BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Pengunjung

Sabtu, 27 Ogos 2011


Dalam kesibukkan kita untuk membuat persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi dan ditambah dengan saki baki Ramadhan yang masih tinggal tidak kurang beberapa hari lagi, adakah pernah terdetik di hati kita untuk bertanya sama ada Ramadhan yang telah kita lalui pada tahun ini telah benar-benar mendidik jiwa kita untuk menghadapi 11 bulan yang akan mendatang.

Pernahkah kita tertanya apakah Ramadhan kita telah diterima dan segala dosa-dosa kita telah diampun oleh Allah s.w.t. Dalam pada itu apakah saudaraku sekalian masih mengingati tiga doa yang diaminkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang telah didoakan oleh Jibrail A.S.

Ketika Nabi S.A.W menaiki tiga anak tangga mimbar baginda berhenti di setiap anak tangga dan mengucapkan amin di ketiga-tiga anak tangga tersebut. Para sahabat lalu tertanya-tanya apakah sebenarnya yang telah diaminkan oleh Rasulullah S.A.W. Hal ini telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah katanya :

"Nabi S.A.W menaiki mimbar, kemudian baginda berkata: amin, amin, amin. Ditanya kepada baginda: "Wahai Rasulullah, tuan menaiki mimbar dan mengucapkan amin, amin, amin?" Baginda S.A.W menjawab: "Jibril A.S datang kepadaku, dan berkata: "Sesiapa yang berada dalam bulan Ramadhan, lalu Allah tidak mengampunkan dosanya, dia akan dimasukkan ke dalam Neraka dan akan dijauhkannya, katakan (wahai Muhammad) amin," Lalu aku (Nabi SAW) pun menyebut "amin".

Jibril berkata lagi: "Wahai Muhammad, sesiapa yang memiliki dua orang tuanya atau salah seorang mereka, namun dia tidak berbuat kepada mereka berdua, dia mati, dia akan dimasukkan ke dalam Neraka, dan Allah akan menjauhkannya, katalah amin." Lalu aku pun berkata: "Amin".

Berkata Jibril lagi: "Sesiapa yang mendengar namamu disebut, tetapi dia tidak berselawat kepadamu, dia mati, dia akan dimasukkan ke dalam Neraka, dan Allah akan menjauhkanya, katalah amin." Lalu aku pun menyebut: "Amin."

Salah satu doa yang diaminkan ialah berkenaan sesiapa yang tidak merebut peluang untuk mendapat keampunan Allah S.W.T pada bulan Ramadhan maka dia antara orang yang akan rugi kerana akan dimasukkan ke dalam Neraka Allah S.W.T.

Apakah kita di antara golongan manusia yang telah diberikan peluang untuk berada di dalam bulan Ramadhan yang penuh barakah ini termasuk di dalam doa yang diaminkan oleh baginda S.A.W.

Oleh itu saudaraku sekalian ingatlah doa yang telah diaminkan oleh Rasullulah s.a.w. ini dan rebutlah peluang yang masih berbaki, tidak berapa hari ini untuk mencari keampunan Allah S.W.T. Raya, raya juga, tapi jangan lupa untuk mencari peluang yang masih tinggal. Takut-takut inilah Ramadhan yang terakhir buat kita.

- Artikel iluvislam.com

Selasa, 14 Jun 2011

mencari erti kemanisan iman


Iman ialah kepercayaan kepada Allah dan Rasul serta semua rukun iman. Dan iman tersebut menurut hadis adalah membenarkan dengan hati, mengikrarkan dengan lisan dan mengamalkan dengan anggota badan.Jelas di sini, mereka yang memiliki iman, hati, lidah dan perbuatan hanya bertuhankan Allah.

Apabila manusia tidak kenal Allah, manusia tidak akan mencintaiNya. Apabila manusia tidak kenal Allah, manusia tidak akan takut kepadaNya. Sedangkan cinta dan takut kepada Allah itu sumber segala kebaikan. Tanpa cinta Allah, tidakada cinta sesama manusia.

Orang yang mencintai Allah akan lunak hatinya, mesra dan sayang kepada sesama manusia. Iman kepada Allah adalah asas dalam berkasih sayang seperti sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
"Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri."

Namun iman yang ada pada manusia kadang-kadang turun setelah naik seketika. Hal ini diakui oleh Rasulullah melalui sabdanya yang bermaksud:
"Iman itu boleh bertambah dan boleh berkurang, maka perbaharuilah imanmu dengan La illahillah."

