BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Pengunjung

Selasa, 30 Jun 2009

PERJALANAN YANG JAUH

Ribuan maaf di pinta kepada kekawan yang sudi singgah di halaman ini kerana tak sempat nak update, sibuk dengan urusan pendaftaran anak sulung ana yang dapat masuk ke U.D.M. Terangganu pada 28 june yang lepas.
Kami bertolak pada hari jumaat untuk mengelak dari kesesakan jlnraya dan yang penting lagi tempat penginapan belum dapat lagi.Suami ana ni lain sikit, dia tak suka tempah awal-awal, biar sampai dulu baru cari tempat mana yang bagus,kalau ikut selera anak2 mesti ada kolam renang, ana tak kisah asalkan boleh tidur sudah.
Malam pertama dapat calet kat tepi pantai buruk,malam kedua cari pula tempat lain kerana calet tu sempitlah sikit bagi lima orang.Pusinglah keliling pekan Kuala Terengganu pula untuk cari penginapan, ingatkan bukan musim cuti sekolah tak ramai org tapi sebaliknya.Cuba tanya balik calet semalam kut masih ada kosong tapi dah penuh,masaallah baru saja cekout orang lain dah masuk. Itulah tandanya org kita ni suka melancong kat sebelah Pantai Timur dari tempat lain.
Suami ana kata kita cuba calet kat Pulau Duyung pula kut ada, sampai kat jalan masuk, nampaklah caletnya begitu cantik dan agak mewah juga,ana senyum pada hubby dan kata'' hai abang' tak mahal ka kat sini nanti terlepas mulut buaya, masuk mulut naga pula,''.Tak apa kita cuba tanya dulu kata hubby,ana puji sikap suami ana yang sabar dan tenang menghadapi suasana begitu.Harganya boleh tahan taklah mahal sangat dengan segala kemudahan yg di sediakan dan pemandangan yg cantik.
Hari ini hari ahad 28 june ,pendaftaran pelajar baru sesi 09/10 telah bermula dgn itu juga tlh b'mula p'hidupan baru bagi kakak yg selama ini tdk p'nah b'pisah dgn keluarga.Setelah selesai semua urusan t'paksalah kami tinggalkan kakak walaupun deraian air mata mengiringi perpisahan ini,jutaan doa dan harapan kami tinggalkan utk kakak, semuga kakak tabah dan sabar m'hadapi ujian ini.
Hari isnin baru ana dan keluarga bertolak balik,malam baru sampai maklumlah jauh dari t'ganu ke perlis. Keesokkannya,kemas rumah, basuh baju jadi tak sempat nak buka komputer lagi, kalau dulu balik dari holiday kakak tolong sama,sekarang kakak dah tak ada terpaksalah buat sendiri anak2 yg lain masih kecil lagi yg tengah tu bolehlah tolong sikit2 kerana dia kena pergi sekolah.Hari ni baru ada peluang sikit,Alhamdulillah.

Selasa, 23 Jun 2009

Renungan untuk semua


Yang di tunggu sudah hampir tiba, iaitu bulan yang mulia, bulan yang mengandungi seribu rahmat di dalamnya.Marilah kita renungkan sejenak, apakah persediaan yang wajib kita lakukan sebelum tibanya bulan yang mulia itu.Sudah terbayarkah hutang puasa kita yang lalu atau belum lagi. Kalau belum bayar tu, bayarlah cepat-cepat kerana masih ada waktu lagi.
Janganlah kita lalai dan lupa pula kerana itu hukumnya wajib, setiap yang wajib itu mestilah di lakukan, Janganlah kita menyalahkan takdir kerana banyak lagi rahmat yang Allah berikan untuk kita,umpamanya solat lima waktu tak perlu kita bayar balik kalau tidak sampai kiamat pun tak terbayar.
Daku sekadar mengingatkan diri ku dan sahabat-sahabat yang di kasihi sekelian bukan mengajar atau menunjuk pandai kerana saling ingat mengingati itu adalah salah satu dari sunnah Nabi S.A.W. Semuga kita semua terlepas dari azab neraka nanti.Insyaallah.Firman Allah dalam surah Ghafir ayat 7 yang bermaksud:"Hai tuhan kami!Engkau telah limpahi tiap-tiap sesuatu(dengan) rahmat dan pengetahuan. Maka ampunkanlah mereka yang bertaubat dan menurut jalanMu, dan peliharakanlah mereka dari azab neraka".

Sabtu, 20 Jun 2009

RUMAH AYAH DENGAN SERIBU KENANGAN


Inilah rumah ayah dengan seribu kenangan yang tersimpan di dalamnya. rumah ini tempat daku di lahirkan, dibesarkan, diajar tentang erti kehidupan dan tempat daku di ijabkabulkan dengan seorang lelaki yang kini ia adalah teman hidupku(suami) didunia dan akhirat, Insyaallah.
Melihat rumah ayah terkenang kisah lalu,kisah suka dan duka hidup bersama emak dan ayah.rumah ayah terletak di kampung Wang Kelian yang suatu waktu dahulu ia begitu terpencil dari dunia luar, kini telah terkenal di seluruh Malaysia dengan pasar seharinya.Jalan untuk berhubung dengan dunia luar hanya satu sahaja itu pun hanya untuk laluan basikal dan berjalan kaki sahaja iaitu melalui Gua Kelam, yang kini seluruh rakyat malaysia telah mengenalinya sebagai salah satu tempat tarikkan perlancongan.
Kemudahan yang di sediakan oleh kerajaan di kampungku hanyalah dewan orang ramai,masjid dan sebuah sekolah sahaja, itu pun didirikan dengan gotong royong sesama penduduk sahaja.Sekolahnya lain dari yang lain kerana ia hanya mempunyai dua tahap sahaja,Darjah 1,2 dan3 dalam satu kelas, darjah 4,5 dan6 pun dalam satu kelas kerana murid-muridnya tidak ramai.Gurunya pula hanyalah dua orang sahaja dan seorang ustaz.Pada jam 10 pagi barulah gurunya sampai dengan menaiki motor scrambler,tolak rehat dan berhenti penatnya, hanya lebih kurang 2 jam sahaja dapat belajar dalam satu hari.Uniform sekolah hanyalah sepasang seorang itupun di warisi dari kakak atau abang sahaja tetapi Alhamdulilah ada jugauntuk di pakai. Kasutnya pula tak kisah, kalau ada dapatlah untuk di pakai itu pun kasut putih yang di buat dari getah sahaja.
Duit belanja sekolah tak payah di bawa, emak sediakan bekalan nasi goreng.Kalau teringin nak makan coklat atau biskut, bawa sahaja sebiji telur ayam atau itik untuk di tukar dengan barang yang di inginkan.
Pulang dari sekolah, selepas mandi dan makan emak suruh ke bendang untuk halau burung pipit yang datang memakan padi dekat bendang(sawah padi) atau tunggu padi jemuran di padang (tanah lapang) untuk di kisar atau di tumbuk menjadi beras.Untuk lauknya pula terpaksalah memancing ikan di sungai di depan rumah atau cari di dalam lopak-lopak air didalam sawah yang hampir kering.
sebelum waktu magrib semua balik ke rumah ,mandi dan bersiap untuk pergi mengaji Al-Quran. begitulah kehidupan daku sewaktu di kampung dahulu.
Pada tahun 1979 kerajaan telah bubarkan sesi persekolahan di kampungku, maka daku dan kawan-kawan telah dihantar ke sekolah Seri Indera di bandar kangar dan tinggal di asrama Sekolah Derma dari situ bermulalah perhijrahan daku dari kampung halaman sehinggalah sekarang,setelah bergelar seorang isteri.Dalam kesukaran itu dapat juga daku menghabiskan alam persekolahku dengan mendapat gred 3 S.P.M aliran sains.
Inilah Ayah yang telah berkorban segalanya untukku, terimakasih Allah kerana talah mengurniakan daku seorang ayah yang begitu baik dan sempurna bagi daku seorang anak.Ayah dan Emaklah permulaan kami, dapat melihat bulan dan matahari.Jasa ayah dan emak takkan dapat kami balas walau seluruh isi alam jadi taruhannya, Terimakasih ayah dan emak atas segala kasih sayang yang telah di beri.Ya Allah, ampunilah dosa daku dan kedua ibubapaku,pelihara dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka memelihara dan mengasihaniku.

