BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Pengunjung

Isnin, 8 September 2014

Adakalanya di segenap jiwa, kita terasa langkah kita terlalu berat. Senyum tawa hilang berterbangan. Apa yang kita cari, kita tidak perolehi. Apa yang kita mahu, kita tidak mampu mengecapi. Kita memandangnya sebagai satu musibah yang tidak mampu kita pikul. Kita rasa ALLAH SWT itu kejam kerana kita dibiarkan terasa sakit diuji, hingga kadangkala kita terlupa, kita melemparkan pertanyaan.

Mengapa aku diuji?

Terlupakah kita bahawa ALLAH SWT sudah berfirman dalam surat cintaNya.

Qs. Al-Ankabut : 2-3
“Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: ’Kami telah beriman’, sedang mereka tidak diuji lagi ?Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.


Anakku sayang,

ALLAH itu Maha Penyayang, ALLAH itu Maha Pengasih. Ya Rahman Ya Rahim. Dia juga Yang Maha Menyempitkan dan juga Maha Melapangkan.

Dia sempitkan, himpitkan hati kita dengan keresahan, dan Dia juga yang akan melapangkan. Bukankah ALLAH SWT sudah berfirman, dengan mengingatiNya hati kita akan menjadi tenang? Jadi, apa lagi yang kita cari? Apa lagi yang kita rasa tidak cukup? Dia tidak menguji kita dengan ujian yang begitu berat yang tidak mampu untuk kita hadapi.

Dia menguji kerana Dia rindu. Rindu dengan tangisan dan rayuan hambaNya. Tangisan di sepertiga malam, tangisan seorang hamba yang juga rindu pada Penciptanya. Tangisan seorang hamba yang kasih akan Tuhannya. Itu cinta yang benar-benar hidup yang takkan terhapus ditelan zaman.

Sayangku, umi teringat akan pesan ayahnda dan bonda umi.

“wahai anak-anakku, yang dicintai lagi dikasihi. Jangan sesekali mencederakan dan membiarkan diri kalian dicederakan. Diri kalian adalah amanah Tuhan, sayangilah dengan bersungguh-sungguh, janganlah diabaikan. Gunakan dan gembelingkan segala pengetahuan, akal budi dan kebijaksanaan kalian, bagi mencapainya. Peliharalah kesihatan spiritual, fizikal dan mental kalian, jangan sesekali membiarkan ianya cedera atau dicederakan. Wahai anak-anak ku, harga diri atau maruah kalian adalah maruah dan harga diri kami, sakit kalian adalah kesakitan kami, kepedihan dan keperitan kalian adalah kepedihan dan keperitan kami, kesedihan dan kesusahan kalian adalah kesedihan dan kesusahan kami begitu juga kepiluan kalian adalah kepiluan kami. Kami merasakan, sudah terlalu banyak sangat pesanan, nasihat ditambah dgn ilmu, prinsip atau pegangan yg benar dan betul yg dicurahkan mengikut keupayaan yg diberikan Tuhan Allah swt sejak kalian semua mula berakal sehingga kini. Nah! gunakanlah semua ini, adunkanlah supaya menjadi resepi makanan yg lazat yg menyihatkan tubuh zahir batin kalian. Andai kata dlm berjaga-jaga dan berhati-hati kalian masih tercedera juga, mungkin ini adalah 'kifarah' (penyucian ke atas dosa yg sedar atau tidak sedar) ataupun mungkin kalian sedang diuji untuk meningkatkan keimanan kalian. Hakikat sebenarnya Tuhan Allah swt amat cintakan dan kasihkan kalian melebihi kami semua. Fahamilah! Sebenarnya, Dia memaksa kalian mendekatkan diri kepadNya, Dia memaksa dan merantai kalian ke syurgaNya. Dia amat cinta kepada kalian dan mahukan kalian merayu dan merintih kepadaNYA. Dia mahu kalian sentiasa disisiNYA. Sentiasa memohon doa, ampun dan redhaNYA. Disamping itu kami juga, tidak pernah sedikit pun lupa mendoakan kebahagiaan kalian semua dunia dan akhirat.”

Aku menangis, berderai air mataku, betapa selama ini aku membiarkan diri aku disakiti. Aku menyalahkan takdir dengan apa yang terjadi, sedangkan semua berlaku hanya untuk menyedarkan aku. Ya! Hanya untuk menyedarkan aku bahawa kasih Allah meliputi segala-galanya. Tiada apapun yang dapat mengatasinya.



Sayangku, akhir kata dari umi..

Bangkitlah dari “tempat” jatuhmu itu, ukirkan senyuman di bibirmu. Jangan sesekali membina tembok seolah-olah tiada langsung jalan keluar bagi masalahmu itu. Senyum dan katakan pada mereka, “Nah! Kalian lihatlah diriku, aku terasa lebih baik dari semalam. Semalam yang cuba menjatuhkan aku, tapi aku yakin, cinta aku tidak membenarkannya, cinta aku mahu aku jadi lebih kuat dari sebelumnya, cinta aku hadirkan ujian kerana Dia mahu aku menjadi lebih baik malah yang terbaik dari biasa. Aku masih mampu untuk tersenyum dan menggembirakan insan-insan kesayanganku. Ini diri aku yang sekarang”.

Engkau akan merasa lega sayangku, lega yang sangat-sangat lega, kerana engkau yakin bahawa itu semua hanya wasilah untuk kita meraih redha dan maghfirah dariNya. Jangan sesekali menjatuhkan air matamu kerana dunia, dunia itu cuma sementara, nanti ianya akan binasa. Kampung akhirat itu yang akan kekal selamanya. Ayuh! Kita sama-sama berlumba meraih bekalan untuk dibawa ke sana. Pimpin tanganku agar kita dapat sama-sama melangkah menujunya. Aku tahu engkau mampu. Yakinlah, di hadapan sana ada hikmah yang tersembunyi yang engkau pasti akan temui selagi mana iktikadmu amat benar dengan ALLAH dan RasulNya. Jangan berputus asa dengan rahmat ALLAH. 

Senyumlah. 

Selawat ke atas Baginda Rasulullah SAW.