BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Pengunjung

Ahad, 14 November 2010

Puasa 9 Zulhijjah (Hari 'Arafah) dan Kelebihannya

Bulan Zulhijjah ini merupakan satu bulan mulia yang digalakkan melakukan puasa sunat dari awal bulan sehinggalah hari ke 9. Walaubagaimanapun bagi mereka yang belum lagi dapat menunaikan puasa di bulan Zulhijjah ini, terdapat satu hari yang amat baik ganjaran bagi yang berpuasa, dimana ia akan menghapuskan dosa ditahun lepas dan yang akan datang, iaitu puasa di hari Arafah (9 Zulhijjah), yang bersamaan dengan 15 November 2010 (isnin) ini. Puasa sunat dihari Arafah ini hukumnya makruh keatas mereka yang sedang menunaikan Haji, akan tetapi sunat bagi yang tidak menunaikan Haji.
Puasa sunat 9 Zulhijjah dikenali dengan nama puasa hari Arafah iaitu puasa yang disunatkan kepada orang-orang yang tidak melakukan ibadat haji.

Kelebihan berpuasa pada hari itu menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Qatadah Al-Anshari berkata:
Maksudnya: "Dan ditanya (Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam) tentang berpuasa di hari Arafah? Maka Baginda bersabda: "Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang."(Hadits riwayat Muslim)


Kita berdo'a kepada Allah agar dapat menetapkan Iman kita dan agar kita dapat melakukan amalan puasa sunat di bulan Zulhijjah terutamanya pada hari Arafah, iaitu 9 Zulhijjah dimana jemaah-jemaah haji pada waktu itu sedang berwukuf di Arafah, memohon pengampunan dan keredhaan dari Allah swt.

Khamis, 28 Oktober 2010






Senyuman bukan saja dapat membahagiakan diri tetapi juga gambarkan keikhlasan hati

SETIAP manusia melihat dunia ini sesuai dengan perbuatan, fikiran dan dorongan hidupnya. Ini bermakna bahawa apabila amal perbuatannya baik, fikirannya bersih dan motivasi hidupnya suci, maka dia akan melihat dunia ini bersih dan indah seperti dunia itu diciptakan. Begitu pula sebaliknya, apabila amal perbuatannya buruk, fikirannya kotor dan motivasinya ternoda, maka dunia ini akan terlihat gelap gelita dan dia melihat segala sesuatu berasa hitam pekat.

Di sinilah letak rahsia keistimewaan ihsan dalam proses pengajaran malaikat Jibril as yang datang kepada baginda Rasulullah SAW dalam hadis sahih riwayat Muslim yang bermaksud:

“Daripada Umar ra, katanya: “Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah SAW tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan atasnya tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalnya sehingga ia duduk berdekatan kepada Nabi SAW lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada dua lutut Nabi dan meletakkan kedua telapak tangannya ke atas dua paha Nabi.

Kemudian ia berkata: “Wahai Muhammad, khabarkanlah kepadaku daripada hal Islam,” maka Rasulullah menjawab: “Islam itu ialah bahawa engkau mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya”. Dia berkata: “Benarlah engkau”. Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.

Katanya lagi: “Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal Iman?”, Rasulullah menjawab: “Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan malaikat-Nya dan segala kitab-Nya dan Rasul-Nya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada takdir baiknya dan jahatnya”. Dia berkata: “Benarlah engkau”.

Kemudian dia bertanya lagi: “Maka sekarang khabarkanlah kepadaku daripada hal ihsan?” Rasulullah menjawab: “Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”.

Akhirnya dia berkata meneruskan pertanyaannya lagi: “Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal hari kiamat”. Rasulullah menjawab: “Tidaklah yang ditanya daripadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya”. “Kalau begitu katanya, maka khabarkanlah kepadaku daripada tanda-tandanya saja.” Rasulullah menjawab: “Tanda-tandanya itu ialah apabila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing (berbangga-bangga) menegak dan meninggikan binaannya.”

Kemudian dia pun pergi, lalu aku terdiam beberapa lama. Setelah itu, Rasulullah berkata: “Wahai Umar, adakah engkau tahu siapakah orang yang bertanya itu?”. Berkata aku: “Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu.” Rasulullah berkata: “Sesungguhnya itulah dia Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.”

Dalam Kamus Dewan “Ihsan” dijelaskan dengan mengambil kira makna hadis di atas ketika menjelaskan maknanya dengan “beribadat kepada Allah dengan menyedari bahawa seseorang itu berhadapan dengan Allah Subhanahu Wataala yang sentiasa melihatnya.”

“Ihsan” juga bererti kebaikan, kebajikan, kemurahan hati (lawan bakhil) seperti dalam Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan atau “Ihsan” juga bererti perbuatan (derma dan sebagainya) yang baik, kebaikan, kemurahan hati, kebajikan, kedermawanan seperti dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara.