Jumaat, 19 Jun 2009

wanita sejati


Bukan dilihat dari kecantikan wajahnya..tetapi
dari kecantikan hati yang ada di baliknya

Bukan dilihat dari bentuk tubuhnya yang mempesona..tetapi
dari sejauh mana dia menutupi bentuk tubuhnya

Bukan dilihat dari banyaknya kebaikan yang dia berikan..tetapi
dari keikhlasan dia memberikan kebaikan itu

Bukan dilihat dari seberapa indah lantunan suaranya..tetapi
dari apa yang sering mulutnya bicarakan

Bukan dilihat dari kefasihannya berbahasa..tetapi
dilihat dari bagaimana caranya dia berbicara

Bukan dilihat dari keberaniannya dalam berpakaian..tetapi
sejauh mana dia berani mempertahankan kehormatannya

Bukan dilihat dari kekhuatirannya digoda orang di jalan..tetapi
dari kekhuatiran dirinya yang mengundang orang jadi tergoda

Bukan dilihat dari seberapa banyak & besarnya ujian yang dihadapi..
tetapi sejauh mana dia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa syukur

Bukan dilihat daripada sifat supernya dalam bergaul..tetapi
sejauh mana dia mampu menjaga kehormatannya semasa bergaul

RESIPI KEHARMONIAN

Seorang lelakipergi ke rumah Amirul Mukminin Saydina Umar Al-Khattab r.a. untuk mengadu kelakuan isterinya. Apabila sampai dia terdengar isteri Syaidina Umar sendiri sedang berleter di dalam rumah. Tetapi tidak terdengar pula suara Sayidina Umar membalas.

Mendapati isteri Sayidina Umar pun begitu, dia tidak jadi hendak mengadukan hal isterinya. Katanya dalam hati," Kalau isteri Khalifah pun begitu, betapalah isteriku."

Ketika berpaling hendak pergi, Sayidina Umar yang menyedari kedatangannya itu memanggilnya dan bertanya:" Apakah hajat kamu datang ke rumahku?"

Jawab lelaki itu,"Aku datang hendak mengadukan hal isteriku, tetapi ku lihat isteri tuan pun berkelakuan demikian terhadap tuan."

Sayidina Umar tersenyum lalu berkata,"Tidak patut kalau aku tidak sabar dengan kerenahnya. Bukankah dia telah memasak makanan untukku, membasuh pakaianku, menjaga anak-anakku dan dia tempat aku mendapat hajatku. Sabarlah, sesungguhnya keadaan itu tidak lama(nanti akan baik sendiri)."

Rabu, 17 Jun 2009

MENCARI ERTI KEBAHAGIAAN YANG HAKIKI

Kebahagiaan adalah sesuatu yang diidam-idamkan oleh semua makhluk. Ianya dicari dan di buru oleh semua yang hidup. Tidak ada manusia yang tidak mengingininya. Tidak ada keluarga yang tidak mahu mencapainya, dan tidak ada umat yang tidak bercita-cita untuk mendapatkannya.

Semua manusia yang berakal tahu menyebut kebahagiaan dan mahu mencapainya. Sanggup berkorban apa sahaja untuk mendapatkan kebahagiaan. Tetapi ternyata kebahagiaan itu bukan mudah untuk di capainya. Sesuatu yang dekat tetapi jauh, Sesuatu yang jauh tetapi dekat. Dipandang tidak kelihatan, Dipegang tidak kedapatan. Tetapi apabila di pejamkan mata terbayang kebahagiaan itu berhampiran. Terpaut di hati terasa kebahagiaan itu mendatang dan boleh di rasa dengan perasaan.

Manusia mencari erti kebahagiaan di mana-mana sahaja di dalam dunia ini, di laut, di darat, di bulan dan entah di mana lagi. Semuanya memcari kebahagiaan itu tanpa henti-hentinya. Tetapi yang pasti manusia masih sengsara, masih jauh dengan kebahagian, masih tertanya-tanya di manakah kebahagiaan itu berada,

Salah satu tempat yang dicari kebahagiaan oleh manusia adalah di dalam alam rumahtangga. Tetapi ternyata masih banyak lagi rumahtangga yang diidam-idamkan sebagai syurga hidup yang di dalamnya terdapat segala nikmat yang menanti manusia, tiba-tiba bertukar menjadi neraka dunia yang menyiksakan. Akhirnya rumahtangga itu musnah dan banyak yang terpaksa berkorban dan terkorban. Namun demikian, manusia masih percaya bahawa kebahagiaan itu tetap berada di dalam sebuah rumahtangga. Padanya terbina sebuah keluarga yang mampu memberi kebahagiaan kepada manusia, kerana ikatan perkahwinan itu adalah sesuatu yang suci dan diharuskan oleh Allah swt yang sukar ditafsirkan oleh kita manusia.

Cinta lelaki kepada perempuan dan sebaliknya, tidak pernah padam. Setiap detik setiap hari ada cinta yang tumbuh dan subur. Manusia tetap bercinta dan berkasih mesra walaupun dalam cinta ada bahagia dan derita. Namun cinta tetap mekar dan bersemarak jua, kemana akan disalurkan cinta dan kasih mesra itu jika bukan di dalam satu ikatan perkahwinan yang di redhai oleh Allah swt.

Kebahagiaan boleh ditemui di mana-mana, ianya tidak kira tempat dan waktu, pada siang hari mahu pun malamnya. Pada zaman kanak-kanak, remaja, hari tua dan hampir ajal pun tetap ada kebahagiaan yang dapat di kecapi oleh manusia tanpa batas dan sempadannya.

Namun tidak semua manusia bahagia, dan tidak semua keluarga beroleh kejayaan.Dalam masa keinginan yang melimpah mengharapkan bahagia, dengan segala persediaan dan persiapan menanti dan menyambut bahagia, tiba-tiba sengsara jua yang menjelang tiba, hiba derita tidak tertanggung, bermandikan airmata sepanjang masa.

Ke mana menghilangnya bahagia? Siapa yang merampasnya dari tanggan manusia yang selalu mengharapkannya. Sebenarnya kebahagiaan bukan ciptaan manusia, bukan milik manusia jua bukan milik sesiapa. Ianya adalah kepunyaan Allah swt bukan sahaja bahagia malah manusia itu sendiri dan semuanya yang wujud di dunia ini adalah milik Allah swt. Tidak ada sesuatu apapun yang wujud di dunia ini malainkan semuanya milik Allah swt, Di dalam Al-Quran ada dinyatakan yang bermaksud:

"Maha suci Allah yang di tanganNya milik tiap-tiap sesuatu dan kepadanya kamu semua di kembalikan"

Lebih jelas lagi Allah menyebut yang bermaksud:

"Mereka tidak memiliki(mempunyai) apa-apa walaupun sesuatu yang sebesar atom(zarah) sama ada yang di langit dan tidak ada mereka memiliki apa-apapun di bumi."

Setelah manusia itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak memiliki apa-apa, maka Allahlah yang menganugerahkan kepadanya kebahagiaan yang di harap-harapkan oleh semua manusia. Jelaslah sekarang bahawa kebahagiaan itu adalah hak Allah swt. Kepada sesiapa kebahagiaan itu hendak diberi terpulanglah kepada Allah, manusia hanyalah berusaha mencarinya dan yang akan memberinya nanti adalah Allah swt.

Untuk mencari kebahagiaan carilah kepada Allah, bukannya pada yang lain. Untuk itu hampirilah Dia, kenalilah Dia, tunduklah kepadaNya, sembahlah Dia, mohonlah daripadaNya rahmat kebahagiaan itu nescaya di anugerahkan rahmat iu kepada yang di kehendakiNya. Allah berfirman yang maksudnya:

"Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu maka akan aku tuliskannya(tentukannya) untuk orang yang bertakwa."

Oleh yang demikian, maka pastilah rahmat Allah yang merupakan kebahagiaan yang sebenar memang di sediakan di dunia ini bagi orang-orang yang bertakwa.Insan bertakwa, insan bahagia, keluarga bertakwa, keluarga pasti akan bahagia, Insaallah.

Selasa, 16 Jun 2009

PERCUTIAN DI PULAU LANGKAWI

Perut pun terasa lapar, roti yang tak pernah di jamah pun habis di makannya.umm ...sedapnya

Bergambar di pagi hari,perut dah lapar tu minta di isi

Angan-angan nak bergambar sekeluarga tapi di pagi hari mana ada orang nak di minta tolong ambilkan gambar.terpaksalah kakak berkorban.

Anak yang sulong,melihatkan dia sudah remaja terasa diri dah lama hidup di dunia ini.Sudah cukupkah amalan diri ini untuk bekalan akhirat kelak"Ya Tuhan kami! Terimalah (amal) dari kami, kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Ya Tuhan kami! Dan jadikanlah kami berdua(ini)orang-orang yang menyerah diri kepada-Mu, dan (jadikanlah) dari anak cucu kami satu ummat yang menyerah diri kepadaMu, dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara kami berbakti, dan ampunlah kami, kerana sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Penyayang.

Semuga kalian berdua menjadi anak-anak yang solehah.berlatar belakangkan ombak di pantai cenang langkawi.

Nilai Setitis Airmata

Tatkala Nabi Adam a.s dikeluarkan dari syurga lantaran hukuman Allah terhadapnya.Dengan hati yang terlalu hiba, beliau menangis semahu-mahunya.Begitulah hati yang lembut, mudah sahaja mengeluarkan airmata taubat.Syaidina Umar Al Khatab apabila terdengar ayat-ayat Al Quran tentang seksaan Allah, serta merta dia jatuh pengsan. Apabila di rawat oleh para sahabat, mereka dapati ada dua garisan memanjang di pipi beliau lantaran banyaknya airmata yang mengalir.

Dengan rahmat Allah yang maha luas, cukup hanya dengan setitis airmata taubat yakni airmata kerana takutkan Allah, dapat menyelamatkan diri dari di sentuh oleh api neraka.

Justeru itu, marilah kita merenung ke dalam diri sejenak, berapa banyakkah kita telah menitiskan airmata kerana takutkan Allah?Kalau Nabi Adam a.s yang hanya sekali terlanjur itu, menangisi dosanya sebegitu rupa, sepatutnya lebih-lebih lagilah kita yang memang sentiasa bergelumbang dengan dosa.

Tetapi tidak demikian yang berlaku, bahkan ada di antara kita yang masih boleh bergelak ketawa dalam keadaan menderhakai Allah. Betapa biadapnya kita. Sudahlah buat dosa, sombong pula dengan Allah.

Begitulah kalau hati sudah keras, usahkan hendak menitiskan airmata penyesalan,sebaliknya terasa diri 'gentelman' dan 'sporting' tatkala melakukan dosa.

Diterangkan dalam sebuah hadis,"Apabila tiba hari kiamat, seorang hamba di tanya oleh Allah dan di hulurkan buku catatan amalannya.Dia dapati di dalamnya terdapat banyak perbuatan dosa yang dilakukan.Maka dia berkata,"Tuhanku, aku tidak mengerjakan semua dosa ini."

Allah Taala berfirman,"Sungguh? Aku mempunyai beberapa saksi yang boleh di percayai."Maka hamba itu berpaling ke kanan dan ke kiri dan tidak pula didapatinya seorang saksi. Maka dia berkata,"Wahai Tuhanku,di manakah saksi?"Lalu Allah memerintahkan semua angota badan hamba itu menjadi saksi baginya.Semua anggota badan pun menjadi saksi.

Kata dua telinga:"sungguh kami telah mendengar dan telah mengetahui bahawa sesungguhnya dia telah berbuat."

Kata dua mata:"sungguh kami telah melihat."

Kata lidah:" sungguh saya telah mengatakan."

Dan demikian dua tangan dan dua kaki berkata:"sungguh kami telah mengerjakan."

Maka hamba itu hamba itu dalam keadaan kebimbangan. Lalu Allah memerintahkan dia masuk ke neraka.

Maka kelihatan dari mata kanan hamba itu sehelai bulu mata meminta izin kepada Allah Taala untuk berbicara. Allah pun memberi izin kepadanya.

Kata bulu mata:"Wahai Tuhanku, tidakkah Engkau telah berfirman, seorang hamba yang mana pun, yang telah membasahi walau sehelai dari bulu matanya dengan airmata kerana takut kepada-ku, maka Aku selamatkan dia dari api neraka."

Maka Allah Taala berfirman,"Ya, betul."

Lalu bulu mata berkata," saya telah menyaksikan bahawa sesungguhnya hamba yang berdosa ini telah membasahi aku dengan airmatanya kerana takut kepada Engkau."

Maka Allah memerintahkan dia masuk ke syurga. Kemudian ada suara berseru,"Ketahulah sesungguhnya fulan bin fulan telah selamat dari neraka hanya dengan sebab sehelai bulu mata dari kedua matanya telah di basahi oleh airmata kerana takutkan Allah."

Kenapa sampai begitu besar nilai setitis airmata taubat? Kerana bukan sebarangan orang yang mudah untuk menitiskan airmata kerana takutkan Allah. Hanya orang-orang yang hatinya terlalu sensitif dengan kekuasaan Allah, sehingga terasa takut dan terasa hebatnya Allah sahaja yang mampu berbuat demikian.

Namun kebanyakkan kita mudah menangis bukan kerana takutkan Allah tetapi kerana putus cinta, berpisah dengan orang yang di kasihi, menangis apabila ditimpa bala bencana, menangis kerana gagal dalam peperiksaan dan sebagainya.Seolah-olah kita tidak redha dengan ketentuan dari Allah.Demikian bezanya nilai setitis airmata. Berusahalah seboleh mungkin untuk menangisi dosa-dosa yang lalu moga-moga dapat menyelamatkan kita dari neraka Allah dengan rahmat-Nya.





Sabtu, 13 Jun 2009

NI'MAT CINTA

Cinta adalah suatu ni'mat yang dianugerahkan oleh Allah SWT terhadap hamba-hambaNya.Cinta bagai api yang membakar semangat untuk kita melakukan sesuatu, tanpa cinta sesuatu yang kita lakukan mungkin tidak sempurna.Cinta juga adalah fitrah insan untuk menuju kejayaan.Bersyukurlah kita yang di kurniakan rasa cinta dan di cintai. Bagaimanapun kita harus menangani rasa cinta itu dengan waras dan bertanggungjawab.

Cinta terhadap Allah SWT adalah cinta paling agung dan terpuji. Allah menyebut kalimah cinta(kasih sayang) menerusi firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! sesiapa di antara kamu yang berpalin tadah dari agamanya (jadi murtad) maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia..."(Al- Mai'dah :54)

Terdapat dua jenis cinta iaitu cinta yang tercela dan cinta yang terpuji. Cinta tercela paling berat adalah mencintai sesuatu dengan kadar yang sama dengan cinta kepada Allah. Jenis cinta syirik ini menjadi penyebab utama kesengsaraan seseorang. Sebaliknya cinta terpuji hanya kepada Allah SWT. Cinta adalah penyebab utama kebahagiaan seseorang.

Cinta kedua adalah terhadap Rasulullah SAW. Dalam hal ini Sayidina Umar RA berkata kepada Rasulullah saw: "Wahai Rasulullah, sungguh engkau lebih aku cintai daripada segala-galanya, kecuali terhadap diriku sendiri." Baginda berkata: Wahai Umar, tidak hingga aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri." Umar berkata: "Demi zat yang mengutusmu, engkau aku lebih cintai dari diriku sendiri."(Riwayat Al- Bukhari, Ahmad dan Al- Thabrani)

Jika seperti itu kebesaran kecintaan seseorang hamba kepada Rasulullah SAW, yang perlu di utamakan berbanding cinta kepada diri, anak, orang tua dan semua manusia. Kecintaanterhadap Allah SWT wajar diutamakan daripada kecintaan kepada yang lain. Kadar dan sifat kecintaan kepada Allah juga berbeza dengan kecintaan kepada yang lain. Allah harus lebih di cintai daripada segala-galanya, bahkan diri sendiri dan semua yang di milikinya.

Hayatilah kata-kata HUKAMA' TENTANG CINTA: "CINTA KEPADA HARTA ERTINYA BAKHIL, CINTA KEPADA PEREMPUAN ERTINYA ALAM, CINTA KEPADA DIRI ERTINYA BIJAKSANA, CINTA KEPADA MATI ERTINYA HIDUP DAN CINTA KEPADA TUHAN ERTINYA TAKWA."

Hamka turut mentafsirkan: "CINTA ITU SUCI, CINTA ITU TIDAK BUTA, CINTA ITU ADALAH KEPUNYAAN TUHAN. YANG TIDAK SUCI DAN BUTA, ADALAH ORANG YANG SALAH MENGUNAKANNYA. CINTA BUKAN MENGAJAR KITA LEMAH TETAPI MEMBANGKITKAN KEKUATAN. CINTA BUKAN MENGAJAR KITA MENGHINA DIRI TETAPI MENGHEMBUSKAN KEGAGAHAN. CINTA BUKAN MELEMAHKAN KUDRAT TETAPI MEMBANGKITKAN SEMANGAT.

SUATU ANUGERAH

Butir bicaramu

Menolak resah yang membungkam di jiwa

Tutur nasihatmu

Membangkit kembali semangat juangku

Tika ombak pilu menghempas pantai hatiku

Telah kau selami diri ini

Setulus hatimu

Telah kau temani perjalanan hidup ini

Dengan redup kasihmu

Tanpa dirimu

Hari-hariku sepi membisu

Tanpa dirimu

Terasa suram hidupku

Sesungguhnya...

Mengenalimu,

Suatu anugerah buatku...