Jika iman (kalimah syahadah) itu diumpamakan olehAllah sebagai pohon yang baik, maka kemanisan iman adalah rasa pada buah yang telah masak ranum yang terhasil dari pokok yang baik dan subur itu seperti firman Allah yang bermaksud:
"Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pokok yang baik." (surah Ibrahim 14: 24)

Kemanisan iman berkait rapat dengan kesempurnaan iman dalam hati sanubari seseorang, maka semakin sempurna, teguh dan kukuh iman seseorang, maka semakin manislah iman yang dirasai olehnya.Oleh sebab itu, bukan semua orang yang mengaku beriman dapat merasai kemanisannya.

Walau bagaimanapun, iman yang sudah terbina dalam diri manusia boleh diukur berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka dan kepada Rabnyalah mereka bertawakal(iaitu) mendirikan solat dan yang menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang kami berikan kepada mereka," (AS Al-Anfal 8: 2-3)

Selasa, 24 Mei 2011



manisnya bergelar wanita
Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Setibanya mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan. Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah.

Rasulullah dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut. Rasulullah menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari empat aspek.

Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya.
Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita Muslim.

Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan ALLAH Rabbul Alamin.

Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja. Ambillah pengajaran dari semalu walau pun ia hanya tumbuhan yang kecil.

Tidakkah anda melihat betapa Islam telah meletakkan wanita pada kedudukan semanis-manisnya? Jika semua saranan Rasulullah ini dituruti ia cukup manis, semua yang bertentangan menjadikannya pahit bagai hempedu.

Kemanisan wanita akan hilang apabila apa yang dilakukannya bertentangan dengan kejadiannya yang asal. Seorang wanita menjadi kupu-kupu. Dia tidak pulang ke rumah sebaliknya bersidai di tempat yang tidak senonoh hingga larut malam. Apakah itu manis? Sudah tentu tidak, sebab tempat seorang wanita ialah di rumah tatkala malam telah melabuhkan tirainya. Sekiranya dia perlu berada di luar, dia berada di tempat yang selamat lagi munasabah. Misalnya berada di majlis ilmu, berada di tempat kerja dalam sif-sif tertentu, berada di tempat himpunan keluarga. Tetapi seandainya dia berada di tempat selain itu dia sudah tidak tergolong sebagai wanita manis.

Hati orang normal akan mengatakan hal ini benar, tetapi hati orang yang ‘sakit’ akan mengatakan ini salah.

Suatu ketika dulu, ada seorang gadis mendatangi saya. Dia mengadu betapa susahnya menjadi perempuan. Katanya, pergerakan perempuan terbatas. Semua yang dilakukan oleh perempuan menjadi perhatian.

Susah menjadi gadis sebab dia akan mengalami kesakitan-kesakitan berjadual. Alangkah mudahnya jika dia menjadi lelaki, dia akan bebas ke mana-mana saja tanpa sekatan.

Gadis ini beriya-iya mengatakan hidupnya akan lebih bermakna sekiranya dia dilahirkan sebagai lelaki.

Lalu saya pun memberi contoh kehidupan rama-rama. Kata saya rama-rama selalu menyangka kehidupannya payah. Dia dilahirkan dalam bentuk pulpa. Terpaksa tinggal lama dalam kepompong. Kemudian apabila keluar dari kepompong dia terpaksa menjalani hidup sebagai ulat. Tatkala begini dia terdedah pada bahaya disambar burung. Manusia pun geli melihat ulat. Tetapi tatkala dia sudah menjadi rama-rama dia akan menghiurkan penglihatan sesiapa saja. Tatkala dia mengembangkan sayapnya semua akan terpukau kagum.

Alangkah manisnya kitaran hidup rama-rama sebab dia dilahirkan untuk mewarnai alam. Alam menjadi ceria dengan kehadiran rama-rama. Hampir semua orang akan terpukau melihat rama-rama. Manusia seganas mana pun akan berasa lunak melihat rama-rama.

Demikianlah wanita, dia warna alam yang cukup berharga dan dihargai. Tanpanya, dunia tidak akan semeriah ini. Setiap insan lahir dari manusia bernama wanita. Alangkah manisnya menjadi wanita sebab dia unsur terpenting dalam kewujudan alam ini sedemikian rupa.

Kalau kita hendak melihat keburukan bukan satu yang akan kita jumpa, kalau kita hendak mencari kebaikan dan keindahan bukan satu dua juga yang akan kita temui. Apa pun, ingatlah, “Barangsiapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi.” (Muslim)


Selasa, 15 Mac 2011

mesej dari Tuhan


Allah tidak menjadikan sesuatu peristiwa secara percuma, sebaliknya adalah untuk manusia mengambil iktibar daripadanya.Sifat manusia yang sering terlupa itu perlu sering di beri peringgatan agar tidak terpesong dari landasan sebagai seorang hamba.
Allah ingin memperinggatkan manusia bahawa Dia berkuasa melakukan sesuatu pada bila-bila masa sahaja.Allah boleh menggerakkan sebahagian daripada makhluknya untuk peringatan kepada manusia. Antaranya makhluk Allah adalah laut, angin, haba, hujan atau gunung ganang. Ilmu yang Allah berikan kepada kita amat sedikit sehingga secanggih mana pun alat yang mampu manusia cipta untuk meramal kejadian yang akan berlaku tetap tidak dapat mengatasi kuasa Allah swt.

Allah mahu manusia mengenali diri dan sedar akan kemampuan Allah Yang Maha Agung. Manusia diingatkan bahawa yang lebih kekal adalah akhirat. Jangan angkuh dengan apa yang di miliki kerana ia akan di tarik sekelip mata dan menjadikan kita merana dalam penuh hina. Mereka dialpakan dengan habuan dunia serta menganggap mati itu masih jauh lagi. Allah ingin mengingatkan, kudrat manusia itu sangat lemah dan rapuh.

Allah ingin mengingatkan manusia tentang kemusnahan total yang bakal berlaku. Dunia ini akan digoncang pada hari kiamat dan manusia jadi tidak menentu serta bingung lalu hancur bersama harta-harta mereka.Gempa yang berlaku baru bawah 10 sekala Richter, bagaimana pula jika berlaku pada 20 atau 40 atau 100 skala Richter? Maka bumi yang sangat kecil ini akan musnah dalam masa tiga hingga empat minit sahaja! bukit dan gunung ganang akan hancur menjadi debu. Bacalah Al-Quran yang banyak menceritakan tentang apa yang bakal berlaku dan pasti berlaku.

Paling penting dari kejadian bencana ialah Allah mahu mengingatkan manusia yang sesat dan enggan bertaubat agar kembali kepada ajaran Islam. Apakah perlu diturunkan bala di depan mata untuk membuatkan mereka sedar, itu pun jika mampu membuat mereka insaf dalam erti kata sebenar.

Khamis, 3 Mac 2011


ADAKALANYA fikiran kita rasa berserabut, perasaan kita rasa tidak menentu. Apa yang kita buat rasa tidak kena. Solat dan ibadah tidak dapat dirasa kemanisannya. Seolah-olah ada sesuatu yang perlu kita dapatkan untuk menenangkan fikiran dan hati kita yang berkecamuk.

Lihat sahajalah apa yang berlaku di sekeliling kita, pembunuhan di sana-sini. Pelacuran yang berleluasa. Anak-anak yang derhaka kepada kedua ibu bapa, remaja-remaja yang terjebak dan hanyut dalam gejala sosial, pembuangan bayi yang tidak berdosa menjadi-jadi.

Kehormatan umat Islam dipersendakan dan bermacam-macam lagi. Semuanya menyayat hati dan perasaan kita. Itu tidak termasuk tekanan kerja dan pengajian yang terpaksa kita harungi setiap hari.

Jalan meraih ketenangan

Sesungguhnya Islam itu agama yang sempurna. Ia kaya dengan pelbagai perbendaharaan dan khazanahnya yang indah dan seni. Oleh kerana itu, kita melihat agama Islam itu sentiasa dicemburui dan cuba dinodai kesucian dan ketinggiannya oleh musuh-musuh Islam.

Cuma, kita yang tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan segala keistimewaan Islam kerana kita sendiri tidak cukup mengenal agama yang kita warisi.

Menjadikan al-Quran sebagai wirid

Islam menyarankan beberapa perkara yang baik untuk kita lakukan ketika berhadapan dengan situasi sebegini. Antaranya, kita digalakkan membaca al-Quran dan menjadikannya sebagai wirid.

Hendaklah kita bertafakur tentang kandungan ayat-ayatnya dan mendalami mutiara-mutiara maknanya untuk mengeluarkan daripada perbendaharaan dan permatanya sesuatu yang akan melapangkan dada. Menambahkan lagi keyakinan dalam beragama dan menghadirkan kebesaran pemiliknya iaitu Allah SWT. Di samping itu, janganlah kita mengabaikan adab-adabnya.