Dalam al-Quran perkataan al-ihsan asalnya daripada perkataan: ahsana, yuhsinu, ahsin, ihsanan dan setidaknya ada 12 ayatnya yang mengandungi lafaz ihsan/ihsanan yang menunjukkan kepada perbuatan baik dan kebaikan yang lebih daripada yang sepatutnya atau yang sama maksudnya. Ada kira-kira sebanyak 38 ayat lagi menunjuk kepada pujian dan penghargaan tinggi kepada pelakunya dengan lafaz muhsin, muhsinun, muhsinin, muhsinat. Selanjutnya ada pula lafaz lain yang juga berkaitan dengan al-ihsan itu. Semuanya membawa pengertian menurut konteks ayat yang difirmankan oleh Allah Subhanahu Wataala. (al-Mu’jam al-Mufahras li Alfa al-Quran).

Konteks ihsan kepada sesama makhluk sangat luas dalam al-Quran dan ia sangat jelas dalam ayatnya bermaksud:

“Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim, serta orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu; dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya”. (Surah al-Baqarah: 83)

Bahkan perbuatan ihsan diperintahkan Allah dengan tegas dalam firman-Nya bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.” (Surah al-Nahl: 90)

Satu daripada bukti wujudnya ihsan dalam diri manusia adalah senyum yang selalu melekat pada bibir seseorang kerana senyuman adalah bunga daripada perbuatan, fikiran dan motivasi yang baik. “Senyummu kala bertemu saudaramu bernilai sedekah“, seperti dalam hadis menunjukkan bahawa senyum berakar daripada ihsan kerana sedekah tidak akan diberikan kecuali oleh orang yang bersih hati dan perbuatan.

Senyum yang tulus bukti kebahagian diri yang dihasilkan oleh kandungan ihsan pada diri manusia. Ahmad Amin dalam Faid al-Kathir menulis:

“Orang yang murah dengan senyuman dalam menjalani hidup ini bukan saja orang yang paling mampu membahagiakan diri sendiri, tetapi juga orang yang berkemampuan lebih dalam mengerjakan pelbagai urusan, lebih bertanggungjawab ketika memikul tugas, orang yang paling kuat menghadapi kesulitan dan memecahkan persoalan dan lebih profesional dalam memikul urusan penting yang bermanfaat bagi diri mereka dan masyarakat. Seandainya saya disuruh memilih di antara harta yang banyak atau kedudukan yang tinggi dengan jiwa yang tenteram damai dan selalu tersenyum, pastilah saya memilih yang kedua. Sebabnya ialah, apa ertinya harta yang banyak bila wajah selalu muram? Apa ertinya pangkat dan kedudukan sekiranya jiwa sering cemas?”

Allah menyukai orang yang berbuat ihsan, dan ia disebutkan dalam beberapa ayat al-Quran. Jika kesukaan Allah sudah berada pada diri manusia maka senyum adalah tandanya. Di samping itu, rahmat Allah sangat dekat dengan orang yang sentiasa berbuat ihsan. Allah berfirman maksudnya:

“Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang muhsinin (orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A’raf: 5)

Jika begini adanya dalam al-Quran, tidakkah kita ingin sentiasa dekat dengan rahmat Allah?





Selasa, 19 Oktober 2010

HIASILAH DIRI DENGAN SIFAT MALU


Sesungguhnya agama Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa melakukan kebaikan dan meninggalkan segala kejahatan dan kemungkaran. Islam juga menyeru kita untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia dan terpuji kerana perbuatan tersebut akan memberikan kebahagiaan dalam kehidupan kita sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti. Antara akhlak yang di tuntut supaya kita memilikinya ialah sifat malu.

Semua agama menyuruh umat mereka berakhlak dan beretika. Namun akhlak Islam itu sifatnya tersendiri kerana akhlak Islam memiliki satu sifat yang membezakan malah meletakkannya lebih tinggi dan mulia dari akhlak agama-agama yang lain, seperti mana sabda Nabi saw yang bermaksud:
"Sesungguhnya semua agama mempunyai akhlak, dan akhlak Islam itu adalah sifat malu". (Riwayat Imam Malik)

Dari hadis tadi dapatlah dikatakan bahawa ketinggian akhlak dan kemuliaan itu terangkum dalam sifat malu yang wajib menjadi pakaian diri kita yang mengaku sebagai muslim. Ini kerana sifat malu amat berkait rapat dengan keimanan seseorang. Ertinya, iman seseorang itu tidak akan lengkap sekiranya dia tidak memiliki sifat malu.Pekara ini adalah dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
" Iman itu mempunyai lebih dari tujuh puluh cabang, yang paling utama atau tinggi ialah ucapan La ilaha illallah dan yang paling rendah ialah membuang benda yang meghalang laluan dan sifat malu itu adalah salah satu dari cabang keimanan". ( Hadis dikeluarkan oleh Imam Bukhari dan Imam Malik)

Sifat malu boleh membantu kita agar sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah swt dan dapat menhindarkan diri daripada melakukan maksiat kepada Allah swt. Dari Ibnu Mas'ud Al-badari ra Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
" Bahawasanya setengah yang di dapati manusia dari perkataan nabi yang terdahulu ialah: "Apabila engkau tidak malu maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki".
Hadis ini sebagai dalil yang menunjukkan bahawa sifat malu adalah sebagai perisai bagi seseorang dari melakukan tindakkan yang boleh mendatangkan mudarat kepada agamanya atau merosakkan akhlak dan maruahnya. Sifat malu, merupakan sifat yang istimewa bagi manusia maka orang yang tidak memiliki sifat malu maka tidak ada lagi sifat kemanusiaan di dalam dirinya.

Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri dan cuba untuk menghiasi diri dengan sifat malu secara berterusan tanpa mengira waktu dan keadaan. Kadang- kadang orang merasa malu untuk menghadirkan dirinya pada majlis-majlis agama kerana takut di anggap sebagai seorang yang alim dan ada orang yang takut untuk menutup auratnya takut di anggap ketinggal zaman. Sifat malu seperti ini adalah sifat malu yang tidak bertempat dan ia telah tersasar daripada sifat malu yang di tuntut di dalam Islam. Sebenarnya, malu kepada Allah adalah yang paling utama bukannya kepada sesama manusia. Nabi saw bersabda yang maksudnya:
"Sesungguhnya Allah saja yang berhak kita malu daripadanya". (Riwayat At-Tarmizi)

Dengan memerhati dan menghargai segala nikmat Allah swt atas diri kita, akan lahirlah di lubuk hati rasa malu yang amat kepada Allah swt, malu kerana tahu banyak nikmat yang telah Allah swt anugerahkan kepada kita seperti nikmat rezeki yag melimpah ruah, udara yang segar untuk kita meneruskan kehidupan ini dan bumi yang menghijau untuk kita mendiaminya.Namun segala pemberian Allah itu melebihi ketaatan yang kita persembahkan kepadaNya. Bahkan kita sanggup membelakangkan Allah atas segala pemberian dan anugerah dariNya itu.

Ibnu Mas'ud meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Malulah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar malu".
Para sahabat berkata:
"Sesungguhnya kami semua telah pun malu kepada Allah swt, alhamdulillah".
Selanjutnya baginda bersabda lagi yang bermaksud:
"Bukan begitu, tetapi malu kepada Allah sebenar-benar malu ialah engkau memelihara kepala dan apa yang ada diatasnya dan engkau memelihara perut dan apa yang ada di dalamnya(apa yang dimakan), meningati mati dan kebusukannya. Barangsiapa menhendaki akhirat hendaklah ia meninggalkan perhiasan dunia dan barangsiapa yang melakukan pekara tersebut, maka ia telah malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya". (Riwayat at-Tarmizi)
Maka jelas disini kita di tuntut untuk menghiaskan diri dengan sifat malu tetapi bukanlah terhadap sesama manusia, sebaliknya kita harus malu kepada Allah swt semata-mata.

Lazimnya, sifat malu sering di kaitkan dengan orang perempuan atau wanita. Memang Islam sendiri meletakkan wanita sebagai orang yang sepatutnya bersifat malu akan tetapi tidaklah bermaksud golongan lelaki tidak perlu bersifat malu. Bahkan kita semua dituntut untuk memiliki sifat malu seperti mana yang di contohkan oleh Nabi saw. Seperti yang di riwayatkan oleh Abu Said al- Khudri ra berkata:
" Sesungguhnya Rasulullah saw itu lebih malu dari seorang gadis pingittan dan jika Baginda melihat sesuatu yang di bencinya maka kami mengetahui dari air mukanya".


Walaupun kita ummat ISLAM disuruh untuk memiliki sifat malu, namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang haq kita seharusnya tidak terlalu dikongkong malu. Malah, wanita-wanita ketika zaman Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak menghalangi diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan. Mereka tidak malu dalam menuntut ilmu. Sifat ini wajar kita contohi.

Malah dalam pepatah Melayu juga ada mengatakan bahawa “Malu bertanya sesat jalan”. Ini menunjukkan bahawa dalam mengeluarkan diri dari kejahilan dan kekaburan, jangan kita malu untuk bertanya dan menimba ilmu. Selain itu, rasa malu untuk melakukan kebaikan juga tidak patut ada di dalam diri manusia. Kerana ALLAH swt menyuruh hamba-hambaNYA agar berlumba-lumba membuat kebaikan.

Letaklah rasa malu di tempat yang sepatutnya. Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam bab ilmu, menyatakan kebenaran dan mengejar ganjaran untuk berbuat kebaikan jangan pula malu menghalangi diri kita. Namun, sifat malu tidak boleh juga dibuang apabila membuat ketiga-tiga perkara kebaikan tersebut. Ini kerana malu akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas, walaupun dalam hal membuat kebaikan.

Mudah-mudahan ALLAH swt memberikan hidayah dan taufiqNYA kepada kita semua, Insyaallah.

Ahad, 10 Oktober 2010

CANTIK DI MATA CANTIK DI HATI

Pepatah menyebut 'dari mata turun ke hati' ia membawa maksud apa yang dipandang akan memberi kesan pada hati. Ini juga boleh di kaitkan dengan keindahan dan kecantikan seorang wanita. Jesteru itu, ajaran Islam memberi kaedah terbaik dalam menjaga dan memelihara kecantikan seorang wanita. Untuk itu, wanita Islam disyariatkan supaya berpakaian menutup aurat.

Wanita yang menutup aurat bukan sahaja memberi impak baik pada dirinya sendiri tetapi juga pada orang lain. Manfaat untuk diri sendiri, dia akan terhindar daripada di ganggu. Terhadap orang lainpula, ia akan menyejukkan pandangan hati orang yang melihatnya, di samping akan timbul rasa hormat pada wanita itu.

Fitnah syahwat yang paling besar di alam ini adalah fitnah wanita sebagaimana yang terdapat di dalam firman Allah swt yang bermaksud:
" Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang di ingini, Iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik(syurga)." (Ali Imran :14)

Untuk itu Allah swt memerintahkan para wanita menutupi seluruh tubuhnya yang merupakan perhiasan kecuali yang biasa ditampakkan dengan mengenakan tudung yang dapat menutupi seluruh dadanya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
"Dan janganlah mereka menampakkan perhiasanya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya." (An-Nuur: 31)

Dengan ditutupinya seluruh perhiasan seorang wanita maka akan menyempitkan ruang bagi lawan jenisnya untuk mengarahkan pandangannya atau menikmatinya dengan pandangan yang tidak wajar kerana pandangan seperti ini adalah salah satu jalan menuju kepada perzinaan yang disebut dengan zina mata, sebagaimana hadis dari Abu Hurairah ra dari Nabi saw bersabda yang bermaksud:
"Telah dituliskan terhadap anak Adam bagiannya dari zina dan bukan mustahil ia akan tertimpa olehnya. Zina mata adalah pandangan, Zina telinga adalah mendengar, zina lisan adalah berbicara, zina tangan adalah memegang, zina kaki adalah melangkah dan hati memiliki kecenderungan serta harapan yang kemudian dituruti atau diingkari oleh kemaluan." (HR. Muslim)

Tetapi amat menyedihkan, kerana pada hari ini masih ramai para wanita yang tidak memahami tentang aurat yang harus di jaga dan ditutupi olehnya dari pandangan umum.Terdetik di hati ana untuk menyampaikan sedikit pesanan dan peringatan untuk kaum hawa yang bergelar muslimah berkenaan dengan aurat ini semuga dapatlah sama-sama kita renungkan dan ambil iktibar untuk memperbaiki amalan diri kita sementara Allah swt masih lagi memberi kesempatan untuk kita mecari redha-Nya. Kesilapan yang kerap para wanita lakukan tentang aurat adalah

  1. Menganggap aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
  2. Bertudung tetapi ber'T-Shirt berlengan pendek.
  3. Bertudung tetapi bajunya berkain terbelah.
  4. Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memeparkan bentuk kawasan-kawasan yang mudah menggoda.
  5. Bertudung tetapi menampakkan jambulnya seperti pundak unta.
  6. Bertudung tetapi hanya memakainya untuk ke pejabat dan sekolah sahaja.
  7. Bertudung tetapi hujung tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
  8. Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh dilihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.
Ini berlaku kerana sebahagian wanita menyangka bahawa menutup aurat itu adalah hanya menutup rambut sahaja tetapi ia adalah tidak benar sama sekali ia dapat di fahami dari firman Allah swt dari surah An-Nuur ayat 31 yang bermaksud:
"Hendaklah mereka melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHKAN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR,"

Hikmah lain dari perintah menutup aurat ini adalah sebagai ciri khas dan identiti seorang wanita muslimah di bandingkan dengan wanita-wanita non muslim sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
" Hai Nabi, Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk di kenal,kerana itu mereka tidak di ganggu dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab : 59)

Wahai para wanita muslimah sekelian ingatlah sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan Maha Pengasih, marilah kita bersegera untuk mendapatkan kasih sayangNya dengan mentaati segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya. Ingatlah, bahawasanya Nabi Muhammad SAW melihat banyak kaum wanita yang di seksa di dalam neraka sewaktu perjalanannya di malam israq miqrad jadi, marilah kita bersama-sama berusaha untuk menjauhkan diri dari terjerumus ke dalam api neraka. Yakinlah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan neraka juga benar.

Ahad, 26 September 2010

ISLAM YANG DI KEHENDAKI


Adalah menjadi arahan Allah swt kepada seluruh muslimin dan muslimat untuk mengikuti syarak yang telah ditetapkan olehNya. Hanya mereka yang mematuhi syarak yang akan memperolehi keuntungan di dunia dan juga di akhirat.