Buat suami yang tercinta(Najhan)terimakasih kerana telah membimbingku menjadi seorang isteri dan ibu yang solehah."Ya Tuhanku, aku mohon supaya aku cinta kepadaMu dan cinta kepada orang yang mencintaiMu, termasuk orang yang sayang kepada semua amalan(aktiviti) yang boleh membawa kepada sayang kepadaMu."(hadis riwayat Tirmidzi: 3341)



Untuk Renungan

Dari Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w telah bersabda:"Dari keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan perkara yang tidak berguna kepadanya".(Hadis Hasan diriwayatkan oleh Tirmizi)


Hadis ini mengandungi himpunan adab yang baik bagi seorang Islam.Seseorang Muslim di kehendaki memelihara adab kesopanan dan budi pekertinya sesuai dengan adatnya yang baik dan sebanding dengan tuntutan agamanya.

Antara perkara keelokan Islam bagi seseorang yang di gariskan dalam hadis tersebut ialah:

  1. Meninggalkan perkara tidak berguna: meninggalkan apa yang tidak berguna bagi kehidupan dunia dan agama, seperti menghabiskan waktu dan umur dengan sia-sia.
  2. Meninggalkan percakapan yang tidak berguna: meninggalkan percakapan yang sia-sia dan berbahaya yang boleh menyebabkan terjadinya fitnah dan permusuhan, mengadu domba dan melaga-lagakan anggota masyarakat.

Jumaat, 12 Jun 2009

Makanan Yang Panas Mengeraskan Lidah

Gulai di atas dapur membuak-buak mengelegak. Harum baunya pasti membuka selera bagi sesiapa yang terciumnya.Aku perhatikan saja si tukang masak restoren itu mengadunkan rencah-rencah untuk masakan yang berikutnya.Gulai apalah pula yang akan di masaknya,aku pun tak pasti.Sambil itu tangannya sempat mencapai sebatang senduk lalu diceduknya sedikit gulai tersebut dan di hirupnya.

"Auu!" ia terjaritnya kecil. Lidahnya mungkin melecur. "Itulah akibatnya kalau tak ikut sunnah Rasulullah," bisik hatiku.

Di dalam Islam memang ada tatatertib dan peradaban mengenai makan dan minum. Kalau kita suka makan makanan yang masih panas-panas akibatnya lidah kita akan menjadi keras.Bila lidah telah keras menyebabkan kita begitu sukar menyebut ayat-ayat Allah. Kesannya kita tidak mudah untuk menghayati kalimah suci itu yang mempunyai keunikannya yang tersendiri bagi setiap sebutan mahrajnya.

Oleh itu elakkan dari suka menghirup atau makan makanan yang masih berkepul-kepul lagi asapnya. Gigi pula akan mudah menjadi lebam dan cepat reput bila kita kerap mengamalkan tabiat demikian. Bagi wanita hamil, hendaklah juga di jauhi tabiat sedemikian kerana ia boleh memudaratkan bayi di dalam kandungan. Apabila bayi lahir ke dunia kemungkinan dia akan mudah di jangkiti penyakit ketumbuhan berair( seperti cacar). Namun demikian penyakit tersebut tidaklah membahayakan, cuma mungkin bayi rasa kurang selesa semasa di bedung.

Selain dari itu Rasulullah juga ada mengajar kita iaitu setiap kali mengunyah makanan, kunyahlah sekurang-kurangaya empat puluh kali. Ini bertujuan supaya makanan yang di makan itu benar-benar hadam sebelum ia masuk ke perut. Amalan ini banyak khasiatnya di mana ia berjaya menghindarkan berbagai penyakit, contohnya sembelit, buasir, sakit perut dan batu karang.

Minum juga ada adabnya yang tersendiri. Menurut hukum fekah, di sunatkan meneguk minuman sebanyak tiga kali. Bagaimana caranya? Iaitu dengan cara menghirup dan bukannya meneguk sekaligus tanpa berhenti-henti, di bimbangi mendatangkan penyakit uluhati.Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
"Apabila kamu minum air maka minumlah dengan cara menghirup dan janganlah kamu minum dengan tidak menghirupnya. Sesungguhnya minum yang tidak menghirup itu mewarisi penyakit hati."

Sewaktu minum kita di larang menghembuskan nafas atau meniup air yang masih panas.Sikap ini menampilkan kegelojohan dan tidak sabarnya kita berhadapan dengan rezeki Allah itu.Seorang sahabat Nabi bernama Abu Qatadah pernah mengatakan bahawa Rasulullah melarang kita berbuat demikian kerana di khuatiri mendatangkan kuman di atas air itu(terutama gas karbon dioksid) yang di hembus dari badan. Bila kita sering mengamalkan sikap yang tidak baik itu, tidak hairanlah ramai manusia di akhir zaman ini di hinggapi penyakit yang pelik-pelik.

Kepada kaum ibu yang selalu berdamping dengan dapur dan anak-anak, awasilah diri ketika berada didalam dua keadaan ini. Ketika hendak merasai gulai, memberi makan dan minum kepada anak-anak, janganlah di suapkan di dalam keadaan yang masih panas. Makan dan minum biar bertertib iaitu dalam keadaan duduk, walaupun hanya untuk makan makanan ringan, ataupun hanya untuk meminum seteguk air.

Sekiranya kita hendak merasai makanan yang sedang dimasak biarkanlah ia menjadi sejuk sebentar, agar ia tidak menunjuk sikap kita yang gelogoh dan tidak hairanlah kalau anak-anak nanti juga bersikap demikian juga.Jika si ibu mencontohi akhlak Rasulullah maka si anak juga akan mudah menuruti perintahnya.Secara tidak langsung akan lahirlah sebuah rumahtangga yang berkat dan di redha oleh Allah.Saya menyeru untuk diri saya dan kaum muslimah semua semuga kita semua berusahalah kearah jalan kebaikkan untuk membentuk keluarga bahagia didunia dan akhirat. InsaAllah.

Siapa Diri Kita Yang Sebenarnya

SIAPAKAH ORANG YANG SIBUK?
Merekalah orang yang mengambil berat akan solat seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti Nabi Sulaiman a.s.

SIAPAKAH ORANG YANG MANIS SENYUMANNYA?
Merekalah orang yang di timpa musibah lalu ia berkata "inna lillahi wainna ilahi rajiuun", lalu sambil berkata "Ya Allah, aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

SIAPAKAH ORANG YANG KAYA?
Merekalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang hanya sementara ini.

SIAPAKAH ORANG YANG MISKIN?
Merekalah orang yang tidak puas dengan nikmat yang ada dan sentiasa pula mengumpul-gumpulkan harta.

SIAPAKAH ORANG YANG RUGI?
Merekalah yang sudah sampai usia pertengahan, namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikkan.

