BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Pengunjung

Khamis, 11 Mac 2010

Sepanjang Jalan Kenangan

Gua Kelam, salah satu dari gua yang paling menarik di Malaysia yang berukuran 370 meter panjang. Ia terletak berhampiran pekan kecil di Kaki Bukit, Perlis.

Gua Kelam terletak kira-kira 33 km ke utara Kangar iaitu ibu negeri Perlis dan sangat popular kerana laluan guanya yang sangat menarik di mana pelawat boleh memasuki gua ini melalui pintu utama dan keluar di tempat yang lain.

Satu-satunya jalan untuk memasuki ke dalam gua ini ialah melalui sebatang jambatan kayu yang tergantung. Jambatan ini menghubungkan pekan Kaki Bukit dengan Lembah Wang Tangga dan Kampung Wang Kelian yang terletak di hujung Gua Kelam.

Pada masa dahulu sekitar tahun 70an ke bawah,jalan inilah merupakan laluan utama untuk penduduk Kampung Wang Kelian keluar untuk mencari keperluan hidup dan menjual hasil pertanian seperti getah, padi dan buah-buahan.

Bagi diriku yang dilahirkan dan di besarkan di Kampung Wang Kelian, laluan ini amat besar ertinya dan banyak kenangan pahit dan manis yang tercipta di sini. Andainya diri ini mampu menulis akan ku tuliskan segala kenangan itu menjadi sebuah novel yang indah untuk menjadi tatapan anak-anak.

Terlalu banyak kenangan yang tercipta di sepanjang laluan ini, hanya mereka yang pernah mengalaminya sahaja yang mengerti dan memahaminya. Segala kesukaran dan kesusahan di dalam liku-liku kehidupan ini, kini menjadi satu kenangan yang begitu indah untuk di kenang dalam kehidupan ini.

Pada masa dulu, orang kampung akan keluar ke Pekan kaki bukit dengan berjalan kaki dan bagi yang mampu ,dengan gerek(basikal) saja . sewaktu nak lalu jambatan ini depa(mereka) akan guna daun nyuq(kelapa) yang di ikat atau botol yang di isi minyak gas(tanah) dan di sumbat dengan kain buruk lalu di nyalakan sebagai lampu untuk melintasi gua kelam. Kini para pelawat tak payah bersusah payah lagi macam kami masa dulu kerana sekarang ini dah di terangi dengan cahaya lampu letrik.

Kepada cikgu-cikgu yang pernah mengajar di Kampung Wang Kelian pada masa dahulu, terimakasih tak terhingga banyaknya kerana sanggup meredah bukit -bukau dan hutan rimba untuk mengajar kami anak-anak Kampung Wang Kelian yang dahagakan ilmu pengetahuan kerana bukan senang untuk sampai di sekolah yang terletak di kampung yang begitu jauh di pendalaman tanpa azam dan semangat yang jitu.Dengan ilmu yang cikgu-cikgu curahkan itulah sekarang dengan izin Allah swt daku dapat menjadi seorang penulis blog walaupun tak sehebat mana tetapi dapatlah juga menitipkan sedikit ilmu yang ada di dada ini,semuga ada yang dapat memberi sedikit manfaat untuk daku dan para pembaca semua hendaknya.

Kepada emak dan ayah terimakasih atas segala kasih sayang dan pengorbanan yang di beri, walau pun kehidupan kita pada masa dahulu serba kekurangan dalam soal harta benda tetapi kita tetap bahagia dalam kasih sayang yang melimpah ruah.Terlalu banyak kenangan yang kita kongsikan bersama di dalam kehidupan ini sehingga ia amat sukat untuk di ungkap dengan kata-kata.Ayah yang membanting tulang untuk memberi kita sekeluarga rezeki dan emak yang begitu sabar dalam mendidik daku untuk menjadi seorang gadis dan sekarang seorang isteri dan ummi yang beriman, berilmu dan berakhlak mulia.InsyaAllah.

Kepada Allah swt, hamba Mu amat bersyukur atas segala kurnia yang Engkau berikan, tidak terlintas di hati ini untuk menyalahkan takdir yang Engkau tentukan di dalam kehidupan ini walaupun ia amat sukar dan pahit kerana dengan semua itu dapat menjadikan hamba Mu ini seorang yang tahu bersyukur, tabah dan menghargai kehidupan yang di beri sementara ini.

Perjalanan ini,

Terimakasih Allah,
Terimakasih emak dan ayah,
Terimakasih guruku,
Terimakasih Kampung Wang Kelian,
Kerana kalianlah
Kehidupan ini menjadi begitu indah
Dengan segala kenangannya
Tak terucap oleh kata-kata
Tak terlukis oleh tangan-tangan dan
Tak tercatat oleh mata pena.

0 ulasan: