BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Pengunjung

Isnin, 12 April 2010

Setiap tutur kata cermin peribadi




Penciptaan manusia sebagai makhluk paling istimewa di sisi Allah dan khalifah di muka bumi mempunyai tujuan yang ditetapkan.

Antaranya, menilai sejauh mana ketaatan manusia kepada Allah yang mengakui sejak awal penciptaannya bahawa Dia sahajalah Tuhan yang layak disembah. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang lagi Maha Bijaksana yang tidak pernah membiarkan hamba-Nya hidup tanpa panduan dan petunjuk. Al-Quran yang tiada sebarang keraguan di dalamnya, memaparkan panduan bagi membantu umat manusia mencapai kehidupan bahagia di dunia dan akhirat. Oleh sebab itu, wajarlah setiap perbuatan manusia, kelak akan dihitung dan dinilai serta diperlihatkan dengan seadil-adilnya.

Firman Allah bermaksud: "Barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya). Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula" (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8). Secara sedar atau tidak, tutur kata adalah antara perlakuan sukar dikawal manusia.

Manusia boleh menuturkan apa saja bentuk kata-kata tanpa had berdasarkan dorongan hati, nafsu dan akal mereka. Tanpa iman yang mantap, kata-kata yang dikuasai nafsu yang mendorong kepada kejahatan dan hati yang lemah akan sentiasa membasahi lidah mereka. Hakikatnya, dengan kata-kata, pelbagai perkara boleh terjadi serta mampu mengubah sesuatu keadaan sama ada yang baik atau sebaliknya. Keadaan umat Islam saling menghina dan memperlekeh sesama mereka, anak mengeluarkan kata-kata kesat kepada orang tua dan keruntuhan moral di kalangan remaja.

Semuanya berpunca daripada lidah yang gagal dikawal. Sebagai manusia, kita harus ingat setiap apa yang kita katakan, ia tidak terlepas daripada catatan malaikat.

Hal ini bukanlah bertujuan mencari kesalahan serta kesilapan manusia tetapi memberi peringatan kepada kita bahawa setiap perlakuan ada nilainya di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: "Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan melainkan ada di sampingnya malaikat pengawas yang selalu hadir" (Surah Qaaf, ayat 18). Tutur kata yang baik dapat memberi kesan yang amat mendalam dalam diri pendengarnya. Dalam bidang dakwah misalnya, dengan hanya menggunakan kata-kata yang baik dan benar, masyarakat mudah terpikat dengan Islam. Ini kerana Islam adalah agama fitrah yang ajarannya tidak bertentangan dengan naluri dan sifat semula jadi manusia. Hal ini jelas apabila Allah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun menemui Firaun sebagai satu cara menyerunya ke jalan Allah, lalu diperintah keduanya menuturkan kata-kata yang lembut dan tidak angkuh.

Firman Allah bermaksud: " Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya dia melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut" (Surah Toha, ayat 43-44). Dakwah sedemikian tidak berjaya menambat hati Firaun, tetapi dengan perintah Allah, ia menunjukkan cara dan kaedah yang harus diikuti dalam proses dakwah hari ini. Selain itu, dalam al-Qur'an dengan jelas Allah menyatakan di antara ciri-ciri hamba-Nya yang cemerlang iaitu yang mendapat gelaran (' ibad ar-Rahman ) ialah mereka yang baik tutur katanya. Mereka yang apabila dihina atau dicerca orang yang jahil (tidak berilmu), mereka tidak membalasnya kecuali dengan kata-kata yang baik dan indah. Firman Allah yang bermaksud: "Dan hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu ialah orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik" (Surah al-Furqan, ayat 63). Justeru adalah amat menyedihkan jika dilihat orang-orang yang berilmu dan berpendidikan tinggi bersikap terlalu emosional, tidak berhikmah dalam menangani sesuatu isu dan yang lebih teruk lagi merasakan dirinya sahaja betul.