Untuk mengikuti segala syarak yang telah ditetapkan memerlukan kepada matlamat yang terang. Matlamat yang terang ini pula perlu berhubung dengan keimanan kepada Allah swt. Hanya matlamat yang berhubung dengan Allah swt akan membawa kita kepada kejayaan yang sebenarnya.

Seluruh tenaga, masa, fikiran dan wang ringgit yang kita gunakan akan menjadi sia-sia sekiranya matlamat yang ingin kita capai masih terlindung kejelasannya. Hal ini berlaku secara berleluasan dalam realiti kehidupan masyarakat kita hari ini. Dengan membiarkan hal ini berlaku dengan berterusan bererti kita mendedahkan masyarakat kepada kerosakkan demi kerosakkan. Apabila kepincangan dalam masyarakat berterusan melata maka sudah tentulah keuntungan dan kebahagiaan yang kita harapkan akan menghilang.

Untuk melahirkan semula kesejahteraan yang hakiki, kita perlu bertindak daripada sekarang. Jika di amati dan di teliti, kerja-kerja itu amatlah berat. Oleh itu,ia memerlukan kepada keikhlasan dan kesungguhan yang hakiki untuk melaksanakannya secara berterusan. Kesungguhan seperti ini hanya akan ada pada mereka yang jelas dan terang, jalan dan matlamat yang hendak di tuju.

Oleh itu, kita perlu meneliti dan mengikuti semula ajaran Islam yang sebenarnya untuk mencapai matlamat yang jelas dan nyata seperti firman Allah swt yang bermaksud:
"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercarai-berai." (Ali Imran: 103).

Sebenarnya penjelasan telah pun Allah swt berikan kepada manusia sejak awal lagi. Firman Allah swt yang bermaksud:
"Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia itu kecuali untuk beribadah kepada-Ku." (Az-Zariyat: 56).
Kefahaman yang boleh kita dapati mengenai ayat dari surah Az-Zariyat:56 itu sudah jelas dan nyata . Sebenarnya jin dan manusia di ciptakan untuk beribadat semata-mata kepada Allah swt dan sesiapa yang cuai, maka ia sendiri telah memesongkan hakikat sebenar ia dijadikan.

Pengabdian hendaklah dilakukan di mana-mana sahaja dan dalam apa suasana sekali pun. Inilah apa yang sebenarnya dikehendaki oleh Allah swt tetapi kita sebagai seorang hamba selalu lupa dan leka dengan kemewahan duniawi.

Untuk melahirkan pengabdian di mana-mana sahaja dan dalam apa suasana sekalipun bukanlah pekara yang mudah. Tetapi ia juga bukan mustahil jika disemai dengan keikhlasan dan dibajai dengan kesungguhan. Insyaallah, kita akan dapat beramal dengan apa yang Allah swt perintahkan dan meninggalkan segala larangannya.

Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa tiada suatu benda pun yang wujud tanpa kekuasaan Allah swt. Tiada sebarang perlakuan pun yang kita lakukan terkeluar daripada pengetahuan Allah swt. Tiada secebis rahsia pun yang Allah swt tidak ketahui. Insyaallah, setiap perjuangan untuk mencapai dan menegakkan Islam, pasti akan di sertai oleh Allah swt.

Untuk menjadi golongan yang memperolehi keuntungan di dunia dan akhirat kita hendaklah berpegang teguh kepada tali (agama) Allah swt. Dengan berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah serta manhaj para sahabat, Insyaalah kita akan selamat di dunia dan akhirat. Sabda Baginda yang bermaksud :
"Aku tinggalkan padamu dua pekara, kalian tidak akan tersesat apabila( berpegang teguh) kepada keduanya iaitu Kitabullah dan Sunnahku. Tidak akan bercerai-berai sehingga keduanya menghantarku ke telaga(syurga)." (Di sahihkan al-Albani dalam kitab Sahihul Jami').

Rabu, 16 Jun 2010

Cabaran Pembentukkan Keluarga Akhir Zaman


Para sahabat yang di kasihi kerana Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan para sahabat sekelian, marilah kita sama-sama berusaha meningkatkan ketakwaan kepada Allah swt, takut kepada Allah dengan melaksanakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya. Mudah-mudahan sifat ketakwaan itu mampu menentukan hala tuju pembentukkan masa depan keluarga kita, agar sentiasa selari dengan tuntutan ajaran islam dan beroleh kebahagiaan di dunia dan jua di akhirat. InsyaAllah.

Hala tuju pembentukkan keluarga masa kini dan masa depan bergantung sepenuhnya kepada dasar hidup yang ditentukan oleh ibubapa. Pembangunan sosioekonomi yang pesat dan pengaruh budaya asing telah menjadi punca perubahan pegangan nilai hidup yang membawa kepincangan dalam kehidupan keluarga. Kepincangan dalam keluarga bermula daripada kekurangan kasih sayang dalam keluarga, keganasan rumah tangga, peningkatan kadar perceraian, penderaan kanak-kanak, pengabaian kepada warga emas, sumbang muhrim, kejahilan, bersekedudukan tanpa kahwin dan gejala sosial yang lain.