SIAPAKAH ORANG YANG PALING CANTIK?
Merekalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

SIAPAKAH ORANG YANG MEMPUNYAI RUMAH YANG PALING LUAS?
Merekalah orang yang apabila mati membawa bersamanya amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

SIAPAKAH ORANG YANG MEMPUNYAI RUMAH YANG PALING SEMPIT LAGI DI HIMPIT?
Merekalah orang yang apabila mati tidak membawa bersamanya amal-amal kebaikan lalu kuburnya menghimpitkannya.

SIAPAKAH ORANG YANG MEMPUNYAI AKAL?
Merekalah orang-orang yang kelak menghuni syurga kerana telah menggunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.

SIAPAKAH YANG KEDEKUT?
Merekalah orang yang mendiamkan ilmu-ilmu yang di perolehinya, tetapi dia tidak menyampaikan pula ilmu-ilmunya itu kepada orang lain.

Kami memohon keampunanMu, hai Tuhan kami! Kerana kepadaMulah tempat kembali.Hai Tuhan kami! Janganlah Engkau seksa kami jika kami lupa atau kami keliru. Hai Tuhan kami! Dan janganlah Engkau pikulkan atas kami sebagaimana Engkau pikulkan atas orang-orang yang dahulu daripada kami. Hai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan atas kami (perintah-perintah) yang tidak kuat kami mengerjakannya, dan hapuskan (dosa-dosa) daripada kami, dan lindungilah kami daripada(dosa-dosa), dan kasihanilah kami. Engkau penolong kami, oleh itu, tolonglah kami atas (mengalahkan) kaum yang kafir.(
surah Al-Baqarah ayat 285 hingga 286)

Ahad, 7 Jun 2009

RUMAHTANGGA ACUAN ISLAM

ISTERI SOLEHAH

HAK-HAK SUAMI DARI ISTERINYA

Isteri yang sentiasa menjaga kebersihan, kesihatan dan keseimbangan dirinya,rumahtangga serta anak-anak.

Isteri yang sentiasa mencintai dan menghormati keluarga suaminya seperti mana ia menghormati dan menyayangi keluarganya sendiri.

Tidak membenarkan lelaki yang bukan mahram memasuki rumahnya ketika ketiadaan suami.

Isteri yang sentiasa menjaga aurat dari pandangan yang bukan mahramnya.

Isteri yang sedia menjadikan suaminya sebagai ketua di dalam rumahtangga mereka.Ini kerana sifat semula jadi yang telah Allah anugerahkan kepada kaum lelaki.
SUAMI SOLEH

HAK-HAK ISTERI DARI SUAMINYA

Suami yang taat dalam melaksanakan perintah serta suruhan Allah dan Rasul-Nya dan dapat membimbing isterinya.

Suami yang mampu memberikan nafkah sama ada zahir dan batin.

Suami yang sedia memberikan nasihat, bimbingan, dorongan, didikan dan tunjuk ajar dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab rumahtangga dan juga terhadap Allah s.w.t.

Suami yang bijak dalam menyelesaikan permasalahan isteri yang timbul bersama jiran tetangga atau sebagainya.

Suami yang dapat memberikan pemerhatian dalam hal keselamatan, kebajikan dan kesihatannya

Jumaat, 5 Jun 2009

KHUTBAH TERAKHIR RASULULLAH S.A.W.

WAHAI MANUSIA,dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan,Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini.Oleh itu DENGARLAH dengan teliti kaya-kataku ini dan SAMPAIKAN ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

WAHAI MANUSIA, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai AMANAH SUCI.Kembalikan harta yang di amanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia PASTI membuat perhitungan diatas segala amalan kamu.Allah telah MENGHARAMKAN RIBA,oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.BERWASPADALAH terhadap SYAITAN demi keselamatan AGAMA kamu.Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

WAHAI MANUSIA, sebagaimana kamu mempunyai HAK atas isteri kamu mereka juga mempunyai HAK di atas kamu.Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam SUSANA KASIH SAYANG. Layanlah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah TEMAN dan PEMBANTU kamu yang SETIA. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan DILARANG MELAKUKAN ZINA.

WAHAI MANUSIA, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah ALLAH, dirikanlah SEMBAHYANG lima kali sehari, BERPUASALAH di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah ZAKAT dari harta kekayaan kamu.Kerjakanlah IBADAT HAJI sekiranya kamu mampu.Ketahuilah bahawa SETIAP MUSLIM ADALAH SAUDARA kepada muslim yang lain.Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam TAQWA dan AMALAN SALEH.

INGATLAH, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk DIPERTANGGUNGJAWABKANdiatas segala apa yang telah kamu kerjakan.Oleh itu, AWASLAH agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari LANDASAN KEBENARAN selepas ketiadaanku.

WAHAI MANUSIA, tidak ada lagi NABI atau RASUL yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain AGAMA BARU. Oleh itu wahai manusia NILAILAH dengan BETUL dan FAHAMILAH kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu.Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu BERPEGANG TEGUH dan MENGIKUTI kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan SESAT SELAMA-LAMANYA.Itulah AL-QURAN dan SUNNAHKU.

HENDAKLAH orang-orang yang mendengar ucapanku, MENYAMPAIKAN pula kepada orang lain.Semoga yang terakhir LEBIH MEMAHAMI kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah YA ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan RISALAHMU kepada hamba-hambaMU.

Selasa, 2 Jun 2009

Wangian Syurga


Syurga itu selain indah, cantik,menawan,ia juga memiliki bau yang amat wangi.Hidung selain diciptakan Allah untuk menyedut nafas(oksigen) ia juga alat untuk menghidu dan mencium sesuatu bauan bersyukurlah pada Allah kalau hidung kita masih berfungsi dengan sebaiknya. Ada orang yang hidungnya boleh menghidu di atas dunia dan boleh menghidu juga keharuman syurgawi. Ada orang yang boleh menghidu haruman duniawi tetapi terhalang menghidu haruman syurgawi. Ada orang yang langsung terhalang menghidu segala haruman duniawi dan syurgawi.

Sungguh malang, sekiranya dua lubang hidung kita kala itu terhalang dari menghidu keharuman syurga yang hakiki lagi sejati itu, walhal Imam Bukhari meriwayatkan bahawa baunya dapat di cium dari jarak 400 tahun. Abu Daud, At-Tamizi dan Ibnu Majah meriwayatkan baunya dapat di cium dari jarak 70 tahun.

Begitu hebatnya syurga ciptaan Allah S.W.T. ini. Tidak keterlaluan untuk di katakan bahawa amatlah rugi bagi orang2 yang tidak berlomba-lomba untuk mendapatkannya.

