BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Pengunjung

Khamis, 28 Oktober 2010






Senyuman bukan saja dapat membahagiakan diri tetapi juga gambarkan keikhlasan hati

SETIAP manusia melihat dunia ini sesuai dengan perbuatan, fikiran dan dorongan hidupnya. Ini bermakna bahawa apabila amal perbuatannya baik, fikirannya bersih dan motivasi hidupnya suci, maka dia akan melihat dunia ini bersih dan indah seperti dunia itu diciptakan. Begitu pula sebaliknya, apabila amal perbuatannya buruk, fikirannya kotor dan motivasinya ternoda, maka dunia ini akan terlihat gelap gelita dan dia melihat segala sesuatu berasa hitam pekat.

Di sinilah letak rahsia keistimewaan ihsan dalam proses pengajaran malaikat Jibril as yang datang kepada baginda Rasulullah SAW dalam hadis sahih riwayat Muslim yang bermaksud:

“Daripada Umar ra, katanya: “Pada suatu hari sedang kami duduk di sisi Rasulullah SAW tiba-tiba datang kepada kami seorang lelaki yang sangat putih pakaiannya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan atasnya tanda orang yang sedang dalam perjalanan, dan tidak seorang pun daripada kami yang mengenalnya sehingga ia duduk berdekatan kepada Nabi SAW lalu dia menyandarkan kedua-dua lututnya kepada dua lutut Nabi dan meletakkan kedua telapak tangannya ke atas dua paha Nabi.

Kemudian ia berkata: “Wahai Muhammad, khabarkanlah kepadaku daripada hal Islam,” maka Rasulullah menjawab: “Islam itu ialah bahawa engkau mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu pesuruh Allah, dan engkau mendirikan sembahyang, dan engkau keluarkan zakat, dan engkau puasa Ramadan, dan engkau mengerjakan haji di Baitullah jika engkau sanggup pergi kepadanya”. Dia berkata: “Benarlah engkau”. Maka kami pun tercengang kerana dia yang bertanya dan dia pula yang membenarkannya.

Katanya lagi: “Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal Iman?”, Rasulullah menjawab: “Iman itu ialah bahawa engkau beriman kepada Allah dan malaikat-Nya dan segala kitab-Nya dan Rasul-Nya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada takdir baiknya dan jahatnya”. Dia berkata: “Benarlah engkau”.

Kemudian dia bertanya lagi: “Maka sekarang khabarkanlah kepadaku daripada hal ihsan?” Rasulullah menjawab: “Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, tetapi jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”.

Akhirnya dia berkata meneruskan pertanyaannya lagi: “Maka khabarkanlah kepadaku daripada hal hari kiamat”. Rasulullah menjawab: “Tidaklah yang ditanya daripadanya lebih tahu daripada orang yang bertanya”. “Kalau begitu katanya, maka khabarkanlah kepadaku daripada tanda-tandanya saja.” Rasulullah menjawab: “Tanda-tandanya itu ialah apabila hamba-hamba telah melahirkan tuannya dan engkau lihat orang yang tidak berkasut, tidak berpakaian, miskin, pengembala kambing (berbangga-bangga) menegak dan meninggikan binaannya.”

Kemudian dia pun pergi, lalu aku terdiam beberapa lama. Setelah itu, Rasulullah berkata: “Wahai Umar, adakah engkau tahu siapakah orang yang bertanya itu?”. Berkata aku: “Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu.” Rasulullah berkata: “Sesungguhnya itulah dia Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.”

Dalam Kamus Dewan “Ihsan” dijelaskan dengan mengambil kira makna hadis di atas ketika menjelaskan maknanya dengan “beribadat kepada Allah dengan menyedari bahawa seseorang itu berhadapan dengan Allah Subhanahu Wataala yang sentiasa melihatnya.”

“Ihsan” juga bererti kebaikan, kebajikan, kemurahan hati (lawan bakhil) seperti dalam Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan atau “Ihsan” juga bererti perbuatan (derma dan sebagainya) yang baik, kebaikan, kemurahan hati, kebajikan, kedermawanan seperti dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara.

Dalam al-Quran perkataan al-ihsan asalnya daripada perkataan: ahsana, yuhsinu, ahsin, ihsanan dan setidaknya ada 12 ayatnya yang mengandungi lafaz ihsan/ihsanan yang menunjukkan kepada perbuatan baik dan kebaikan yang lebih daripada yang sepatutnya atau yang sama maksudnya. Ada kira-kira sebanyak 38 ayat lagi menunjuk kepada pujian dan penghargaan tinggi kepada pelakunya dengan lafaz muhsin, muhsinun, muhsinin, muhsinat. Selanjutnya ada pula lafaz lain yang juga berkaitan dengan al-ihsan itu. Semuanya membawa pengertian menurut konteks ayat yang difirmankan oleh Allah Subhanahu Wataala. (al-Mu’jam al-Mufahras li Alfa al-Quran).

