat menambahkan ketakwaan mereka kepada Allah swt maka selama ilmu itu masih dipelajari, selama itulah orang yang mengajarkannya pada peringkat permulaan itu akan mendapat pahala yang berterusan yang akan di masukkan ke dalam catatan amalan kebajikkannya.Antaranya ialah kebolehan menulis blog,usahakan kebolehan yang di beri itu untuk jadikan ia salah satu saluran bagi saling ingat memperingati sesama kita bahawa apa yang kita tuliskan bukan untuk suka-suka atau mencari nama tetapi untuk memberi makna.

Begitu juga pekara yang ketiga iaitu mengenai anak soleh yang mendoakan kepada ibu bapanya. Sebenarnya, menjadi impian yang besar bagi semua ibu dan bapa untuk melahirkan anak yang soleh yang dapat mendoakan kesejahteraan untuk mereka di dunia dan di akhirat kelak. Namun, persoalannya bagaimanakah untuk melahirkan anak yang soleh sekiranya ibu bapa sendiri yang tidak memberikan didikan agama yang sempurna sebagaimana yang telah di ajarkan oleh Rasulullah saw.

Untuk melahirkan insan yang soleh(anak) ia perlu melalui proses yang betul sebagaimana yang telah di ajar oleh Rasulullah saw iaitu bermula dengan lelaki yang akan bergelar seorang suami dan seterusnya seorang ayah perlulah mempersiapkan diri dengan bekalan ilmu dunia dan akhirat untuk menjadi pemimpin dalam sebuah keluarga. Selepas itu pilihlah seorang wanita yang solehah untuk di jadikan isteri dan seterusnya sebagai ibu kepada anak-anak yang bakal dilahir. Insan yang soleh adalah buah hasil dari didikan yang berterusan dan pembinaan yang tersusun rapi. Ingatlah janji Allah dalam surah An-Nuur ayat ke-26 yang maksudnya:
" Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan sebaliknya perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki -lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik.....".

Bagi kita yang kasih dan sayang kepada Nabi Muhammad saw marilah sama-sama kita berusaha untuk cuba mengaplikasikan dan mempraktikkan apa yang telah di sarankan oleh Baginda. Sesungguhnya, Rasulullah saw diutus oleh Allah swt sebagai utusan-Nya untuk memberikan rahmat kesejahteraan dan petunjuk kepada seluruh umat Islam. Inilah keistimewaan dan keagungan Islam kerana mempunyai Rasul sebagai penyelamat ummah. Islam itu indah, indahkanlah hidup ini dengannya. Islam agama rahmat kepada semua makhluk di dunia ini.

Oleh yang demikian, saya mengajak dan menyeru kepada diri saya dan para sahabat yang di kasihi kerana Allah, marilah kita sama-sama mempersiapkan diri kita dengan persiapan yang sempurna sebelum kita dijemput untuk bertemu dengan Allah swt. Renungkanlah sejenak adakah kita sudah melaksanakan apa yang di sarankan oleh hadis di atas atau belum? kalau belum, berusahalah dengan sebaik-baiknya untuk melakukannya mudah-mudahan Allah swt sentiasa mempermudahkan segala urusan kita di dunia dan akhirat.

1 ulasan:

Abd Razak berkata...

Salam...

Andaikata kita dapat melakukan salah satu daripada 3 perkara yang sangat ditekankan oleh Baginda Rasulullah s.a.w dan menjadi pegangan kita selama ini, maka itu petandanya kita dalam perjalanan menghasilkan ketiga-tiga perkara tersebut.

Terima kasih atas peringatan yang berguna ini..:)