Sebagai seorang ibubapa yang telah di beri amanah oleh Allah swt untuk menjaga zuriat keturunan, seharusnya kita merasa bimbang dengan penularan budaya hidup berzina dan gaya hidup barat yang boleh mencemarkan imej Islam dan memberi kesan kepada akidah. Berdasarkan kepada perubahan nilai hidup yang ketara ini, maka saya ingin mengingatkan kepada diri sendiri dan saudara yang dikasihi kerana Allah tentang perintah Allah swt didalam surah Al-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu(berhala); neraka itu dijaga dan di kawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar(layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang di perintahkanNya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang di perintahkan".

Menurut ulamak tafsir, pemimpin keluarga hendaklah menjaga, membentuk ahli keluarga dan memerintahkan mereka taat kepada Allah swt serta mencegah mereka mereka daripada melakukan maksiat. Mereka menyatakan bahawa, adalah menjadi kewajipan setiap muslim mengajar keluarganya tentang apa yang di wajibkan oleh Allah swt dan apa yang di larang. Rasulullah saw bersabda dalam hadis di riwayat oleh imam Ahmad yang ertinya:
"Setiap anak yang di lahirkan adalah berkeadaan fitrah(suci) tetapi ibu bapalah yang menentukan anak itu yahudi, nasrani atau majusi".

Bagi membentuk anak-anak menjadi insan cemerlang, ibubapa juga hendaklah terdiri daripada manusia yang cemerlang. Bagaimana ibubapa yang derhaka, rumahtangga yang porak peranda, dapat membentuk keluarga yang sejahtera. Pendidikan dan asuhan yang di berikan oleh ibubapa adalah asas untuk anak-anak bertapak apabila mereka dewasa kelak. Ibubapa adalah cermin yang mudah dijadikan tuntunan oleh anak-anaknya. Oleh itu, dalam mendidik anak-anak supaya beriman kepada Allah dan berakhlak mulia, ibubapa juga hendaklah terlebih dahulu memiliki sifat yang mulia ini.Contoh yang baik daripada ibubapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak.

Sesungguhnya institusi keluarga adalah satu institusi penting dalam kerangka pembinaan ummah. Umat Islam akan berdepan dengan satu masalah besar, seandainya institusi penting ini tidak di kawal dan dijaga dengan baik. Kehancuran institusi ini bermakna kehancuran ummah itu sendiri kerana dari institusi inilah munculnya kalangan ummah di tengah masyarakat.

Dalam mengukuhkan institusi keluarga, marilah kita bersama-sama memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak kita, demi melihat generasi yang terbaik pada masa hadapan. Korbanlah sedikit masa sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu mengadakan majlis ilmu di rumah, mendekatkan mereka dengan institusi masjid melalui solat jamaah atau mengikuti kuliah-kuliah agama.Hendaklah sentiasa memberi kasih sayang dan menunjuk contoh tauladan yang baik kepada mereka serta mengambil tahu hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan anak-anak seperti dengan siapa mereka berkawan, kemana mereka pergi, jam berapa mereka keluar rumah dan sebagainya. Ini semua membuktikan kita telah melaksanakan amanah Allah swt terhadap anak-anak dengan baik dan sempurna.Firman Allah swt dalam surah Al- Furqan ayat 74 yang bermaksud:
" Dan orang-orang yang berkata,"Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri dan zuriat keturunan kami yang menyejukkan hati kami dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertakwa".

Artikel ini ditulis oleh ustaz Mohamad Rizal Azizan.

Isnin, 12 April 2010

Setiap tutur kata cermin peribadi




Penciptaan manusia sebagai makhluk paling istimewa di sisi Allah dan khalifah di muka bumi mempunyai tujuan yang ditetapkan.

Antaranya, menilai sejauh mana ketaatan manusia kepada Allah yang mengakui sejak awal penciptaannya bahawa Dia sahajalah Tuhan yang layak disembah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana yang tidak pernah membiarkan hamba-Nya hidup tanpa panduan dan petunjuk. Al-Quran yang tiada sebarang keraguan di dalamnya, memaparkan panduan bagi membantu umat manusia mencapai kehidupan bahagia di dunia dan akhirat. Oleh sebab itu, wajarlah setiap perbuatan manusia, kelak akan dihitung dan dinilai serta diperlihatkan dengan seadil-adilnya.

Firman Allah bermaksud: "Barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula" (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8). Secara sedar atau tidak, tutur kata adalah antara perlakuan sukar dikawal manusia.