Ada golongan yang terhalang dari menghidu haruman syurgawi. Berdasarkan riwayat imam-imam dan hadis bahawa orang-orang yang tidak dapat mencium haruman syurga itu adalah seperti berikut:

  1. Pembunuh orang kafir mu'ahadah iaitu orang kafir yang mengikat perjanjian keamanan dengan Islam.
  2. Orang yang mengabai dan mensia-siakan tanggungjawab yang dipikulkan Allah atas diri mereka seperti tanggungjawab ibu ayah terhadap anak- anak, tanggungjawab suami terhadap isteri, tanggungjawab imam terhadap para makmum, tanggungjawab ulama terhadap umat dan tanggungjawab pemimpin(raja dan sultan) terhadap rakyat jelata.Hari ini kita masih menyaksikan ramai anak-anak khasnya remaja terbiar tanpa didikan ibu bapa. Ada ibu-ibu yang bertudung tetapi masih membiarkan anak-anak gadis mereka yang sudah baligh mendedahkan aurat tanpa segan silu. Ada para bapa yang gigih ke surau dan masjid, tetapi langsung tidak menghiraukan anak-anak mereka yang meninggalkan solat. Demikian juga para suami yang mengabaikan rohaniah isteri-isteri mereka.Ilmu agama isteri entah ke mana,Solat tidak tahu, bersuci tidak tahu, baca Al-Quran tidak tahu dan segala-galanya tidak tahu. Tidak ketinggalan para pemimpin dan pemegang amanah rakyat, mereka tidur lena di atas tilam-tilam empuk walhal masih ramai rakyat jelata yang tidur dalam titisan embun dan hujan kerana bumbung rumah yang bocor, ibu-ibu miskin yang meniup dapur kayu hingga terbatuk-batuk menelan abu dan asap bagi menyediakan juadah anak-anak yang masih kecil.Ibarat kata ,kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Demikian juga para ulama dan pendakwah yang tidak bersungguh-sungguh mendidik umat tentang kebenaran ,tentang agama islam yang suci, tentang Al-Quran dan sunnah rasul yang sebenarnya yang patut di ikuti dan di amalkan oleh semua umat islam.
  3. Orang yang berilmu tetapi ilmunya digunakan semata-mata untuk mencari keuntungan dan kepentinggan duniawi.
  4. Orang yang sering berangan-angan untuk beramal(bertaubat dan beramal soleh), namun tidak pernah dikerjakannya.Ungkapan "Nanti-nantilah kita beramal",sering digunakan mereka."Umur lima puluhan nanti kita mulalah buat bekalan", "Lepas pencen nantilah kita pergi ke masjid" dan sebagainya.Semuanya tak lebih macam angan-angan Mat Jenin.Tengok-tengok maut sudah menjelma di depan mata.
  5. Semua penderhaka sama ada kepada Allah,Rasulullah,kedua-dua ibu bapa dan sebagainya.
  6. Peminum arak.
  7. Orang yang suka memutuskan silaturrahim.Dalam hadith yang masyhur, Nabi S.A.W. pernah menyebutkan bahawa golongan pemutus silatulrahim ini memang tidak akan masuk ke dalam syurga, bahkan bau syurga pun ia tak akan dapat.Renung-renungkanlah dengan siapa yang kita masih bermasam muka dan tidak bertegur sapa.
  8. Orang tua yang berzina.Inilah yang sering dipaparkan oleh media kita pada abad 21 yang serba maju ini. Makin hari makin ramai datuk-datuk yang merogol cucu, ayah merogol anak, abang merogol adik malah pengali kubur pun berani merogol mayat wanita.Ada lagi yang tidak takut... berzina dan merogol di dalam surau dan sebagainya.
  9. Orang-orang yang sombong,yang megah dengan apa yang di miliki di atas dunia ini
  10. Isteri yang meminta di ceraikan tanpa ada sesuatu kesalahan dan keuzuran yang di benarkan oleh syarak.
Sama-samalah kita mengambil iktibar dan berusaha untuk berhijrah ke arah yang lebih baik.Insaallah.



Isnin, 1 Jun 2009

Remaja Yang Kita Impikan

Tahniah diucapkan buat anak2 Matri yang lulus cemerlang dalam SPM tahun 2008 yang lalu. semuga kejayaan itu turut selari dengan kecermelangan budi pekerti dan keperibadian insan solehah. Sudah pasti, peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi terutama universiti sedang menanti kalian. Bukankah itu impian sejak di bangku sekolah lagi.....

Alhamdulillah.Namun, dalam keghairahan itu di harap anak2 tidak lupa untuk mempersiapkan diri dari aspek emosi, mental dan rohani. persiapan dalaman ini amat utama berbanding fizikal kerana anak2 bakal berhadapan dengan dunia yang serba baru yang jauh berbeza dengan kehidupan di Matri dulu.

Medan kampus adalah masa terbaik anak2 memahami kehidupan sebenar menurut acuan islam. di sana, anak2 mempunyai banyak peluang keemasan untuk memprektikkan segala ilmu dunia dan akhirat yang telah di pelajari di Matri selama ini, sebarkan ia.Insaallah jika anak2 melakukan ia dengan ikhlas kerana Allah, nikmatnya akan dapat di rasai kelak.

sehubungan itu, anak2 perlu mengunakan potensi yang ada pada diri anda di samping kecermelangan akademik, untuk merealisasikan hasrat murni ibu bapa, masyarakat dan paling utama ialah tuntutan islam yang mahukan umatnya menjadi orang cemerlang dalam ertikata sebenarnya.

Di Universiti, kegagalan anak2 mengurus kehidupan berlandaskan syariat Allah, mengabaikan amanah dan harapan keluarga serta umat Islam, akan mewujudkan natijah yang kelak memberi penyesalan yang tidak ada titik noktah, kecuali berakhirnya hayat di badan.

Justeru, pastikan anak2 melangkah ke 'Menara Gading' yang telah lama di impikan dan pilihan anda itu dengan bekalan yang cukup iaitu Iman dan Taqwa.Bagi memastikan bekalan itu tetap berterusan,maka anda perlu menjaganya dengan meletakkan diri setiap masa dalam suasana yang di redhai Allah

Di samping itu anak2 perlu bijak membuat penilaian terhadap teman2 yang bakal di hampiri kelak. Paling penting, anda sentiasa berwaspada dari segala pekara yang melalaikan dari mengingati Allah,dengan menjaga solat pada waktunya.Lakukanlah sesuatu pekerjaan itu dengan niat ikhlas kerana Allah Insaallah akan beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.akhir kata selamat berjaya untuk anak2 semua Ingatlah! menuntut ilmu itu satu jihat besar ganjarannya .Selamat berjuang untuk serikandi islam.

REMAJA YANG KITA IMPIKAN...

