BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Pengunjung

Rabu, 16 Jun 2010

Cabaran Pembentukkan Keluarga Akhir Zaman


Para sahabat yang di kasihi kerana Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan para sahabat sekelian, marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah swt, takut kepada Allah dengan melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Mudah-mudahan sifat ketakwaan itu mampu menentukan hala tuju pembentukkan masa depan keluarga kita, agar sentiasa selari dengan tuntutan ajaran islam dan beroleh kebahagiaan di dunia dan jua di akhirat. InsyaAllah.

Hala tuju pembentukkan keluarga masa kini dan masa depan bergantung sepenuhnya kepada dasar hidup yang ditentukan oleh ibubapa. Pembangunan sosioekonomi yang pesat dan pengaruh budaya asing telah menjadi punca perubahan pegangan nilai hidup yang membawa kepincangan dalam kehidupan keluarga. Kepincangan dalam keluarga bermula daripada kekurangan kasih sayang dalam keluarga, keganasan rumah tangga, peningkatan kadar perceraian, penderaan kanak-kanak, pengabaian kepada warga emas, sumbang muhrim, kejahilan, bersekedudukan tanpa kahwin dan gejala sosial yang lain.

Sebagai seorang ibubapa yang telah di beri amanah oleh Allah swt untuk menjaga zuriat keturunan, seharusnya kita merasa bimbang dengan penularan budaya hidup berzina dan gaya hidup barat yang boleh mencemarkan imej Islam dan memberi kesan kepada akidah. Berdasarkan kepada perubahan nilai hidup yang ketara ini, maka saya ingin mengingatkan kepada diri sendiri dan saudara yang dikasihi kerana Allah tentang perintah Allah swt didalam surah Al-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu(berhala); neraka itu dijaga dan di kawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar(layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang di perintahkanNya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang di perintahkan".

Menurut ulamak tafsir, pemimpin keluarga hendaklah menjaga, membentuk ahli keluarga dan memerintahkan mereka taat kepada Allah swt serta mencegah mereka mereka daripada melakukan maksiat. Mereka menyatakan bahawa, adalah menjadi kewajipan setiap muslim mengajar keluarganya tentang apa yang di wajibkan oleh Allah swt dan apa yang di larang. Rasulullah saw bersabda dalam hadis di riwayat oleh imam Ahmad yang ertinya:
"Setiap anak yang di lahirkan adalah berkeadaan fitrah(suci) tetapi ibu bapalah yang menentukan anak itu yahudi, nasrani atau majusi".

Bagi membentuk anak-anak menjadi insan cemerlang, ibubapa juga hendaklah terdiri daripada manusia yang cemerlang. Bagaimana ibubapa yang derhaka, rumahtangga yang porak peranda, dapat membentuk keluarga yang sejahtera. Pendidikan dan asuhan yang di berikan oleh ibubapa adalah asas untuk anak-anak bertapak apabila mereka dewasa kelak. Ibubapa adalah cermin yang mudah dijadikan tuntunan oleh anak-anaknya. Oleh itu, dalam mendidik anak-anak supaya beriman kepada Allah dan berakhlak mulia, ibubapa juga hendaklah terlebih dahulu memiliki sifat yang mulia ini.Contoh yang baik daripada ibubapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak.

Sesungguhnya institusi keluarga adalah satu institusi penting dalam kerangka pembinaan ummah. Umat Islam akan berdepan dengan satu masalah besar, seandainya institusi penting ini tidak di kawal dan dijaga dengan baik. Kehancuran institusi ini bermakna kehancuran ummah itu sendiri kerana dari institusi inilah munculnya kalangan ummah di tengah masyarakat.

Dalam mengukuhkan institusi keluarga, marilah kita bersama-sama memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak kita, demi melihat generasi yang terbaik pada masa hadapan. Korbanlah sedikit masa sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu mengadakan majlis ilmu di rumah, mendekatkan mereka dengan institusi masjid melalui solat jamaah atau mengikuti kuliah-kuliah agama.Hendaklah sentiasa memberi kasih sayang dan menunjuk contoh tauladan yang baik kepada mereka serta mengambil tahu hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan anak-anak seperti dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, jam berapa mereka keluar rumah dan sebagainya. Ini semua membuktikan kita telah melaksanakan amanah Allah swt terhadap anak-anak dengan baik dan sempurna.Firman Allah swt dalam surah Al- Furqan ayat 74 yang bermaksud:
" Dan orang-orang yang berkata,"Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri dan zuriat keturunan kami yang menyejukkan hati kami dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertakwa".

Artikel ini ditulis oleh ustaz Mohamad Rizal Azizan.