Manusia boleh menuturkan apa saja bentuk kata-kata tanpa had berdasarkan dorongan hati, nafsu dan akal mereka. Tanpa iman yang mantap, kata-kata yang dikuasai nafsu yang mendorong kepada kejahatan dan hati yang lemah akan sentiasa membasahi lidah mereka. Hakikatnya, dengan kata-kata, pelbagai perkara boleh terjadi serta mampu mengubah sesuatu keadaan sama ada yang baik atau sebaliknya. Keadaan umat Islam saling menghina dan memperlekeh sesama mereka, anak mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang tua dan keruntuhan moral di kalangan remaja.

Semuanya berpunca daripada lidah yang gagal dikawal. Sebagai manusia, kita harus ingat setiap apa yang kita katakan, ia tidak terlepas daripada catatan malaikat.

Hal ini bukanlah bertujuan mencari kesalahan serta kesilapan manusia tetapi memberi peringatan kepada kita bahawa setiap perlakuan ada nilainya di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir" (Surah Qaaf, ayat 18). Tutur kata yang baik dapat memberi kesan yang amat mendalam dalam diri pendengarnya. Dalam bidang dakwah misalnya, dengan hanya menggunakan kata-kata yang baik dan benar, masyarakat mudah terpikat dengan Islam. Ini kerana Islam adalah agama fitrah yang ajarannya tidak bertentangan dengan naluri dan sifat semula jadi manusia. Hal ini jelas apabila Allah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun menemui Firaun sebagai satu cara menyerunya ke jalan Allah, lalu diperintah keduanya menuturkan kata-kata yang lembut dan tidak angkuh.

Firman Allah bermaksud: " Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya dia melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut" (Surah Toha, ayat 43-44). Dakwah sedemikian tidak berjaya menambat hati Firaun, tetapi dengan perintah Allah, ia menunjukkan cara dan kaedah yang harus diikuti dalam proses dakwah hari ini. Selain itu, dalam al-Qur'an dengan jelas Allah menyatakan di antara ciri-ciri hamba-Nya yang cemerlang iaitu yang mendapat gelaran (' ibad ar-Rahman ) ialah mereka yang baik tutur katanya. Mereka yang apabila dihina atau dicerca orang yang jahil (tidak berilmu), mereka tidak membalasnya kecuali dengan kata-kata yang baik dan indah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik" (Surah al-Furqan, ayat 63). Justeru adalah amat menyedihkan jika dilihat orang-orang yang berilmu dan berpendidikan tinggi bersikap terlalu emosional, tidak berhikmah dalam menangani sesuatu isu dan yang lebih teruk lagi merasakan dirinya sahaja betul.


Sebagai orang yang dikurniakan Allah sekelumit daripada ilmu-Nya, kita harus berasa rendah diri dan memilih kata-kata yang terbaik apabila berhadapan dengan golongan yang tidak mengetahui atau kurang ilmunya. Dengan kata lain, bahasa yang digunakan haruslah bersesuaian dengan keadaan dan adat kelaziman khalayak pendengar. Hal ini perlu dititikberatkan lebih-lebih lagi di negara kita yang memiliki pelbagai bahasa dan budaya. Sesungguhnya tindak-tanduk dan perbuatan setiap anggota kita adalah menjadi tanggungjawab kita sendiri ketika berhadapan dengan Allah di mahkamah keadilan-Nya kelak. Lidah yang berperanan penting dalam menuturkan kata-kata tidak akan terlepas daripada nilaian dan timbangan keadilan Allah. Jauhilah diri kita daripada terus menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah dan menyakiti hati dan perasaan orang lain. Sebaliknya, basahi lidah kita dengan ingatan yang tidak putus kepada-Nya pada waktu senang dan susah, Firman Allah di dalam Al-Quran bermaksud: "Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram" (Surah al-Ra'd, ayat 28).




Jajarkan ke Kiri

Khamis, 8 April 2010

"Di benci mertua" begitulah tajuk yang di bicarakan dalam rancangan semanis kurma terbitan tv 9 semalam.Mari kita renung dan fikirkan kenapa dan mengapa terjadinya keadaan yang sedemikian rupa sedangkan islam amat menitik beratkan hubungan silatulrahim sesama umat manusia di muka bumi ini lebih-lebih lagi didalam hubungan kekeluargaan.

Siapakah yang patut dipersalahkan dalam persoalan ini adakah salah menantu selaku orang muda atau mertua orang yang lebih tua?.Semua ini mesti kembali kepada hujung pangkalnya iaitu ajaran Islam yang telah dibawa oleh Rasulullah saw. Jika kita sentiasa mempelajari dan seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan kita seharian, Insyaallah kehidupan kita akan selalu aman dan bahagia di dunia yang sementara ini. Islam itu indah jadi indahkanlah hidup ini dengannya.