Sebagai orang yang dikurniakan Allah sekelumit daripada ilmu-Nya, kita harus berasa rendah diri dan memilih kata-kata yang terbaik apabila berhadapan dengan golongan yang tidak mengetahui atau kurang ilmunya. Dengan kata lain, bahasa yang digunakan haruslah bersesuaian dengan keadaan dan adat kelaziman khalayak pendengar. Hal ini perlu dititikberatkan lebih-lebih lagi di negara kita yang memiliki pelbagai bahasa dan budaya. Sesungguhnya tindak-tanduk dan perbuatan setiap anggota kita adalah menjadi tanggungjawab kita sendiri ketika berhadapan dengan Allah di mahkamah keadilan-Nya kelak. Lidah yang berperanan penting dalam menuturkan kata-kata tidak akan terlepas daripada nilaian dan timbangan keadilan Allah. Jauhilah diri kita daripada terus menuturkan kata-kata yang tidak berfaedah dan menyakiti hati dan perasaan orang lain. Sebaliknya, basahi lidah kita dengan ingatan yang tidak putus kepada-Nya pada waktu senang dan susah, Firman Allah di dalam Al-Quran bermaksud: "Orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang tenteram" (Surah al-Ra'd, ayat 28).




Jajarkan ke Kiri

Khamis, 8 April 2010

"Di benci mertua" begitulah tajuk yang di bicarakan dalam rancangan semanis kurma terbitan tv 9 semalam.Mari kita renung dan fikirkan kenapa dan mengapa terjadinya keadaan yang sedemikian rupa sedangkan islam amat menitik beratkan hubungan silatulrahim sesama umat manusia di muka bumi ini lebih-lebih lagi didalam hubungan kekeluargaan.

Siapakah yang patut dipersalahkan dalam persoalan ini adakah salah menantu selaku orang muda atau mertua orang yang lebih tua?.Semua ini mesti kembali kepada hujung pangkalnya iaitu ajaran Islam yang telah dibawa oleh Rasulullah saw. Jika kita sentiasa mempelajari dan seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan kita seharian, Insyaallah kehidupan kita akan selalu aman dan bahagia di dunia yang sementara ini. Islam itu indah jadi indahkanlah hidup ini dengannya.

Pada pendapat saya semua masaalah ini akan selesai jika kita mempunyai ilmu kerana ilmu Allah itu begitu luas dan ia merangkumi semua pekara bukan hanya untuk menjadi seorang doktor atau guru sahaja tetapi untuk menjadi seorang menantu atau mertua juga memerlukan ilmu. Ilmu untuk menjadi seorang doktor atau guru boleh di cari di sekolah dan universiti tetapi ilmu untuk menjadi menantu dan mertua perlulah di cari dalam ajaran Islam dan kehidupan kita seharian.

Kita mesti mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang isteri yang baik bukan hanya untuk menjadi seorang doktor atau guru sahaja kerana bukan semua orang akan berjaya menjadi doktor atau guru tetapi setiap anak gadis pasti akan menjadi seorang isteri.Untuk itu,saya selalu berdoa sejak dari alam remaja lagi semuga Allah memberi seorang suami yang beriman, berakhlak mulia,pengasih dan bertanggungjawab dan juga dapat mertua yang boleh kita menumpang kasih di samping itu sentiasa berazam untuk menjadi seorang isteri yang baik kerana sebagai seorang wanita selepas berkahwin kita akan menjadi sebahagian dari keluarga suami kita.Tak salah kita sentiasa berdoa dari awal remaja kerana kita tidak tahu samaada Allah akan makbulkan doa kita cepat atau lambat.

Saya berkahwin dalam usia yang agak muda juga iaitu dalam usia 21 dan suami 25 tetapi alhamdulillah dapat mertua yang baik, darinya saya dapat belajar memasak dan sebagainya. Pada awal perkahwinan kita mesti belajar untuk mengenali hati budi mentua dan apa yang dia suka dan tidak suka kerana kita adalah ahli baru dalam keluarganya. Semasa dia sedang memasak kita hendaklah sama-sama menolongnya dan bertanya kepadanya apa makanan kesukaan suami dan sebagainya.Suami juga hendaklah berilmu untuk mendidik isteri agar sentiasa menghormati ibu dan ayahnya jika dibiar isteri akan besar kepala kerana wanita ini nafsunya lebih dari akalnya.

Di dalam kehidupan berumahtangga ini, tidak semuanya manis belaka kadang -kala juga ada pahitnya tetapi apa yang penting niat kita mestilah ikhlas untuk melakukan yang sebaiknya, mungkin Allah hendak menguji iman kita.Ingatlah, semulia-mulia manusia adalah orang yang mempunyai adab, merendah diri ketika berkedudukan tinggi dan memaafkan ketika berdaya membalas.Untuk di hargai dan di kasihi oleh suami, kita hendaklah sentiasa menjaga hubungan kita dengan ibu dan ayahnya dan jangan tamak untuk memiliki cintanya kerana menyintai bukan bererti memiliki sepenuhnya, memiliki bukan bermakna untuk menakluki semuanya tetapi ingatlah untuk mendapatkan cinta yang tulus dan ikhlas memerlukan pengorbanan dan kesabaran.