Konteks ihsan kepada sesama makhluk sangat luas dalam al-Quran dan ia sangat jelas dalam ayatnya bermaksud:

“Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim, serta orang miskin dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan yang baik dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu; dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya”. (Surah al-Baqarah: 83)

Bahkan perbuatan ihsan diperintahkan Allah dengan tegas dalam firman-Nya bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.” (Surah al-Nahl: 90)

Satu daripada bukti wujudnya ihsan dalam diri manusia adalah senyum yang selalu melekat pada bibir seseorang kerana senyuman adalah bunga daripada perbuatan, fikiran dan motivasi yang baik. “Senyummu kala bertemu saudaramu bernilai sedekah“, seperti dalam hadis menunjukkan bahawa senyum berakar daripada ihsan kerana sedekah tidak akan diberikan kecuali oleh orang yang bersih hati dan perbuatan.

Senyum yang tulus bukti kebahagian diri yang dihasilkan oleh kandungan ihsan pada diri manusia. Ahmad Amin dalam Faid al-Kathir menulis:

“Orang yang murah dengan senyuman dalam menjalani hidup ini bukan saja orang yang paling mampu membahagiakan diri sendiri, tetapi juga orang yang berkemampuan lebih dalam mengerjakan pelbagai urusan, lebih bertanggungjawab ketika memikul tugas, orang yang paling kuat menghadapi kesulitan dan memecahkan persoalan dan lebih profesional dalam memikul urusan penting yang bermanfaat bagi diri mereka dan masyarakat. Seandainya saya disuruh memilih di antara harta yang banyak atau kedudukan yang tinggi dengan jiwa yang tenteram damai dan selalu tersenyum, pastilah saya memilih yang kedua. Sebabnya ialah, apa ertinya harta yang banyak bila wajah selalu muram? Apa ertinya pangkat dan kedudukan sekiranya jiwa sering cemas?”

Allah menyukai orang yang berbuat ihsan, dan ia disebutkan dalam beberapa ayat al-Quran. Jika kesukaan Allah sudah berada pada diri manusia maka senyum adalah tandanya. Di samping itu, rahmat Allah sangat dekat dengan orang yang sentiasa berbuat ihsan. Allah berfirman maksudnya:

“Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang muhsinin (orang yang memperbaiki amalannya.” (Surah al-A’raf: 5)

Jika begini adanya dalam al-Quran, tidakkah kita ingin sentiasa dekat dengan rahmat Allah?





Selasa, 19 Oktober 2010

HIASILAH DIRI DENGAN SIFAT MALU


Sesungguhnya agama Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa melakukan kebaikan dan meninggalkan segala kejahatan dan kemungkaran. Islam juga menyeru kita untuk berakhlak dengan akhlak yang mulia dan terpuji kerana perbuatan tersebut akan memberikan kebahagiaan dalam kehidupan kita sama ada di dunia mahupun di akhirat nanti. Antara akhlak yang di tuntut supaya kita memilikinya ialah sifat malu.

Semua agama menyuruh umat mereka berakhlak dan beretika. Namun akhlak Islam itu sifatnya tersendiri kerana akhlak Islam memiliki satu sifat yang membezakan malah meletakkannya lebih tinggi dan mulia dari akhlak agama-agama yang lain, seperti mana sabda Nabi saw yang bermaksud:
"Sesungguhnya semua agama mempunyai akhlak, dan akhlak Islam itu adalah sifat malu". (Riwayat Imam Malik)

Dari hadis tadi dapatlah dikatakan bahawa ketinggian akhlak dan kemuliaan itu terangkum dalam sifat malu yang wajib menjadi pakaian diri kita yang mengaku sebagai muslim. Ini kerana sifat malu amat berkait rapat dengan keimanan seseorang. Ertinya, iman seseorang itu tidak akan lengkap sekiranya dia tidak memiliki sifat malu.Pekara ini adalah dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
" Iman itu mempunyai lebih dari tujuh puluh cabang, yang paling utama atau tinggi ialah ucapan La ilaha illallah dan yang paling rendah ialah membuang benda yang meghalang laluan dan sifat malu itu adalah salah satu dari cabang keimanan". ( Hadis dikeluarkan oleh Imam Bukhari dan Imam Malik)

Sifat malu boleh membantu kita agar sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah swt dan dapat menhindarkan diri daripada melakukan maksiat kepada Allah swt. Dari Ibnu Mas'ud Al-badari ra Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
" Bahawasanya setengah yang di dapati manusia dari perkataan nabi yang terdahulu ialah: "Apabila engkau tidak malu maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki".
Hadis ini sebagai dalil yang menunjukkan bahawa sifat malu adalah sebagai perisai bagi seseorang dari melakukan tindakkan yang boleh mendatangkan mudarat kepada agamanya atau merosakkan akhlak dan maruahnya. Sifat malu, merupakan sifat yang istimewa bagi manusia maka orang yang tidak memiliki sifat malu maka tidak ada lagi sifat kemanusiaan di dalam dirinya.

Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki diri dan cuba untuk menghiasi diri dengan sifat malu secara berterusan tanpa mengira waktu dan keadaan. Kadang- kadang orang merasa malu untuk menghadirkan dirinya pada majlis-majlis agama kerana takut di anggap sebagai seorang yang alim dan ada orang yang takut untuk menutup auratnya takut di anggap ketinggal zaman. Sifat malu seperti ini adalah sifat malu yang tidak bertempat dan ia telah tersasar daripada sifat malu yang di tuntut di dalam Islam. Sebenarnya, malu kepada Allah adalah yang paling utama bukannya kepada sesama manusia. Nabi saw bersabda yang maksudnya:
"Sesungguhnya Allah saja yang berhak kita malu daripadanya". (Riwayat At-Tarmizi)

Dengan memerhati dan menghargai segala nikmat Allah swt atas diri kita, akan lahirlah di lubuk hati rasa malu yang amat kepada Allah swt, malu kerana tahu banyak nikmat yang telah Allah swt anugerahkan kepada kita seperti nikmat rezeki yag melimpah ruah, udara yang segar untuk kita meneruskan kehidupan ini dan bumi yang menghijau untuk kita mendiaminya.Namun segala pemberian Allah itu melebihi ketaatan yang kita persembahkan kepadaNya. Bahkan kita sanggup membelakangkan Allah atas segala pemberian dan anugerah dariNya itu.

Ibnu Mas'ud meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
"Malulah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar malu".
Para sahabat berkata:
"Sesungguhnya kami semua telah pun malu kepada Allah swt, alhamdulillah".
Selanjutnya baginda bersabda lagi yang bermaksud:
"Bukan begitu, tetapi malu kepada Allah sebenar-benar malu ialah engkau memelihara kepala dan apa yang ada diatasnya dan engkau memelihara perut dan apa yang ada di dalamnya(apa yang dimakan), meningati mati dan kebusukannya. Barangsiapa menhendaki akhirat hendaklah ia meninggalkan perhiasan dunia dan barangsiapa yang melakukan pekara tersebut, maka ia telah malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya". (Riwayat at-Tarmizi)
Maka jelas disini kita di tuntut untuk menghiaskan diri dengan sifat malu tetapi bukanlah terhadap sesama manusia, sebaliknya kita harus malu kepada Allah swt semata-mata.

Lazimnya, sifat malu sering di kaitkan dengan orang perempuan atau wanita. Memang Islam sendiri meletakkan wanita sebagai orang yang sepatutnya bersifat malu akan tetapi tidaklah bermaksud golongan lelaki tidak perlu bersifat malu. Bahkan kita semua dituntut untuk memiliki sifat malu seperti mana yang di contohkan oleh Nabi saw. Seperti yang di riwayatkan oleh Abu Said al- Khudri ra berkata:
" Sesungguhnya Rasulullah saw itu lebih malu dari seorang gadis pingittan dan jika Baginda melihat sesuatu yang di bencinya maka kami mengetahui dari air mukanya".


Walaupun kita ummat ISLAM disuruh untuk memiliki sifat malu, namun dalam bab menuntut ilmu dan menyatakan yang haq kita seharusnya tidak terlalu dikongkong malu. Malah, wanita-wanita ketika zaman Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak menghalangi diri mereka dari bertanya dan mendalami ilmu pengetahuan. Mereka tidak malu dalam menuntut ilmu. Sifat ini wajar kita contohi.

Malah dalam pepatah Melayu juga ada mengatakan bahawa “Malu bertanya sesat jalan”. Ini menunjukkan bahawa dalam mengeluarkan diri dari kejahilan dan kekaburan, jangan kita malu untuk bertanya dan menimba ilmu. Selain itu, rasa malu untuk melakukan kebaikan juga tidak patut ada di dalam diri manusia. Kerana ALLAH swt menyuruh hamba-hambaNYA agar berlumba-lumba membuat kebaikan.

Letaklah rasa malu di tempat yang sepatutnya. Malulah dalam kebanyakan hal, namun dalam bab ilmu, menyatakan kebenaran dan mengejar ganjaran untuk berbuat kebaikan jangan pula malu menghalangi diri kita. Namun, sifat malu tidak boleh juga dibuang apabila membuat ketiga-tiga perkara kebaikan tersebut. Ini kerana malu akan menjadi sempadan diri agar tidak melampaui batas, walaupun dalam hal membuat kebaikan.