Pada pendapat saya semua masaalah ini akan selesai jika kita mempunyai ilmu kerana ilmu Allah itu begitu luas dan ia merangkumi semua pekara bukan hanya untuk menjadi seorang doktor atau guru sahaja tetapi untuk menjadi seorang menantu atau mertua juga memerlukan ilmu. Ilmu untuk menjadi seorang doktor atau guru boleh di cari di sekolah dan universiti tetapi ilmu untuk menjadi menantu dan mertua perlulah di cari dalam ajaran Islam dan kehidupan kita seharian.

Kita mesti mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang isteri yang baik bukan hanya untuk menjadi seorang doktor atau guru sahaja kerana bukan semua orang akan berjaya menjadi doktor atau guru tetapi setiap anak gadis pasti akan menjadi seorang isteri.Untuk itu,saya selalu berdoa sejak dari alam remaja lagi semuga Allah memberi seorang suami yang beriman, berakhlak mulia,pengasih dan bertanggungjawab dan juga dapat mertua yang boleh kita menumpang kasih di samping itu sentiasa berazam untuk menjadi seorang isteri yang baik kerana sebagai seorang wanita selepas berkahwin kita akan menjadi sebahagian dari keluarga suami kita.Tak salah kita sentiasa berdoa dari awal remaja kerana kita tidak tahu samaada Allah akan makbulkan doa kita cepat atau lambat.

Saya berkahwin dalam usia yang agak muda juga iaitu dalam usia 21 dan suami 25 tetapi alhamdulillah dapat mertua yang baik, darinya saya dapat belajar memasak dan sebagainya. Pada awal perkahwinan kita mesti belajar untuk mengenali hati budi mentua dan apa yang dia suka dan tidak suka kerana kita adalah ahli baru dalam keluarganya. Semasa dia sedang memasak kita hendaklah sama-sama menolongnya dan bertanya kepadanya apa makanan kesukaan suami dan sebagainya.Suami juga hendaklah berilmu untuk mendidik isteri agar sentiasa menghormati ibu dan ayahnya jika dibiar isteri akan besar kepala kerana wanita ini nafsunya lebih dari akalnya.

Di dalam kehidupan berumahtangga ini, tidak semuanya manis belaka kadang -kala juga ada pahitnya tetapi apa yang penting niat kita mestilah ikhlas untuk melakukan yang sebaiknya, mungkin Allah hendak menguji iman kita.Ingatlah, semulia-mulia manusia adalah orang yang mempunyai adab, merendah diri ketika berkedudukan tinggi dan memaafkan ketika berdaya membalas.Untuk di hargai dan di kasihi oleh suami, kita hendaklah sentiasa menjaga hubungan kita dengan ibu dan ayahnya dan jangan tamak untuk memiliki cintanya kerana menyintai bukan bererti memiliki sepenuhnya, memiliki bukan bermakna untuk menakluki semuanya tetapi ingatlah untuk mendapatkan cinta yang tulus dan ikhlas memerlukan pengorbanan dan kesabaran.

....barangsiapa bertakwa pada Allah,nescaya Dia akan membuka jalan keluar baginya dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguhlah, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu...(At-Talaq ayat 2-3).

Rabu, 7 April 2010

HIBURAN YANG DIANJURKAN ISLAM


Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman. Firman Allah swt dalam Al-Qur‘an yang tafsirnya :

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”.

(Surah Al-Ra‘ad: 28)

Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan Allah dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan Allah, dan menerima segala ketentuan daripada Allah swt.

Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.

Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar. Mereka yakin dengan firman Allah swt yang tafsirnya :

“(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”.

(Surah Al-Baqarah: 138)

Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah swt. Mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit bukau, langit, laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka merasai keindahan alam dan kebesaran penciptaNya. Sifat sedemikian merupakan sifat orang-orang yang bertaqwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum dan undang-undang Allah swt. Firman Allah swt tafsirnya :

“Sesungguhnya pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa”.

(Surah Yunus: 6)

Selain itu mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

“Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka keindahan”.

(Hadis riwayat Muslim )

Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalaman hati dengan syarat ia mematuhi syariat. Alunan ayat suci Al-Qur‘an, selawat yang memuji Nabi, lagu yang menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan, pasti akan menyuburkan lagi iman mereka. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur‘an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah”.

(Surah Al-Zumar: 23)

FirmanNya lagi yang tafsirnya :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementerlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah”.

(Surah Al-Anfaal: 2)

Dan firmanNya lagi yang tafsirnya :

“Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya”.

(Surah Al-Hajj: 35)

Semua ibadat jika dilaksanakan dengan penuh perhatian, pasti akan memberi ketenangan jiwa, lihat sahaja ibadat sembahyang, sekalipun merupakan suatu kewajipan orang Islam, ia juga suatu hiburan yang kekal yang menjadikan hati orang yang beriman dan bertaqwa itu terhibur dengan sembahyang kerana mereka terasa sedang berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan kekasih hatinya iaitu Allah swt.

Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah saw bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertaqwa sudah terhibur, Baginda bersabda yang maksudnya :

"Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang”.

(Hadis riwayat Al-Nasa‘ei)