Ulama berkata: “Sekiranya kamu melayarkan kapal di dalam lautan ini, kamu akan memperolehi kejayaan dan kerehatan (ketenangan) dalam pelayaran tersebut. Akan datang kepadamu angin kegembiraan dari wangiannya yang suci, dan bauannya yang semerbak bernilai dan mengadap kepadamu kelembutan inayah dengan kesempurnaan pilihan yang disertai dengan ri’ayah pembelaan Allah. Kamu akan ketahui perkara yang belum pernah kamu ketahui dan memahami perkara yang belum pernah kamu fahami.

“Maka terhasillah bagimu segala cita-cita dan tercapailah segala keinginan dan kegembiraan. Maka selepas itu berusahalah mengulang-ulang membacanya dan tenggelam di dalam lautan rahsianya. Berwaspadalah daripada meringan-ringankannya dan tergopoh-gapah ketika membacanya.”

Menyelami kitab-kitab ahli hikmah

Para ulama juga menyarankan kita menjadikan bacaan kitab-kitab tasauf sebagai wirid. Hendaklah kita perkemaskan renangan kita di dalamnya. Jadikan ia sebagai sahabat dan teman bermesra pada waktu pagi dan petang, dan pegangan dalam semua keadaan.

Taklifkan diri kita beramal dengan isi kandungannya dan meninggalkan perkara-perkara yang ditegahnya. Insya-Allah, hati kita akan menjadi lembut dan berasa lebih tenang menghadapi apa jua keadaan.

Justeru, pada minggu ini kita tinggalkan dahulu tajuk tauhid yang sedang kita bicarakan dan kami ingin membawa saudara merenung satu lagi kalam hikmah yang dipersembahkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al-Sakandari r.a tentang istiqamah dalam perhambaan.

Istiqamah dalam perhambaan

Sebagai manusia kita tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan dosa. Namun kita tidak sepatutnya dikalahkan oleh kesalahan yang kita lakukan hingga bersikap pesimis dan berprasangka buruk dengan Tuhan. Kita seharusnya ingat bahawa setiap kejadian Allah itu ada hikmahnya.

Sheikh Ibnu Atoillah r.a membongkar satu lagi hikmah Allah dalam kalam hikmahnya yang indah yang berbunyi: “Apabila kamu terlanjur melakukan suatu dosa, maka janganlah kamu jadikan ia sebagai sebab kamu patah hati daripada beristiqamah bersama Tuhanmu, kerana kadang kala ia merupakan dosa terakhir yang ditakdirkan ke atas kamu”.

Kita tidak seharusnya merasa putus asa daripada beristiqamah bersama Allah apabila terlanjur melakukan dosa. Dengan bersikap sedemikian, hanya akan menjadikan dosa kita lebih besar.

Istiqamah bermaksud sama keadaan dalam ubudiah terhadap Tuhan. Dosa tidak menyekat seseorang hamba itu daripada terus istiqamah dalam perhambaannya kerana seseorang hamba itu tidak dapat lari daripada takdir yang telah ditulis baginya.

Cuma, perkara yang menghalang seseorang daripada istiqamah ialah jika dia berterusan melakukan dosa tersebut. Malah bertekad untuk mengulanginya. Menginsafi hakikat ini, maka wajiblah hamba tersebut segera bertaubat kerana berkemungkinan ia adalah dosa terakhir yang ditakdirkan baginya.

Kadang kala kesalahan itu juga merupakan suatu rahmat dan peringatan buat kita yang sedang lalai atau leka. Apabila kita terjatuh, maka kita akan lebih berusaha untuk bangun dan maju ke hadapan. Setelah itu, kita dapati ia merupakan dosa terakhir yang ditakdirkan bagi kita.

Perhatikan, telah berapa banyak perkara sebegini terjadi kepada orang yang pernah melakukan dosa besar. Sebelumnya mereka adalah seorang pencuri, tetapi kemudian menjadi orang yang mulia. Di antara mereka ialah tokoh sufi yang terkenal, Ibrahim Ibnu Adham.

Beliau bertaubat setelah mendengar suatu bisikan ketika sedang berburu. Setelah itu beliau sering berdoa dengan doanya: “Ya Allah! Pindahkanlah aku daripada kehinaan maksiat kepada kemuliaan ketaatan.”

Begitu juga Fudhail Ibnu ‘Iyadh r.a yang asalnya seorang penyamun. Sebelum bertaubat, dia begitu berminat dengan seorang jariah. Pada suatu hari, ketika memanjat dinding rumah jariah itu, dia mendengar suara orang yang sedang mengalunkan ayat 16 surah al-Hadid:

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyu’ hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasiq-derhaka.