Mudah-mudahan ALLAH swt memberikan hidayah dan taufiqNYA kepada kita semua, Insyaallah.

Ahad, 10 Oktober 2010

CANTIK DI MATA CANTIK DI HATI

Pepatah menyebut 'dari mata turun ke hati' ia membawa maksud apa yang dipandang akan memberi kesan pada hati. Ini juga boleh di kaitkan dengan keindahan dan kecantikan seorang wanita. Jesteru itu, ajaran Islam memberi kaedah terbaik dalam menjaga dan memelihara kecantikan seorang wanita. Untuk itu, wanita Islam disyariatkan supaya berpakaian menutup aurat.

Wanita yang menutup aurat bukan sahaja memberi impak baik pada dirinya sendiri tetapi juga pada orang lain. Manfaat untuk diri sendiri, dia akan terhindar daripada di ganggu. Terhadap orang lainpula, ia akan menyejukkan pandangan hati orang yang melihatnya, di samping akan timbul rasa hormat pada wanita itu.

Fitnah syahwat yang paling besar di alam ini adalah fitnah wanita sebagaimana yang terdapat di dalam firman Allah swt yang bermaksud:
" Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang di ingini, Iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik(syurga)." (Ali Imran :14)

Untuk itu Allah swt memerintahkan para wanita menutupi seluruh tubuhnya yang merupakan perhiasan kecuali yang biasa ditampakkan dengan mengenakan tudung yang dapat menutupi seluruh dadanya sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
"Dan janganlah mereka menampakkan perhiasanya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya." (An-Nuur: 31)

Dengan ditutupinya seluruh perhiasan seorang wanita maka akan menyempitkan ruang bagi lawan jenisnya untuk mengarahkan pandangannya atau menikmatinya dengan pandangan yang tidak wajar kerana pandangan seperti ini adalah salah satu jalan menuju kepada perzinaan yang disebut dengan zina mata, sebagaimana hadis dari Abu Hurairah ra dari Nabi saw bersabda yang bermaksud:
"Telah dituliskan terhadap anak Adam bagiannya dari zina dan bukan mustahil ia akan tertimpa olehnya. Zina mata adalah pandangan, Zina telinga adalah mendengar, zina lisan adalah berbicara, zina tangan adalah memegang, zina kaki adalah melangkah dan hati memiliki kecenderungan serta harapan yang kemudian dituruti atau diingkari oleh kemaluan." (HR. Muslim)

Tetapi amat menyedihkan, kerana pada hari ini masih ramai para wanita yang tidak memahami tentang aurat yang harus di jaga dan ditutupi olehnya dari pandangan umum.Terdetik di hati ana untuk menyampaikan sedikit pesanan dan peringatan untuk kaum hawa yang bergelar muslimah berkenaan dengan aurat ini semuga dapatlah sama-sama kita renungkan dan ambil iktibar untuk memperbaiki amalan diri kita sementara Allah swt masih lagi memberi kesempatan untuk kita mecari redha-Nya. Kesilapan yang kerap para wanita lakukan tentang aurat adalah

  1. Menganggap aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
  2. Bertudung tetapi ber'T-Shirt berlengan pendek.
  3. Bertudung tetapi bajunya berkain terbelah.
  4. Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memeparkan bentuk kawasan-kawasan yang mudah menggoda.
  5. Bertudung tetapi menampakkan jambulnya seperti pundak unta.
  6. Bertudung tetapi hanya memakainya untuk ke pejabat dan sekolah sahaja.
  7. Bertudung tetapi hujung tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
  8. Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh dilihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.
Ini berlaku kerana sebahagian wanita menyangka bahawa menutup aurat itu adalah hanya menutup rambut sahaja tetapi ia adalah tidak benar sama sekali ia dapat di fahami dari firman Allah swt dari surah An-Nuur ayat 31 yang bermaksud:
"Hendaklah mereka melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHKAN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR,"

Hikmah lain dari perintah menutup aurat ini adalah sebagai ciri khas dan identiti seorang wanita muslimah di bandingkan dengan wanita-wanita non muslim sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
" Hai Nabi, Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka." yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk di kenal,kerana itu mereka tidak di ganggu dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab : 59)

Wahai para wanita muslimah sekelian ingatlah sesungguhnya Allah itu Maha Adil dan Maha Pengasih, marilah kita bersegera untuk mendapatkan kasih sayangNya dengan mentaati segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya. Ingatlah, bahawasanya Nabi Muhammad SAW melihat banyak kaum wanita yang di seksa di dalam neraka sewaktu perjalanannya di malam israq miqrad jadi, marilah kita bersama-sama berusaha untuk menjauhkan diri dari terjerumus ke dalam api neraka. Yakinlah bahawa Allah itu benar, RasulNya juga benar, Syurga dan neraka juga benar.