....barangsiapa bertakwa pada Allah,nescaya Dia akan membuka jalan keluar baginya dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak di sangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguhlah, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu...(At-Talaq ayat 2-3).

Rabu, 7 April 2010

HIBURAN YANG DIANJURKAN ISLAM


Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman. Firman Allah swt dalam Al-Qur‘an yang tafsirnya :

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”.

(Surah Al-Ra‘ad: 28)

Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan Allah dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan Allah, dan menerima segala ketentuan daripada Allah swt.

Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.

Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar. Mereka yakin dengan firman Allah swt yang tafsirnya :

“(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”.

(Surah Al-Baqarah: 138)

Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah swt. Mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit bukau, langit, laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka merasai keindahan alam dan kebesaran penciptaNya. Sifat sedemikian merupakan sifat orang-orang yang bertaqwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum dan undang-undang Allah swt. Firman Allah swt tafsirnya :

“Sesungguhnya pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa”.

(Surah Yunus: 6)

Selain itu mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

“Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka keindahan”.

(Hadis riwayat Muslim )

Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalaman hati dengan syarat ia mematuhi syariat. Alunan ayat suci Al-Qur‘an, selawat yang memuji Nabi, lagu yang menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan, pasti akan menyuburkan lagi iman mereka. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur‘an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah”.

(Surah Al-Zumar: 23)

FirmanNya lagi yang tafsirnya :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementerlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah”.

(Surah Al-Anfaal: 2)

Dan firmanNya lagi yang tafsirnya :

“Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya”.

(Surah Al-Hajj: 35)

Semua ibadat jika dilaksanakan dengan penuh perhatian, pasti akan memberi ketenangan jiwa, lihat sahaja ibadat sembahyang, sekalipun merupakan suatu kewajipan orang Islam, ia juga suatu hiburan yang kekal yang menjadikan hati orang yang beriman dan bertaqwa itu terhibur dengan sembahyang kerana mereka terasa sedang berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan kekasih hatinya iaitu Allah swt.

Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah saw bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertaqwa sudah terhibur, Baginda bersabda yang maksudnya :

"Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang”.

(Hadis riwayat Al-Nasa‘ei)

Isnin, 5 April 2010

Jangan remehkan kebaikkan kecil


Pada zaman Nabi saw terdapat seorang wanita tua yang kerjanya hanya mengutip sampah di kawasan sekeliling Masjid Nabawi. Wanita ini melakukan kerjanya secara sukarela. Maklumlah itu sahaja yang mampu dilakukan olehnya. Jika hendak berjuang di medan perang pula, tidak di wajibkan keatasnya. Apabila terdapat sampah, pasti dikutipnya. Nabi saw sendiri menyedari kehadiran wanita tua ini dan apa yang dikerjakannya pagi dan petang di masjid itu.

Pada suatu ketika, Nabi saw pulang ke Madinah. Namun baginda tidak lagi melihat wanita tua itu. Nabi pun bertanya kepada para sahabat tentangnya."Dia sudah meninggal dunia' ya Rasul".
"Mengapa tidak kamu khabarkan kepada saya?" tanya Rasulullah kecewa.

Barangkali Sahabat ini beranggapan hal wanita tua itu tidaklah begitu penting. Jadi kematiannya dianggap biasa sahaja. Nabi berasa kecewa dengan sikap Sahabat. Baginda kemudian meminta supaya ditunjukkan kubur wanita tua itu. Nabi pun bersolat ghaib di tepi kubur kerana arwah baru sahaja tiga hari meninggal dunia. Setelah itu Rasulullah saw berdoa dengan doa yang cukup lama tidak sepertimana baginda lakukan ketika menziarahi kubur yang lain. Baginda juga menangis ketika bermohon kepada Allah swt.

Ini memberi pengajaran kepada kita supaya tidak boleh memandang remeh kepada perbuatan atau kebaikan yang di lakukan walaupun kecil. Rasulullah saw mengingatkan bahawa jangan sekali-kali kita menghina kebaikan sekalipun kebaikan itu hanyalah menampakkan wajah yang berseri-seri setiap kali bertemu sesama saudara.