Selepas mendengar ayat itu datang keinsafan di dalam hatinya sehingga hari ini kita mengenalinya sebagai seorang ahli sufi yang terkenal. Justeru, jadikanlah mereka sebagai model yang boleh membuka minda dan hati kita untuk bersangka baik dengan Allah.

Banyak ayat dan hadis yang mengingatkan kita tentang keluasan rahmat dan keampunan Allah. Di antaranya, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat)! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dialah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Zumar: 53)

Allah SWT juga berfirman :

Dan tiada sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat. (al-Hijr: 56).

Dalam surah Yusuf, ayat 87, Allah SWT juga berfirman:

Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir.

Sabda Rasulullah SAW:

“Setiap anak Adam pasti melakukan kesilapan. Sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan ialah orang yang bertaubat daripada dosanya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi mereka yang sentiasa mensucikan dirinya”.

Maka marilah kita, sebagai hamba-hamba-Nya yang banyak melakukan kesalahan berazam tidak sekali-kali berputus asa daripada berusaha dan kekal beristiqamah pada jalan ‘ubudiah walau betapa perit dirasakan melalui jalan yang satu ini.

Khamis, 24 Februari 2011


Sebab Hati Tidak Bahagia


Sebab-sebab hati tidak bahagia ialah kerana adanya mazmummah di dalam hati. Antara mazmummah utama yang menghilangkan bahagia di hati ialah:-

a) Pemarah
Paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak terang.

b) Pendendam
Tersembunyi ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkan hati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung.

c) Hasad dengki
Amalannya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan.

d) Bakhil
Sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dan lain-lain dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui makhluk.

e) Tamak
Orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut, walau berapa banyak yang diminum tetap tidak habis juga (lagipun orang tamak selalu rugi). Ingat! Yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita (mungkin ada hak orang lain di situ). Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.

f) Tidak sabar
Andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar.

g) Ego
Ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin. Pasal semua orang ada egonya sendiri, cuma tinggi atau rendah tahap keegoan tersebut.

h) Riak
Terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon-lakon di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. Allah marah kalau kita riak, takabbur dengan apar yang kita ada.

i) Cinta Dunia
Tidak dapat menderita, dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah, tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu (bila mati cuma bawa amalan dan doa anak yang soleh atau solehah). Cinta dunia merupakan 'neraka dunia' kerana dunia itu 'panas' akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.

Kesimpulan

Jadi yang meragut kebahagiaan sebenarnya bukanlah secara TOTALnya disebabkan kemiskinan, musibah, kesibukan dan lain lainnya, tetapi ialah MAZMUMMAH. Makin tinggi mazmummah seseorang, makin ia tidak bahagia.

Samada bermujahadah atau biarkan saja mazmummah itu, kedua-duanya tetap menderita tetapi andainya bermujahadah kita akan dibantu Allah dan akan bahagia jua akhirnya. Sama-samalah kita sentiasa ingat mengingati antara satu sama lain, andai kita terleka dengan dunia buruklahh padahnya.

Wallahualam

Rabu, 16 Februari 2011

CINTA DAN BENCI KERANA ALLAH


Cinta adalah kasih sayang dan mahabbah, sedangkan benci adalah lawan cinta. Oleh sebab itu seorang Muslim tidak akan mencintai seseorang melainkan kerana agamanya yang haq. Dan tidak akan membencinya kerana agamanya yang bathil. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
"Ada tiga perkara, siapa saja yang memilikinya nescaya ia akan merasakan manisnya iman:
  1. Allah dan Rasul-Nya menjadi yang paling ia cintai selain daripada selain keduanya.
  2. Mencintai seseorang kerana Allah semata
  3. Benci kembalikepada kekufuran sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api."
Cinta dan benci adalah dua sifat fitrah yang selalu ada pada diri manusia sampai bila pun dan di mana pun dia berada. Kedua sifat tersebut merupakan anugerah dari Allah sejak manusia diciptakan. Cinta tidak selalu bersifat positif demikian juga sebaliknya, benci tidak selalu bersifat negetif sebagaimana yang fahami oleh kebanyakan orang.

Di dalam Islam, kcinta dan benci boleh sama-sama memberi manfaat apabila disalurkan sesuai dengan aturan Allah. Bahkan, ia boleh menjadi ladang amal soleh kalau digunakan dengan sebaiknya dan sesuai dengan aturan Islam. Sebaliknya ia akan mendatangkan keburukkan apabila disalurkan secara bertentangan dengan aturan-Nya.