Jika ada orang yang bertanya
Bagaimanakah rupa remaja yang kita idamkan?

Jawabnya
Remaja yang kita impikan...
dadanayasarat ilmu kepandaian
hatinya berbunga hikmah kebijaksanaan
nuraninya mekar cinta kasih sayang
pundaknya menggalas amanah iltizam
kakinya gagah melangkah cabaran
tangannya tangkas menghayun harapan
lidahnya fasih mengukap kebenaran

Remaja yang kita impikan...
jasmaninya agam bak jagoan
emosinya tenteram bak kebudimanan
ruhaninya mapan bak agamawan
inteliknya mendalam bak cendekiawan

Remaja yang kita impikan...
jiwanya laman keimanan
mindanya ruang informasi
akhlaknya celupan nilai murni
peribadinya bayangan rabbani

Remaja yang kita impikan...
tidak semudah untuk di realisasi
namun begitu
bukan mustahil untuk di jelmakan
sama-sama kita usahakan
jadikan ia satu kenyataan

NASIHAT LUQMAN AL-HAKIM

Nasihat Luqman Al-Hakim kepada anaknya(surah Luqman)

  • Hai anakku! janganlah kamu mempersekutukan Allah kerana perbuatan mempersekutukan Allah itu adalah satu kezaliman yang besar.
  • Hendaklah kamu patuh dan berbuat baik kepada kedua ibu bapamu.
  • Jika kedua orang tuamu memaksamu untuk mempersekutukan Allah maka janganlah kamu mengikutnya.
  • Hendaklah kamu mendirikan solat,menyuruh manusia mengerjakan yang baik dan cegahlah perbuatan mungkar serta bersabarlah terhadap apa sahaja dugaan yang menimpamu.
  • Jangan berlagak dan berlaku sombong lagi angkuh, kerana Allah tidak suka kepada orang2 yang sombong dan membangakan diri.
  • Hendaklah kamu sederhana dalam berjalan dan lunakkanlah dan lembutkanlah suaramu.

Sebelum wafat, Luqman Al-Hakim berkata kepada anaknya:
"Hai anakku, telah banyak yang telah aku wasiatkan kepada kamu, kini aku berwasiat mengenai enam perkara yang telah dikandung oleh orang2 berilmu sejak dahulu:
  • Janganlah direbutkan dunia kecuali sekadar untuk memenuhi sisa hidupmu.
  • Sembahlah Tuhanmu mengikut keperluanmu kepadaNya.
  • Beramallah untuk akhirat sesuai dengan kehendakmu untuk hidup disana.
  • Berusahalah menghindarkan dirimu dari bakaran api neraka selama engkau belum yakin akan selamat darinya.
  • Sesuaikan keberanianmu dalam berbuat derhaka dengan kemampuan kesabaranmu menerima azab Allah S.W.T.
  • Jika engkau mendehakai Allah, maka carilah tempat sehingga engkau tidak dilihat oleh Allah dan malaikatnya."

Luqman mengajak anaknya ke pasar dengan berkenderaan keldai.Pertama dia menunggang dan anaknya menuntun.Orang ramai pun mencela,"Orang tua kejam, dia menunggang dan anaknya disuruh berjalan."Kemudian dia mengajak anaknya naik sekali, orang pun mencela,"Bagaimana dua orang naik satu keldai."Lalu turunlah Luqman sedang anaknya tetap di atas.Tiba2 ada yang mencela,"Anak kurang ajar, bapa dijadikan buruh menuntun keldai." Lalu Luqman menyuruh anaknya turun dari keldai,Orang mencela lagi,"Bodoh benar keldai tidak dinaiki malah di tuntun."Dengan ini Luqman cuba menunjukkan kepada anaknya bahawa orang beramal untuk mengambil hati orang lain tidak akan selamat dari cacian mereka.


:Liqman berpesan kepada anaknya
"Hai anakku! hendaklah dirimu merasa takut memuliaka orang yang celaka, mencerca orang yang berakal, menghina orang yang mulia, bergurau dengan orang bodoh, bersahabat dengan orang yang jahil dan berkelahi dengan orang jahat.Awal kesempurnaan kebajikan itu ialah bersegera kembali kepada Allah."


"Hai anakku!3perkara kebaikan pada manusia ialah:
  • Bermusyawarah dengan orang yang memberi nasihat
  • Bermuka manis dan berlembut dengan musuh dan orang berdengki.
  • Menyatakan kasih pada semua orang."
"Hai anakku!Takutlah kamu kepada sifat dengki kerana sifat dengki itu akan membinasakan agama, melemahkan kemahuan dan kesudahannya adalah penyesalan."

"Hai anakku! Duduklah bersama ulama dan rapatkanlah mereka dengan kedua lututmu.Sesungguhnya Allah S.W.T.menghidupkan hati dengan nur-hikmah(ilmu)seperti menghidupkan bumi dengan hijan dari langit."

"Hai anakku! Juakanlah dunaimu dengan akhiratmu, nescaya engkau akan beruntung dari keduanya.Dan janganlah engkau jual akhiratmu dengan duniamu neccaya engkau akan rugi dari keduanya."

"Hai anakku! Janganlah kamu tertawa dari hal yang tidak menakjubkan, Janganlah kamu berjalan tanpa tujuan, Jangan kamu bertanya tentang pekara yang tidak perlu bagimu, Janganlah kamu mengsia-siakan hartamu dan malah harta orang lain kamu jadikan manafaat.Sesungguhnya dahulukan hartamu dan tinggalkan harta orang lain."

"Hai anakku!Sesungguhnya sesiapa yang mengasihi orang nescaya ia akan dikasihi.Dan siapa menyatakan kebajikan nescaya memperolehi hasil.Siapa yang menyatakan kejahatan nescaya berdosa dan siapa yang tidak menguasai lidahnya nescaya menyesal,"

"Hai anakku! Sesungguhnya emas itu di cuba dengan api.Dan hamba yang soleh dicuba dengan bencana. Maka apabila Allah mengasihi sesuatu kaum nescaya akan di cubanya mereka.Siapa yang redha nescaya Allah pun akan redha dan siapa yang marah nescaya Allah pun akan marah."

"Hai anakku Sesungguhnya dunia ini adalah lautan yang dalam,Banyak manusia yang tenggelam di dalamnya. Jadikan Takwa sebagai bahteramu di dunai ini,muatannya ialah IMAN dan layarnya ialah berserah DIRI kepada Allah, mudah-mudahan engkau selamat."

"Hai anakku! Dunia adalah lautan sedangkan iman adalah perahu. Pelautnya adalah ketaatan dan pantainya adalah akhirat."